Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suntik nafas segar pada irama persembahan ulang tahun ke-100 pancaragam polis

Sempena Hari Polis 2025, Dram Major SPF rai legasi band dalam sebar nilai murni
Jun 3, 2025 | 6:00 PM
Muhammad Rasul Md Razali, SPF
Inspektor Balai (SI) Muhammad Rasul Md Razali bangga dilantik sebagai Dram Major semasa persembahan Pancaragam Pasukan Polis Singapura (SPF) yang meraikan Hari Polis 2025, sekali gus ulang tahun ke-100 penubuhan pancaragam itu pada 3 Jun. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Muzik bukan sekadar minat bagi Inspektor Balai (SI) Muhammad Rasul Md Razali, 33 tahun.

Ia merupakan teras yang membentuk jati diri beliau sebagai seorang anggota pasukan keselamatan dan pemimpin dalam kalangan pemuzik seragam.

Beliau diberi amanah memimpin persembahan Pancaragam Pasukan Polis Singapura (SPF) sebagai Dram Major pada upacara Hari Polis 2025 pada 3 Jun, yang turut menandakan ulang tahun ke-100 penubuhan pasukan tersebut.

Acara itu turut dihadiri Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong, serta sekitar 200 peserta daripada pelbagai unit SPF.

Semasa acara tersebut, Encik Tong mengiktiraf peranan unik Pancaragam SPF dalam menjalin hubungan dengan orang ramai serta memperkukuh keterlibatan awam.

“Peranan Pancaragam SPF mencerminkan sifat mesra SPF dalam menyatukan masyarakat, menjalin hubungan, serta menyampaikan nilai-nilai murni melalui muzik dan keterlibatan awam,” kata beliau.

Di samping itu, sebatang cokmar, dinamakan 100th Anniversary Centennial Mace, juga dilancarkan demi memperingati pencapaian 100 tahun pancaragam SPF dan melambangkan semangat perpaduan, disiplin dan kecekapan pasukan itu.

Semasa ditemui Berita Harian (BH), SI Rasul berkata:

“Saya berasa amat berbesar hati dan bangga dipilih sebagai Dram Major tahun ini (2025), lebih-lebih lagi dalam tahun yang begitu bersejarah bagi Pancaragam SPF.

“Ini bukan semata-mata penghormatan peribadi, tetapi amanah besar untuk meneruskan legasi 100 tahun yang telah dibina oleh generasi terdahulu,” kata beliau, yang juga memegang peranan sebagai Ketua Pemuzik bagi bahagian bras.

Inspektor Balai (SI) Muhammad Rasul Md Razali semasa latihan persembahan Pancaragam Pasukan Polis Singapura (SPF) sempena Hari Polis 2025 yang berlangsung pada 3 Jun.
Inspektor Balai (SI) Muhammad Rasul Md Razali semasa latihan persembahan Pancaragam Pasukan Polis Singapura (SPF) sempena Hari Polis 2025 yang berlangsung pada 3 Jun. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Dilantik secara rasmi sebagai Dram Major pada 2022, SI Rasul bukan asing lagi dalam dunia muzik.

Malah, beliau memiliki Diploma Teknologi Muzik dan Audio daripada Politeknik Singapura (SP).

Menurut SI Rasul, meskipun peranan Dram Major lazimnya dikaitkan dengan ketinggian seseorang, yang lebih utama ialah kemampuan memimpin anggota pasukan beliau dengan keyakinan dan kewibawaan.

“Kepimpinan tidak hanya ditunjukkan melalui aksi, tetapi melalui empati, kemahiran berkomunikasi dengan berkesan dan kebolehan menyatukan seluruh pasukan dalam satu matlamat.

“Dalam melaksanakan peranan ini, saya tidak boleh menggalas tanggungjawab sendirian. Kejayaan hanya dapat dicapai dengan sokongan dan kerjasama setiap anggota,” ujar beliau.

Dengan itu, latihan intensif menjelang Hari Polis 2025 memerlukan komitmen selama dua hingga lapan jam setiap hari, termasuk sesi latihan cokmar dan penyesuaian dengan kedudukan barisan.

Meskipun tugasnya memerlukan masa dan dedikasi, beliau tidak mengabaikan peranan beliau sebagai seorang suami.

Sokongan isterinya, yang juga mempunyai latar belakang bermain muzik di sekolah menengah meskipun kini berkecimpung dalam bidang farmasi, banyak membantu beliau mengimbangi kerjaya dan kehidupan peribadi.

Beliau turut menyifatkan minat terhadap muzik mekar kerana sokongan kuat ibunya yang pernah aktif dalam tarian Melayu sewaktu muda, meskipun tidak mendapat sokongan penuh daripada datuknya ketika itu.

Ayahnya pula gemar menyanyi, menjadikan seni sebahagian daripada kehidupan keluarganya.

“Sebagai anak Melayu yang dibesarkan dalam keluarga dengan sokongan dan dorongan kuat, melihat lebih ramai individu Melayu tampil memegang peranan utama dalam acara sebesar ini memang satu perasaan yang sangat membanggakan.

“Ia menunjukkan bahawa kita semakin diberi kepercayaan untuk menyumbang dan memimpin di peringkat tertinggi,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg