Jepun boleh memainkan peranan sebagai kuasa penstabil yang berguna dalam masa yang tidak menentu ini dan menyumbang kepada kebaikan yang lebih besar, bukan sahaja untuk Asia Tenggara, malah bagi rantau Asia-Pasifik yang lebih luas, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.
Beliau berkata demikian semasa majlis pelancaran buku, The Land of the Rising Sun and the Lion City: The Story of Japan and Singapore, di The Pod, Bangunan Perpustakaan Negara (NLB), pada 2 April.
Encik Lee menekankan bahawa sokongan konsisten Jepun terhadap aturan antarabangsa berasaskan peraturan sejajar dengan prinsip yang dipegang Singapura.
Sebagai rakan kongsi yang dipercayai, Singapura mengalu-alukan peranan Jepun yang lebih besar dalam keselamatan serantau dan bersedia untuk bekerjasama bagi menggalakkan keamanan dan kestabilan di Asia-Pasifik.
Mengulas tentang keadaan dunia yang semakin tidak menentu, Encik Lee berkata:
“Dunia sedang memasuki arus yang tidak menentu, dengan persoalan asas mula timbul mengenai andaian yang telah lama menjadi tunjang kepada pakatan pertahanan, pencegahan nuklear dan pengawalan senjata.
“Dalam persekitaran sedemikian, saya percaya Jepun boleh memainkan peranan penstabilan yang berguna dan menyumbang kepada kebaikan yang lebih besar bukan sahaja Asia Tenggara, tetapi lebih luas Asia Pasifik.”
Menurut beliau, kerjasama keselamatan Jepun yang dahulunya dianggap sensitif kini semakin diterima, seiring dengan perubahan generasi dan landskap geopolitik.
“Bagi generasi yang mengalami perang dan penjajahan, ini satu perkara yang sukar diterima. Namun, generasi kini tidak mengalami kesan emosi yang sama,” jelas beliau.
Encik Lee turut menghargai usaha Jepun dalam membina semula kepercayaan serantau menerusi tindakan dan kenyataan yang bertanggungjawab.
Antaranya ialah lawatan mantan Perdana Menteri Jepun, Encik Tomiichi Murayama, ke Tugu Peringatan Perang Sivil pada 1994 dan mengeluarkan permohonan maaf bersejarah atas tindakan Jepun semasa zaman perang pada 1995.
Menyorot kemajuan kerjasama keselamatan serantau, Encik Lee berkata Jepun telah mula menyertai Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean sejak 2014 dan memperkukuh kerjasama dalam keselamatan maritim, siber, serta perlucutan senjata dan pengawalan senjata pada 2023.
Singapura turut memberikan sokongan terhadap penyertaan lebih besar Jepun dalam isu keselamatan sejak 2022 dan pada Sidang Puncak Peringatan Asean-Jepun 2023.
Sehubungan itu, Encik Lee meluahkan harapannya agar Jepun dan negara Asia akan terus “mempunyai kebijaksanaan dan kepimpinan politik untuk terus memupuk persahabatan dan secara kolektif menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran serantau” dalam menghadapi masa hadapan yang tidak menentu.
“Singapura adalah, dan sentiasa, rakan kongsi yang dipercayai dan boleh dipercayai untuk Jepun dalam usaha bersama ini,” ujarnya.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Duta Jepun ke Singapura, Encik Hiroshi Ishikawa; Duta Kelana daripada Kementerian Ehwal Luar (MFA), Profesor Tommy Koh, selaku penyunting bersama buku itu; dan Duta Kelana MFA, Profesor Chan Heng Chee.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg