Menyifatkan beliau sebagai teladan dan contoh kepada semua rakyat Singapura, khususnya masyarakat Melayu, Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, berkata Allahyarham Ustaz Syed Isa Semait telah memainkan pelbagai peranan penting sepanjang hayatnya.
Bercakap selepas memberi penghormatan terakhir di Masjid Sultan pada 7 Julai, Encik Lee mengimbas sumbangan besar Allahyarham Ustaz Syed Isa kepada keharmonian antara agama, kepimpinan dalam hal ehwal keagamaan, serta perpaduan negara sepanjang hampir empat dekad Allahyarham berkhidmat sebagai Mufti Singapura.
Encik Lee berkata: “Beliau merupakan contoh dan teladan kepada seluruh masyarakat Melayu, malah kepada semua rakyat Singapura.”
Allahyarham juga “seorang rakyat Singapura yang hebat”.
Beliau pernah menganggotai Majlis Presiden bagi Hak-Hak Kaum Minoriti (PCMR), Majlis Presiden bagi Keharmonian Agama (PCRH) dan menyokong penubuhan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) selepas peristiwa 9/11.
Mengenang pertemuan pertama mereka pada 1988, Encik Lee berkongsi Allahyarham telah hadir di hadapan Jawatankuasa Khas Parlimen untuk menyampaikan pandangannya mengenai cadangan penubuhan sistem Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC).
“Ia meninggalkan kesan yang mendalam kepada kami kerana beliau bercakap dengan penuh keyakinan, memahami kepentingan isu tersebut dan menyedari sensitiviti perkara itu.
“Beliau faham apa yang diperlukan untuk membentuk sebuah masyarakat yang harmoni di Singapura, di mana golongan minoriti agama dapat hidup dalam ruang mereka sendiri dan dalam keharmonian dengan kumpulan lain,” kata Encik Lee, yang ketika itu menganggotai Jawatankuasa Khas tersebut.
Walaupun diasak dengan pelbagai soalan yang mencabar, Allahyarham ketika itu kekal tenang dan yakin dalam menyuarakan keprihatinan serta aspirasi masyarakat Melayu/Islam, tambah beliau.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Allahyarham Ustaz Syed Isa menangani pelbagai isu termasuk hubungan kaum, keselamatan negara dan pendidikan agama.
“Beliau percaya akan usaha mempertingkat institusi keagamaan dan pendidikan agama bagi masyarakat Islam, agar masyarakat Islam di Singapura dapat menerima bimbingan serta nasihat agama yang kukuh dan relevan dalam menghadapi isu-isu semasa dalam masyarakat moden,” ujar Encik Lee.
Dengan isu-isu baru seperti pemakaian tudung, pemindahan organ, ubat-ubatan moden dan vaksin sentiasa menimbul, Allahyarham sentiasa memberikan nasihat yang “sangat kukuh, praktikal dan berteraskan prinsip agama yang mantap”, memberi keyakinan kepada masyarakat dalam menangani cabaran moden.
Mengakui pemergian Allahyarham amat dirasai, Encik Lee berkata:
“Hari ini merupakan kesempatan saya untuk mengucapkan selamat tinggal dan memberikan penghormatan terakhir kepadanya.
“Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan semoga keluarganya berasa bangga dengan segala jasa yang telah disumbangkan, serta mendapat ketenangan atas sumbangan besar beliau kepada masyarakat Melayu/Islam dan kepada Singapura.”
Sumbangan Allahyarham turut dirakam dalam sepucuk surat yang dikirim Encik Lee kepada isteri Allahyarham, Sharifah Muznah Mohammad Alhaddad.
“Allahyarham Syed Isa telah menyentuh kehidupan rakyat daripada pelbagai kaum dan agama, serta memberikan sumbangan yang senyap tetapi penting kepada keharmonian kaum dan agama yang dinikmati oleh rakyat Singapura hari ini.
“Rakyat Singapura terhutang budi kepada beliau,” tulis Encik Lee.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg