Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suri rumah terima anugerah kongsi susu badan dengan anak saudara

Anugerah Ahli Keluarga Paling Menyokong kerana bantu kakak atasi tekanan kali pertama melahirkan
Sep 23, 2025 | 2:29 PM
Hazami, BMSG, sokongan, kakak
Cik Hazami Hamidon (tengah) diiktiraf dengan Anugerah Ahli Keluarga Paling Menyokong oleh Kumpulan Sokongan Ibu yang Menyusukan Anak (BMSG) di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat (LLI) pada 30 Ogos. Bersama dalam gambar ialah Anggota Parlimen (AP), GRC Bishan-Toa Payoh, Cik Elysa Chen (kanan); dan Presiden BMSG, Cik Nabila Hanim A Razak. - Foto BMSG

Selepas melahirkan anak sulungnya pada 2017, Cik Hazami Hamidon, mengharungi dugaan berat apabila masalah radang kulit, ekzema, beliau kembali.

Kali itu, ia sampai ke tahap serius sehingga beliau perlu dirawat di hospital selama tiga minggu.

Dalam keadaan sakit dan keletihan, beliau tidak dapat menyusukan bayinya.

Kekurangan rangsangan menyebabkan penghasilan susu menurun, dan bayinya terpaksa menerima susu ibu sumbangan orang lain.

Sepanjang tempoh itu, sokongan keluarga menjadi tonggak utama.

Suaminya, Encik Muhammad Zaweer Hassan, 36 tahun, Editor Penyelidikan (Risiko dan Pematuhan), membantu sepanjang tempoh berpantang.

Kakak sulungnya, Cik Khatim Hamidon, 40 tahun, pegawai kanan komunikasi korporat di sebuah badan Melayu/Islam, dan penganjur serta aktivis gerakan penyusuan turut menjadi penyokong.

Beliau antara pemberi susu ibu untuk anaknya.

Cik Hazami Hamidon (kiri) bersama anak sulungnya, Tholha Muhammad Zaweer (didukung), dan kakak keduanya, Cik Musyarrafah Hamidon (kanan), serta anak sulungnya, Syurahbill Mohamad Sallehan.
Cik Hazami Hamidon (kiri) bersama anak sulungnya, Tholha Muhammad Zaweer (didukung), dan kakak keduanya, Cik Musyarrafah Hamidon (kanan), serta anak sulungnya, Syurahbill Mohamad Sallehan. - Foto ihsan HAZAMI HAMIDON

Apabila kakak keduanya, Cik Musyarrafah Hamidon, seorang suri rumah, kini 38 tahun, melahirkan anak sembilan bulan kemudian, Cik Hazami, 36 tahun, yang ketika itu sudah pulih dan mempunyai bekalan susu stabil, membantu menyusukan anak saudaranya yang berada di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) selama seminggu, sambil terus menyusukan anaknya sendiri yang berusia 10 bulan.

“Apabila kakak kedua saya melahirkan anaknya, saya bersemangat untuk membantu.

“Sebagai ibu kali pertama melalui pengalaman itu, saya faham betapa stresnya proses itu, jadi saya cuba memberi sokongan sebaik mungkin,” ujar Cik Hazami, anak bongsu tiga beradik kepada Berita Harian (BH).

Beliau turut menemani kakaknya ke janji temu kesihatan dan memberi kata-kata semangat setiap kali kakaknya itu rasa tertekan kerana menghadapi kesukaran menyusukan anaknya.

Cik Hazami (kanan), adik bongsu kepada dua kakak – kakak sulung, Cik Khatim Hamidon (tengah); dan kakak kedua, Cik Musyarrafah (kiri). Bergambar bersama anak-anak mereka.
Cik Hazami (kanan), adik bongsu kepada dua kakak – kakak sulung, Cik Khatim Hamidon (tengah); dan kakak kedua, Cik Musyarrafah (kiri). Bergambar bersama anak-anak mereka. - Foto ihsan HAZAMI HAMIDON

Pengorbanan tanpa sempadan itu diiktiraf melalui penyampaian Anugerah Ahli Keluarga Paling Menyokong yang disampaikan Kumpulan Sokongan Ibu yang Menyusukan Anak (BMSG).

Ia disampaikan semasa Anugerah Penyokong Ibu Menyusukan Anak 2025 yang berlangsung pada 30 Ogos lalu di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat (LLI).

Acara itu diadakan sempena Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia pada minggu pertama Ogos.

Cik Hazami dicalonkan kakaknya sendiri.

Anugerah itu bagi mengiktiraf peranan ahli keluarga yang memberi sokongan luar biasa kepada ibu menyusu.

Dalam surat pencalonan yang dihantar kakaknya kepada BMSG, Cik Hazami disifatkan sebagai, “sentiasa ada”, kerana membantu mengepam susu secara eksklusif untuk bayi NICU, menghantar susu ke hospital walaupun menyusukan anak sendiri, menemani urusan harian, dan memberi semangat.

Cik Hazami Hamidon, bersama anak sulungnya, Tholha Muhammad Zaweer, dan anak saudaranya, Syurahbill Mohamad Sallehan, yang menerima susu ibu daripada beliau ketika berada di NICU.
Cik Hazami Hamidon, bersama anak sulungnya, Tholha Muhammad Zaweer, dan anak saudaranya, Syurahbill Mohamad Sallehan, yang menerima susu ibu daripada beliau ketika berada di NICU. - Foto ihsan HAZAMI HAMIDON

Pengalaman peribadi Cik Hazami sendiri membentuk semangat menyokong gerakan menyusukan anak, iaitu untuk menyusukan bayi dengan susu ibu sekurang-kurangnya selama enam bulan pertama seperti yang digalakkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Menyusukan bayi dengan susu ibu sememangnya semula jadi, tetapi tidak bermakna ia mudah.

“Kesakitan, masalah lekapan, penghasilan susu, semua itu perlukan kesabaran dan sokongan,” kata suri rumah itu.

Turut menghadiri acara itu sebagai tetamu terhormat ialah Anggota Parlimen (AP), GRC Bishan-Toa Payoh, Cik Elysa Chen, yang bersetuju bahawa di sebalik setiap ibu menyusu, terdapat sokongan yang memainkan peranan penting dalam perjalanan mereka.

“Sebagai seorang ibu baru, saya berterima kasih di atas platform ini yang membolehkan kita menghargai wira-wira tidak bernama, yang sentiasa menyokong ibu, daripada pasangan dan ahli keluarga, hinggalah majikan dan rakan penyokong, yang menjadikan penyusuan susu ibu sesuatu yang boleh dilakukan dengan penuh keyakinan dan bermaruah,” ujar Cik Chen.

Selain penyampaian anugerah tersebut, BMSG turut menumpukan perhatian kepada kesihatan mental ibu bapa dan cara mewujudkan pengalaman keibubapaan yang lebih positif bagi semua lapisan masyarakat.

Acara itu menampilkan ceramah inspirasi dan perbincangan panel bersama pakar dalam bidang laktasi, kaunseling, perubatan, dan keibubapaan, selain bazar gaya hidup dan keibubapaan.

“Respons yang begitu memberangsangkan ini menunjukkan semakin ramai yang mengiktiraf kepentingan semangat ‘berkampung’ dan bersatu yang menyokong si ibu, dan menekankan komitmen BMSG dalam menyokong pemberian susu ibu serta kesejahteraan mental ibu bapa,” kata Presiden BMSG, Cik Nabila Hanim A Razak.

Cik Hazami berharap anugerah itu dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya sokongan kepada ibu menyusu.

“Kalau ada kenalan baru bersalin, cukup sekadar bertanya khabar. Hantarkan mesej ringkas pun sudah memadai.

“Kalau mampu, hadiahkan sesuatu untuk si ibu juga, bukan hanya untuk bayi,” tambah ibu dua anak lelaki berusia empat dan lapan tahun itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg