Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syarikat gembleng tenaga jaya Golf Amal BH-AMP, demi generasi depan

Persatuan Kanak-Kanak S’pura, keluarga kurang mampu antara penerima dana terkumpul
Jul 21, 2025 | 9:28 PM
golf amal bh-amp
Dalam menyatukan anggota masyarakat melalui sukan yang dikongsi bersama, acara golf amal BH-AMP pada 22 Julai merupakan gandingan usaha daripada pelbagai pihak demi meringankan beban golongan memerlukan. Ini termasuk (dari kiri) Editor Audiens dan Perkembangan BH, Cik Norhaiza Hashim; Encik Mohd Said Abdul Latif; Encik A Rahim Jaafar; Pengarah Eksekutif AMP, Encik Mohksin Mohd Rashid; Encik Zainal Samat; Pegawai Eksekutif Kanan AMP, Cik Marlisa Rosli; dan Timbalan Editor Audiens dan Perkembangan, Cik Rabiatul Adawiya Binhan.  - Foto fail

Dalam menyatukan anggota masyarakat melalui sukan yang boleh dinikmati bersama, acara Golf Amal BH-AMP, membawa matlamat lebih besar daripada sekadar menghimpunkan pencinta sukan golf.

Malah, ia turut memperoleh sokongan daripada pelbagai pihak dengan harapan dana yang dikumpulkan kelak dapat meringankan beban golongan memerlukan.

Acara yang diadakan pada 22 Julai di Orchid Country Club itu bertujuan memperkasa golongan rentan serta melabur dalam pembangunan generasi masa depan.

Ini merupakan kali pertama Berita Harian (BH) dan AMP Singapura bergabung tenaga bagi menganjurkan acara golf amal yang dipengerusikan bersama oleh Editor Berita Harian, Encik Nazry Mokhtar dan Pengarah Eksekutif AMP Singapura, Encik Mohksin Mohd Rashid.

Demi memenuhi sasaran mengumpul dana daripada penaja korporat dan individu, pelbagai pakej tajaan disediakan untuk penderma, daripada peringkat Berlian (Diamond) hingga Individu.

Yayasan Salleh Marican dan syarikat pasar raya Sheng Siong merupakan dua penderma terbesar acara Golf Amal dan Jamuan Malam, anjuran bersama BH dan AMP Singapura.

Setiap pihak menyumbang $60,000 dan merupakan penderma ‘Berlian’ bagi acara tersebut.

Bengawan Solo pula telah menyumbang $20,000.

Mereka diberi dua ‘flight’ (kumpulan) untuk lapan pemain dan 10 tempat duduk pada majlis makan malam, serta pengiktirafan dalam bahan promosi acara.

Karva, Maybank dan syarikat binaan AGSH pula merupakan penaja ‘Emas’, yang menyumbang sekurang-kurangnya $10,000, lantas melayakkan mereka mempunyai satu ‘flight’ untuk empat orang serta pengiktirafan dalam bahan promosi acara

Jumlah dana yang dikumpulkan daripada acara Golf Amal BH-AMP ini akan dibahagikan kepada kededua pihak dan disalurkan bagi pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan masyarakat.

Separuh daripada jumlah tersebut akan diberikan kepada program sokongan sosial bagi keluarga kurang berkemampuan di bawah naungan AMP.

Sebanyak 40 peratus lagi akan diperuntukkan kepada Persatuan Kanak-Kanak Singapura bagi menyokong usaha badan itu membantu kanak-kanak dan keluarga yang memerlukan.

Baki 10 peratus pula akan dikhususkan bagi pemberian hadiah buku kepada sekurang-kurangnya dua pelajar institusi pengajian tinggi dalam bidang Komunikasi, Media atau Pengajian Melayu.

Sebelum ini, Encik Nazry, menjelaskan acara tersebut merupakan satu usaha penting dalam meringankan beban golongan memerlukan, terutamanya dalam suasana ekonomi yang mencabar.

“Dana yang dikumpulkan menerusi acara golf amal ini penting untuk menyokong keluarga dan individu, dengan membantu mereka menampung kos sara hidup, berlatarbelakangkan keadaan ekonomi sejagat yang tidak menentu.

“Ia sebahagian usaha BH berbakti kepada masyarakat dan kami komited berkongsi kegembiraan bersama dan membina masyarakat yang terangkum,” tambah beliau.

Dana yang dikumpulkan menerusi acara golf amal ini penting untuk menyokong keluarga dan individu, dengan membantu mereka menampung kos sara hidup, berlatarbelakangkan keadaan ekonomi sejagat yang tidak menentu. Ia sebahagian usaha BH berbakti kepada masyarakat dan kami komited berkongsi kegembiraan bersama dan membina masyarakat yang terangkum.
Encik Nazry Mokhtar, Editor Berita Harian.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg