Impian seramai 12 individu kurang upaya daripada Kumpulan Orang Cacat Singapura (KCMS) untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci bakal menjadi kenyataan.
Syarikat agensi pelancongan tempatan, Muhammad Fadhli Travels & Tours, menaja perjalanan umrah mereka demi memberi peluang kepada individu yang menghadapi cabaran fizikal untuk menjalankan ibadah itu.
Pengarah urusan Muhammad Fadhli Travels & Tours, Ustaz Muhammad Fadhli Salib, berkata inisiatif ini tercetus daripada pengalaman syarikatnya dalam mengendalikan jemaah berkeperluan khas.
Sejak agensinya ditubuhkan pada 2023, Ustaz Fadhli, 37 tahun, dan pasukannya telah berpengalaman membawa jemaah yang kurang berupaya seperti individu yang berkaki palsu ataupun yang memerlukan lebih bantuan, misalnya jemaah yang baru pulih daripada penyakit angin ahmar.
Pengalaman itu memberinya lebih motivasi untuk membantu lebih ramai insan istimewa yang kurang bernasib baik.
“Saya bertekad untuk membantu golongan kurang bernasib baik agar dapat mencapai matlamat mereka, sama seperti cita-cita orang Islam yang lain, iaitu menjejakkan kaki ke Tanah Suci,” kata Ustaz Fadhli kepada Berita Harian apabila ditemui di Terminal 1 pada 7 Ogos, semasa dalam persiapan untuk berangkat.
Seramai 26 orang berangkat dalam rombongan ini, termasuk anggota KCMS, pengasuh serta anggota keluarga, seorang pengawai dan ustaz. Mereka akan kembali pada 15 Ogos.
“Sepanjang perjalanan, mereka akan menaiki pesawat Scoot Plus yang menyediakan ruang kerusi lebih selesa, serta pengangkutan darat khas untuk kerusi roda.
“Penginapan bertaraf lima bintang juga disediakan agar jarak dari hotel ke masjid lebih dekat dan jemaah lebih mudah ke Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah. Jika berjalan kaki, hanya perlukan lima minit sahaja,” jelas Ustaz Fadhli.
“Pakej yang kami berikan bukan sekadar pakej biasa, tetapi pakej premium. Kerana saya amat prihatin akan keselesaan semua jemaah, jadi tiada perbezaan khidmat yang ditawarkan, sama ada buat jemaah OKU atau jemaah biasa,” katanya lagi yang juga berharap agar jemaah dapat mendoakan mereka yang senasib supaya turut berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Inisiatif ini merupakan kali pertama syarikat Ustaz Fadhli menaja umrah. Untuk menjayakan inisiatif ini, syarikat pelancongan itu telah berjaya mengumpulkan dana sebanyak $45,000.
Pihak KCMS juga telah bantu mengutip dana sekitar $15,000, membuat jumlah keseluruhan dana $60,000.
Ustaz Fadhli berkata beliau tidak mengharapkan balasan, sebaliknya hanya memohon doa daripada jemaah yang dibantu.
“Mereka ini adalah insan istimewa yang dipilih oleh Allah yang mungkin Allah hantarkan pada saya dan agensi saya sendiri agar dapat membantu mereka,” katanya.
Presiden KCMS, Cik Mazidah Din, amat terharu dengan bantuan yang dihulurkan oleh syarikat Muhammad Fadhli Travels & Tours.
“Kami dari KCMS amat terharu dan bersyukur atas inisiatif Ustaz Fadhli dan pasukannya. Tajaan umrah ini adalah impian yang akhirnya menjadi kenyataan bagi ramai anggota KCMS.
“Sokongan ini juga membuktikan bahawa masyarakat tidak pernah melupakan golongan kurang upaya. Kami berharap perjalanan ini akan mengukuhkan lagi semangat dan keimanan mereka, serta menjadi inspirasi buat insan-insan lain yang senasib,” kata Cik Mazidah yang menghidapi kecederaan saraf tunjang apabila mengalami kemalangan pada 12 tahun. Beliau berkerusi roda dan hanya mampu menggerakkan tangan kanannya.
Seorang anggota KCMS, Encik Ahmad Salim Buang, 37 tahun, meluahkan keghairahan beliau untuk mengikuti perjalanan tersebut.
“Saya sangat gembira dan bersyukur dapat peluang menjalani umrah. Saya juga telah menghadiri kelas persiapan umrah dengan ustaz sebelum hari ini untuk menyiapkan diri,” kata Encik Ahmad Salim, yang mengalami sindrom down. Beliau diikuti ibu, ayah dan abang sulungnya dalam perjalanan umrah itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg