Siswa NUS jadi pengasas jenama hijab ‘Dear Satura’ sambil perkasa wanita
Siswa NUS jadi pengasas jenama hijab ‘Dear Satura’ sambil perkasa wanita
Bukan sekadar jenama hijab biasa, Dear Satura lahir daripada semangat kemasyarakatan dan persahabatan dalam kalangan wanita.
Dibangunkan Cik Humaira Safiya Mohd Helmi, 21 tahun, jenama itu berteraskan visi membina sebuah masyarakat wanita yang saling menyokong di sebalik setiap rekaan.
Inspirasi koleksinya pula datang daripada rakan dan wanita di sekeliling beliau memandangkan mereka merupakan sumber kekuatan dan dorongan sepanjang perjalanannya.
Lebih istimewa, Dear Satura ingin menjadi ruang yang mesra dan menyokong, khususnya bagi wanita yang baru memulakan langkah berhijab.
“Saya berharap apabila seorang wanita bersedia dan memilih untuk berhijab, Dear Satura dapat menjadi batu loncatan untuk memulakan perjalanan mereka. Mereka tahu ada komuniti yang menyokong dan wujud kelompok wanita di belakang mereka,” kata Cik Humaira, seorang mahasiswa tahun ketiga di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Berkongsi asal-usul jenama itu, Cik Humaira berkata beliau sudah lama memasang impian membangun jenama hijab sendiri.
Antara inspirasi awalnya termasuk jenama popular Malaysia seperti dUCk dan Naelofar.
Namun, selepas terlibat dalam kerja sukarela dan bertemu sekumpulan rakan wanita daripada Nisaa – sebuah projek khas wanita di bawah Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Nasional Singapura (NUSMS), tujuan beliau mula berubah.
Cik Humaira yang mengambil jurusan Sains Politik, dengan minor dalam kajian Melayu dan Asia Tenggara serta perniagaan, aktif dalam kegiatan komuniti.
Beliau pernah berkhidmat sebagai pengarah projek bagi Neesa, kumpulan ad hoc di bawah NUSMS dan mengetuai sekitar 25 pelajar wanita daripada pelbagai bidang pengajian.
“Bertemu dengan belia perempuan ini menunjukkan kepada saya betapa hebatnya kekuatan dan keupayaan mereka.
“Dear Satura diinspirasikan oleh wanita-wanita ini dan merupakan jenama dengan komuniti wanita di belakangnya, yang mendedikasikan rekaan kepada rakan dan insan tersayang. Ia mencetus inspirasi kepada saya,” katanya lagi.
Pada masa yang sama, jenama tersebut juga menjadi platform bagi wanita muda mencuba kemahiran di luar bidang akademik, sekali gus membantu mereka membina portfolio dan pengalaman.
Menurut Cik Humaira, rakan yang terlibat dalam pembangunan jenama itu datang daripada latar belakang yang berbeza.
“Seorang rakan mahir menguruskan Excel, seorang lagi dalam pemasaran, ada yang berbakat dalam fotografi dan reka bentuk. Malah pelajar kejuruteraan dan sistem maklumat turut menyumbang bakat dan kepakaran mereka.
“Ia menunjukkan betapa besar potensi memperkasakan komuniti sambil membangunkan Dear Satura,” katanya lagi penuh semangat.
Selain membina komuniti, jenama itu juga berharap dapat bekerjasama dengan rakan yang memperjuangkan tujuan bermakna.
Pada Mac 2026, sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa dan selaras dengan misinya menyokong wanita, Dear Satura telah bekerjasama dengan PPIS untuk menjual hijab bagi mengumpul dana.
Menurut Cik Humaira, sebanyak 90 peratus daripada hasil jualan tersebut akan disalurkan kepada kempen Ihsan Ramadan anjuran PPIS.
PPIS merupakan pertubuhan tidak mengaut untung yang menyediakan pelbagai khidmat termasuk khidmat keluarga, pusat jagaan pelajar serta kemudahan kediaman bagi wanita yang terlibat dalam program pemulihan masyarakat.
Menurut jurucakap PPIS, kempen pengumpulan dana itu dianjurkan setiap tahun, dan sumbangan yang diterima akan disalurkan bagi mengukuhkan sistem sokongan untuk wanita, kanak-kanak dan keluarga.
Kuntum merupakan nama koleksi edisi terhad Dear Satura yang dihasilkan khusus bagi tujuan pengumpulan dana tersebut, dengan empat rekaan dinamakan Lestari, Murni, Kasih dan Ayu.
Menurut Cik Humaira, perkataan “Kuntum”, yang bermaksud putik bunga, melambangkan permulaan baharu dan pertumbuhan.
“Seperti bunga yang sedang berkembang, Kuntum juga menjadi peringatan bahawa pertumbuhan itu boleh berlaku secara perlahan, tulus dan penuh keberkatan.
“Apabila seseorang memakai hijab Dear Satura, saya berharap mereka tahu ia dihasilkan dengan niat yang bermakna, dan sentiasa ada komuniti wanita di sebalik hijab itu,” katanya.

