Ubah diri, bebas dadah dengan bantuan AMP, Perkhidmatan Penjara S’pura
Ubah diri, bebas dadah dengan bantuan AMP, Perkhidmatan Penjara S’pura
Tekun hadiri kaunseling pemulihan, kini fokus kepada pekerjaan dan keluarga serta usaha elak terjebak lagi dalam kancah dadah
Setiap insan dilahirkan dengan kekuatan daya tahan diri berbeza. Ada yang cekal, ada mudah rapuh. Kelemahan ini boleh menjadikan seseorang sukar berdepan cabaran hidup. Kegagalan mengatasinya boleh menjelma menjadi tekanan berat, lalu mendorong kepada kegiatan merosakkan, seperti penagihan dadah.
Salah seorang yang pernah melalui episod gelap ini ialah Encik Mohamad Aliefi Mohamad Yusri, 32 tahun.
Beliau berkongsi: “Dahulu, saya dihimpit tekanan yang amat sangat. Saya perlu menanggung keluarga, namun tiada pekerjaan tetap. Masalah hutang, ditambah dengan kesilapan yang berulang, akhirnya meruntuhkan pertahanan diri. Saya tewas, lalu terjebak sebagai penagih dadah.
“Saat itu adalah titik paling teruk dalam hidup saya. Mujurlah bantuan tiba tepat pada waktunya. Dengan sokongan yang diberikan, saya berupaya membina semula kehidupan.”
Langkah pertama Encik Aliefi ialah mendaftar masuk ke Pusat Pemulihan Dadah (DRC). Di sana, beliau menjalani rutin pemulihan dengan tekad bulat untuk berubah demi keluarganya. Beliau sedar akan pengorbanan isterinya, Cik Dewi Rhizwannah Mohamad Sofian, seorang suri rumah yang gigih membesarkan ketiga-tiga anak mereka di sebuah flat sewa dua bilik.
Bagi menyokong tekadnya untuk berubah, Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) merujuk Encik Aliefi kepada AMP Singapura bagi sesi kaunseling. Beliau mengambil bahagian dalam Program Pembangunan dan Integrasi Semula (DRP).
Setelah dirujuk ke AMP, Encik Aliefi menerima bimbingan dan sokongan emosi, termasuk sesi kaunseling bulanan, daripada seorang pegawai pengurusan kes. Beliau turut menerima bantuan kewangan, merangkumi tambang pengangkutan, wang tunai, barangan runcit, dan baucar. AMP kemudian menghubungkan Encik Aliefi dengan agensi-agensi lain untuk bantuan tambahan. Dengan sokongan ini, Encik Aliefi berjaya mendapatkan dan mengekalkan pekerjaan yang stabil.
Beliau juga mempelajari cara-cara merancang dan mengurus kewangan dengan lebih baik, sekali gus meningkatkan pendapatan isi rumah keseluruhannya.
“Sokongan daripada SPS dan AMP sangat bermakna dalam perjalanan hidup saya. Mereka sentiasa ada untuk membantu saya pada saat saya memerlukan. Ketika saya berada di titik terendah dalam hidup saya, pegawai kes saya tidak teragak-agak untuk membantu tanpa mengira waktu,” ujar Encik Aliefi.
Beliau kini terus fokus sepenuhnya kepada pekerjaan dan keluarganya demi mengelakkan dirinya kembali terjebak dalam kancah penagihan dadah. Beliau berhasrat mengekalkan gaya hidup bebas dadah, kekal konsisten dengan pelan kambuh, termasuk menghadiri sesi kaunseling bulanan dan mematuhi ujian air kencing.
Selain itu, Encik Aliefi ingin menjadi lebih cekap dalam mengurus tekanan harian, mengawal emosi negatif, serta tidak gentar meminta bantuan apabila perlu.
“Saya mahu terus hadir untuk diri sendiri, isteri, dan tiga orang anak saya. Saya sedar bahawa saya tidak bersendirian dalam perjalanan ini. Bantuan akan sentiasa ada jika dicari. Saya percaya bahawa jika saya sendiri tidak memulakan perubahan, tiada sesiapa dapat membantu atau menyokong saya,” tambah Encik Aliefi.
SOKONG AMP SEDIAKAN BANTUAN:
Bantuan AMP menerusi pelbagai program dan perkhidmatan merangkumi:
- Sokongan pekerjaan dan pembangunan diri
- Bantuan kewangan dan pengurusan hutang
- Pemulihan dan integrasi semula ke dalam masyarakat
- Sokongan kepada keluarga dan belia berkeperluan
- Perkhidmatan sosial seperti kaunseling dan talian bantuan AMP
Cara menderma kepada AMP:
- Portal dalam talian: Layari ampdonate.sg untuk memilih dana khusus.
- PayNow ke: UEN: 199105100D.
- Pindahan Bank: Pindahkan ke Akaun UOB: 125-304-515-4 (Kod Cawangan: 025).
- Sediakan cek: Kirim cek atas nama ‘AMP’. Sertakan nama penuh, nombor NRIC, dan maklumat hubungan untuk tujuan potongan cukai.
- Kunjungi pejabat AMP: 1 Pasir Ris Drive 4, #05-11, Singapura 519457. Waktu operasi dari Selasa hingga Khamis, dari 9 pagi hingga 4.30 petang.

