Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sistem automatik singkatkan proses polis ambil senjata, alat tugas

Terdiri daripada lokar bijak persis mesin layan diri, ia simpan alat boleh diambil serentak
Jun 2, 2025 | 4:03 PM
sistem simpanan senjata automatik, AAS, NPC, polis
Sarjan Farhan Shah menunjukkan proses mengeluarkan senjata menerusi Sistem Simpanan Senjata Automatik (AAS) di Pusat Polis Kejiranan (NPC) Woodleigh pada 21 Mei. - Foto ST

Pegawai polis dahulunya mengambil masa dua jam untuk mengambil senjata dan peralatan mereka, namun kini proses tersebut boleh dilakukan dalam masa beberapa minit sahaja.

Proses yang dahulunya dilakukan secara manual kini telah diperkemas menerusi Sistem Kelengkapan Automatik (AES) dan Sistem Simpanan Senjata Automatik (AAS).

Kededua sistem tersebut, yang meniadakan keperluan beratur untuk mengambil peralatan, ditunjukkan kepada pihak media pada 21 Mei.

Sama seperti mesin layan diri, sistem tersebut terdiri daripada lokar bijak individu, yang boleh dibuka oleh pegawai untuk mengambil peralatan yang diperlukan bagi syif mereka, selepas melalui proses pengesahan identiti yang cepat.

AES menyimpan pelbagai peralatan, seperti ves dan topi keledar kalis peluru, gari dan belantan, antara peralatan yang sering digunakan.

Semua kelengkapan tersebut dimuatkan dalam satu lokar dan boleh diambil secara serentak.

Sistem tersebut dilaksanakan sejak 1 Disember 2021, lapor The Straits Times (ST).

AAS menyimpan senjata, peluru dan senjata renjat serta menggunakan ciri pengecaman wajah sebagai sebahagian proses Pengesahan Data Tahap Kedua (2FA).

AAS, yang dipamerkan pada Seminar Tempat Kerja Pasukan Polis Singapura (SPF) pada 2023, telah dilaksanakan di Pusat Polis Kejiranan (NPC) Woodleigh sejak 19 Ogos 2024.

Seorang pegawai Pasukan Respons Darat (GRF) di NPC tersebut, Sarjan Farhan Shah, berkata bahawa AES dan AAS telah banyak mengurangkan keperluan menulis, selain menjimat masa yang diperlukan, dalam tugas harian mengambil peralatan.

“Sebelum ini, kami perlu beratur. Namun, dengan sistem baru ini, kami tidak perlu beratur lagi,” katanya.

Menurut polis, kaedah asal untuk mengambil peralatan dan senjata dijalankan secara manual oleh pegawai penyelenggaraan peralatan dan pegawai senjata yang bertugas.

Proses tersebut mengambil masa sehingga dua jam kerana hanya terdapat satu kaunter untuk pengeluaran peralatan.

Dengan sistem baru ini, pegawai boleh mengambil dan memulangkan peralatan pada bila-bila masa.

Bagi peralatan yang rosak, pegawai boleh memulangkan dan mendapatkan peralatan gantian tanpa bantuan pegawai penyelenggaraan.

Beberapa pegawai boleh berbuat demikian pada masa yang sama.

Terdapat juga peningkatan dari segi akauntabiliti, kerana semua peralatan dan senjata mempunyai teg teknologi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID).

Ini memudahkan proses semakan stok dengan membolehkan seorang pegawai mengetahui jumlah peralatan yang diambil dan oleh siapa.

Menurut polis, mereka memastikan para pegawai yang menggunakan AES dan AAS dalam fasa perintis memberi maklum balas, supaya prototaip tersebut dapat dibaiki dan disesuaikan mengikut keperluan operasi pegawai.

“Walaupun proses pengambilan peralatan kini lebih pantas, tanggungjawab pegawai kini lebih besar untuk memastikan peralatan yang diambil betul dan berfungsi dengan baik, sebelum mereka membuat rondaan,” tambah polis.

Sehingga Mei 2025, sebanyak 30 daripada 34 NPC sudah dilengkapi AES dan empat NPC dilengkapi AAS.

Semua NPC dijangka akan dilengkapi AES selewat-lewatnya Jun 2026.

Menjelang Disember 2027, semua NPC dijangka mempunyai AAS.

Sistem tersebut turut memberi manfaat tambahan, kata polis.

Pegawai Pemerintah (CO) NPC Woodleigh, Superintenden Sabrina Wong, berkata:

“Pegawai boleh ditempatkan semula untuk menyokong tugas barisan hadapan yang lain, manakala yang lain pula boleh menggunakan masa mereka dengan lebih bermakna.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg