Pelajar cemerlang MLEP di RI tebar minat tarian Melayu melalui ‘Project Permata’
Pelajar cemerlang MLEP di RI tebar minat tarian Melayu melalui ‘Project Permata’
Jiwa seni tari seorang belia, Fatih Hamdani Muhammad Effendy, begitu menebal sehingga beliau mengusahakan Project Permata pada 2024.
Menerusi projek itu, beliau mengendalikan bengkel tarian Melayu, mencipta koreografi dan menganjurkan kegiatan budaya untuk murid sekolah rendah.
Fatih, 19 tahun, mengenali keindahan tarian Melayu selepas guru Bahasa Melayunya di Institusi Raffles (RI), Encik Sazali Sahari, bertanya jika ada pelajar berminat dan ingin mempelajari tarian Melayu.
Pada ketika itu, beliau menyedari dirinya satu-satunya pelajar dalam kalangan rakan sebayanya yang bersemangat mengangkat tangan bagi menyahut cabaran mendalami seni warisan Melayu itu.
Encik Sazali banyak memberi dorongan, malah meluangkan masa berkongsi pengalaman anak perempuannya, meneroka bidang tarian.
Berita Harian (BH) menghubungi Fatih pada 27 Februari lalu, sesudah beliau menerima keputusan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘A’, untuk mengetahui bagaimana beliau mengimbangi pelajarannya di ambang peperiksaan itu dengan aktiviti tariannya.
Fatih merupakan antara 10,997 calon yang menduduki peperiksaan tersebut, dengan 94.7 peratus daripada mereka memperolehi sekurang-kurangnya tiga kelulusan bagi subjek H2, termasuk lulus dalam subjek Kertas Am (GP).
“Ramai rakan sebaya saya tidak berminat dengan tarian tradisional Melayu dan lebih cenderung kepada muzik K-Pop.
“Saya rasa detik itu jelas menggambarkan keadaan sekarang dan tanggapan belia tentang seni tradisional Melayu seperti tarian Melayu.
“Mereka sama ada melihatnya sebagai sesuatu yang hanya dikhususkan untuk golongan pakar, bukan urusan mereka, atau mereka tidak berminat langsung, malah mungkin lebih memilih tarian lain seperti K-Pop,” jelasnya.
Sejak itu, dengan keinginan menyemai minat terhadap tarian Melayu dan memelihara tradisi Melayu dalam kalangan generasi sebaya, Fatih memulakan Project Permata.
Memandangkan RI tidak mempunyai kegiatan kokurikulum (CCA) khusus bagi tarian Melayu, Fatih mengikuti kelas di luar setiap Sabtu, kendalian Sri Warisan, sebuah syarikat tarian Melayu tempatan.
Dalam tempoh tiga bulan selepas mula mempelajari seni tersebut, Fatih memutuskan untuk memanfaatkan ilmu yang dipelajarinya dan berkongsi dengan orang lain.
“Saya menggunakan apa yang saya pelajari untuk mula mengajar sekumpulan kecil rakan saya. Mereka kemudian mengajak rakan lain, dan akhirnya seramai 20 orang daripada kami seiringan mempertingkat diri dalam kemahiran tarian Melayu,” ujarnya.
Di bawah Project Permata, Fatih dan rakan-rakannya mengendalikan bengkel tarian Melayu di Sekolah Rendah Kheng Cheng di Lorong 3, Toa Payoh.
“Kami bukan pakar, tetapi kami benar-benar mempunyai niat yang ikhlas untuk mengajar tarian Melayu kepada murid sekolah,” kongsinya lagi.
Fatih menjalankan inisiatif ini sambil membuat persediaan bagi peperiksaan GCE Peringkat ‘A’, selain menulis dan berlatih ucapan yang perlu disampaikan sebagai pelajar terbaik Program Elektif Bahasa Melayu (MLEP) di RI serta komitmennya sebagai Duta Bahasa.
Ini bermakna pengurusan masa merupakan cabaran terbesar yang dihadapinya.
Walaupun begitu, beliau berkongsi keinginannya untuk memelihara tradisi tarian Melayu menjadi pendorong utama.
Tambahan pula, mempelajari tarian Melayu membantunya membina hubungan lebih mendalam dengan akar warisannya.
“Dalam banyak gerakan tarian, terdapat makna yang tersirat, seperti menghormati orang tua, semangat bergotong-royong, yang merupakan nilai penting dalam masyarakat kita.
“Melalui gerakan tersebut, saya dapat menghayati nilai Melayu zaman berzaman dalam bentuk yang lebih estetik.
“Ini memerlukan disiplin untuk terus berlatih dan komitmen untuk meneruskan tradisi ini.
“Pemikiran sebegini boleh diterapkan dalam semua tradisi Melayu kita secara keseluruhan agar kita terus konsisten dalam memeliharanya demi masa hadapan,” jelasnya lagi.

