Taikun hartanah Singapura, Encik Robert Ng Chee Siong, dan tiga anaknya bakal dinamakan sebagai “individu penting dalam politik” di bawah undang-undang campur tangan asing Singapura.
Keempat-empat mereka merupakan ahli jawatankuasa badan penasihat politik tertinggi China, Sidang Perundingan Politik Rakyat China (CPPCC), menurut rekod yang tersedia secara umum.
Encik Robert Ng, pengerusi Kumpulan Sino yang tersenarai di Hong Kong – syarikat ‘saudara’ bagi Far East Organization Singapura – serta anak lelakinya, Encik Daryl Ng Win Kong dan Encik David Ng Win Loong, dan anak perempuannya, Cik Nikki Ng Mien Hua, telah mengisytiharkan bahawa mereka adalah ahli badan perundangan asing atau pertubuhan politik asing kepada Pejabat Pendaftaran Pendedahan Asing dan Politik, kata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 7 April.
Pengisytiharan sedemikian diperlukan bagi warga Singapura yang menjadi ahli badan asing tersebut, antara lain, di bawah Seksyen 79 Akta Campur Tangan Asing (Langkah Tindakan Balas), atau Fica.
Undang-undang itu memberi kuasa kepada pihak berkuasa mengekang risiko campur tangan asing dalam politik dalam negara.
Pejabat Pendaftaran Pendedahan Asing dan Politik, yang menyelia pentadbiran dan pelaksanaan peruntukan yang berkaitan dengan orang penting dari segi politik – atau PSP – telah menilai bahawa keempat-empat mereka wajar dinamakan sebagai PSP di bawah Fica, tambah kementerian itu.
Mereka turut menerima pemberitahuan berhubung ketetapan itu pada 7 April.
“Untuk penjelasan, keempat-empat individu itu dinamakan sebegitu bukan kerana mereka terlibat dalam sebarang kegiatan yang keterlaluan,” kata MHA dalam satu kenyataan.
Namun, mereka yang dinamakan sebagai PSP dikehendaki membuat pendedahan tahunan kepada Pendaftar mengenai sumbangan politik sebanyak $10,000 atau lebih yang diterima, serta mengenai hubungan mereka dengan pihak asing dan faedah penghijrahan seperti kewarganegaraan kehormat atau penduduk tetap.
Encik Robert Ng, 72 tahun, ialah anak sulung kepada pengasas Far East Organisation, Encik Ng Teng Fong, dan abang kepada ketua eksekutif syarikat, Encik Philip Ng.
Keluarga itu mempunyai profil awam yang ketara di Singapura, dengan Far East Organization dan Sino Group antara pemaju hartanah terbesar di negara ini.
Ia turut terlibat dalam pembangunan utama antaranya, projek Fullerton Heritage, One Holland Village dan pembangunan semula Kompleks Golden Mile.
Cabang dermawan Kumpulan Sino, Yayasan Amal Ng Teng Fong yang berpangkalan di Hong Kong, juga telah membuat sumbangan kepada pelbagai tujuan amal, dan memberikan sejumlah besar kepada Hospital Besar Ng Teng Fong di Jurong di samping menyokong Galeri Nasional Singapura.
Walaupun kenyataan MHA tidak menyatakan keanggotaan yang dipegang Encik Ng, profil syarikatnya menyenaraikan beliau sebagai ahli Jawatankuasa Kebangsaan ke-11 hingga ke-14 CPPCC.
Sesi ke-11 bermula pada 2008, dan persidangan ke-14 dijadualkan berterusan sehingga 2028.
Encik Robert Ng ialah timbalan pengarah jawatankuasa bagi hal ehwal ekonomi Jawatankuasa Kebangsaan.
Selain itu, beliau merupakan naib pengerusi Persatuan Persahabatan Luar Negara China, sebuah pertubuhan hal ehwal luar di bawah pemerintah China.
Sementara itu, Encik Daryl Ng, 46 tahun, Cik Ng, 44 tahun, dan Encik David Ng, 36 tahun, adalah ahli jawatankuasa tempatan CPPCC, antara gabungan politik yang lain.
Mereka memegang jawatan timbalan pengerusi, pengarah bukan eksekutif, dan pengarah bersekutu kumpulan di Sino Group.
Encik Daryl Ng ialah ahli jawatankuasa tetap Jawatankuasa Perbandaran Beijing ke-14, dan merupakan ahli Jawatankuasa Perbandaran Beijing ke-12 dan ke-13; Cik Ng ialah ahli Jawatankuasa Perbandaran Shanghai ke-14, dan juga pernah menjadi ahli jawatankuasa ke-12 hingga ke-13, sementara Encik David Ng ialah ahli Jawatankuasa Wilayah Fujian ke-12.
Selain itu, Encik Daryl Ng merupakan presiden Persatuan Belia Bersatu Hong Kong dan pengerusi Yayasan Hong Kong-Asean.
Dalam jawapan kepada soalan Parlimen pada 2024, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, berkata tiada larangan ke atas warga Singapura dan penduduk tetap menjadi ahli entiti asing tersebut.
Namun, kegagalan mengisytiharkan keahlian adalah satu kesalahan di bawah Fica, katanya.
Beliau menambah, rakyat Singapura yang menyertai badan-badan tersebut perlu mengetahui sama ada penyertaan mereka berpotensi bertentangan dengan kepentingan Singapura.
Di bawah Fica, PSP merangkumi pemegang jawatan politik, Anggota Parlimen (AP) dan calon pilihan raya serta ejen pilihan raya mereka.
Individu atau kumpulan lain juga boleh dianggap penting dari segi politik sekiranya pihak berkuasa menilai bahawa kegiatan mereka berunsur politik, dan demi kepentingan awam untuk mengenakan langakah mengekang campur tangan asing.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg