Singapura telah diiktiraf dengan Anugerah Pengesahan Penghapusan Asid Lemak Trans (TFA) daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 19 Mei.
Dalam satu kenyataan bersama, Kementerian Kesihatan (MOH) dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) berkata anugerah tersebut merupakan sebahagian Program Pengesahan WHO bagi Penghapusan Lemak Trans, dengan pertubuhan itu mengiktiraf negara anggota yang mempunyai rangka kerja bagi melenyapkan TFA yang dihasilkan dalam perusahaan daripada bekalan makanan negara mereka.
Sijil pengesahan tersebut disampaikan oleh Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) ke-78 yang diadakan di Geneva, Switzerland.
Negara lain yang turut menerima anugerah itu ialah Austria, Norway dan Oman.
MOH dan HPB berkata: “WHO telah mengenal pasti TFA yang dihasilkan secara industri sebagai sasaran utama dalam Program Kerja Am bagi tempoh 2019 hingga 2023, dan telah mewujudkan Program Pengesahan bagi Penghapusan Lemak Trans untuk menilai serta mengesahkan usaha negara anggota dalam menghapuskan TFA tersebut.”
Pengambilan lemak trans dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit kardiovaskular, tambah kenyataan itu.
Satu semakan ke atas 19 kajian melibatkan hampir sejuta peserta mendapati peningkatan dua gram dalam pengambilan harian lemak trans boleh meningkatkan risiko kematian penyakit kardiovaskular sebanyak 6 peratus.
Di Singapura, sumber utama lemak trans dalam pemakanan penduduk ialah lemak trans yang dihasilkan secara industri dalam lemak dan minyak masak, yang kebanyakannya berpunca daripada kehadiran minyak sebahagian terhidrogenasi (PHO) yang terbentuk melalui proses industri untuk memanjangkan jangka hayat produk.
Lemak trans buatan boleh terhasil daripada proses penambahan hidrogen pada minyak sayur untuk membuatnya lebih padat.
Justeru, usaha penghapusan lemak trans bagi mengurangkan pengambilannya dalam kalangan rakyat giat dilaksanakan sejak 2013.
Pada mulanya, had kandungan lemak trans dikenakan ke atas semua lemak dan minyak yang dibekalkan kepada premis makanan dan pengilang, serta yang dijual di sektor runcit.
Langkah itu berjaya mengurangkan separuh purata pengambilan harian lemak trans dalam kalangan rakyat Singapura, daripada 2.1 gram pada 2010 kepada 1.0 gram pada 2018.
Pada 2019 pula, Singapura memperketat peraturan dengan melarang penggunaan PHO – sumber utama lemak trans yang dihasilkan secara industri – dalam semua makanan yang dijual pasaran tempatan.
Pengeluar makanan utama turut bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk merumuskan semula produk mereka agar menjadi bebas PHO setahun lebih awal dari tarikh penguatkuasaan pada 2021.
Syarikat itu membentuk sekitar 50 peratus daripada pasaran untuk makanan berisiko tinggi seperti makanan bakar, makanan ringan, makanan siap sedia dan sapuan roti.
Menjelang 2022, purata pengambilan lemak trans dalam kalangan rakyat Singapura merosot kepada hanya 0.2 gram.
“Sejak larangan PHO, pematuhan dalam kalangan syarikat makanan dan minuman kekal tinggi.
“HPB akan terus memantau tahap pengambilan melalui pengawasan berkala,” tambah kenyataan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg