Taman Warisan Melayu (TWM) akan membuka semula pintunya kepada orang ramai pada 25 April 2026.
Ia bakal menawarkan kandungan terkini selain artifak baru yang menyepadukan dapatan kajian, kisah dan barangan daripada masyarakat.
TWM ditutup pada 30 Oktober 2022 bagi kerja pembinaan dan pemulihan semula bagi kemudahan serta bangunannya.
Turut mendapat suntikan pembaharuan adalah galeri tetapnya dan kini di tahap akhir kerja pembaikan.
Demikian menurut TWM dan Lembaga Warisan Negara (NHB) dalam kenyataan bersama.
Dalam ucapannya sewaktu Rapat Hari Kebangsaan pada 17 Ogos yang diadakan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata pembukaan semula taman tersebut merupakan sebahagian usaha untuk melestarikan dan memupuk warisan Melayu.
“Ia akan ada galeri dan program baru untuk mempamerkan budaya Melayu Singapura yang kaya dan penuh semangat.
“Selain membuka semula pusat tersebut, kami juga akan menyegarkan kawasan sekitar Kampong Gelam,” ujarnya.
Galeri tetap tersebut akan meraikan kisah kebudayaan masyarakat Melayu merentasi sempadan geografi, yang telah membentuk identiti kontemporari orang Melayu Singapura.
Ia bakal menampilkan perintis baru di samping yang dipamerkan sebelum ini, sekali gus menonjolkan sumbangan mahupun legasi yang ditinggalkan mereka dalam masyarakat.
Pembaharuan pusat itu akan meningkatkan perwakilan subkumpulan etnik Melayu selain mempamerkan sebilangan besar penceritaan wanita bagi mengiktiraf sumbangan mereka dalam bidang pendidikan, kesusasteraan dan seni.
Selain itu, pengunjung juga boleh menjangkakan karya baru yang dihasilkan artis Melayu tempatan yang masih segar mahupun yang sudah berpengalaman.
Untuk meraikan pembukaan semula TWM, sebuah festival akan diadakan dari 25 April hingga 3 Mei 2026.
Perayaan berskala besar itu akan turut diraikan di sekitar Kampong Gelam, melibatkan rakan masyarakat dan perniagaan dari kawasan tersebut.
Orang ramai boleh menjangkakan pelbagai program dari siang hingga malam, antaranya menampilkan persembahan kebudayaan dan bengkel eksklusif.
Ditemui Berita Harian (BH), Pengerusi Lembaga Pengarah TWM, Dr Norshahril Saat, berkata TWM adalah institusi penting dalam masyarakat, apatah lagi dengan kedudukannya di Kampong Gelam, tapak sangat bersejarah.
“Jadi kalau kita lihat dari segi program-programnya, mungkin ada perbezaan tetapi yang penting adalah kita kekalkan identiti kita sebagai satu institusi bersejarah, institusi yang memainkan peranan penting untuk kajian sejarah dan juga warisan dalam masyarakat Melayu.
“Jadi saya fikir apa yang penting adalah... bagaimana kita boleh menjadikan TWM sebagai institusi kebanggaan dalam masyarakat kita,” kata Dr Norshahril, yang juga merupakan Zamil Kanan dan Penyelaras bagi Program Pengajian Budaya dan Sosial Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak.
Menyentuh tentang pembaharuan TWM, Dr Norshahril mengalu-alu usaha untuk kedepankan tokoh-tokoh yang kurang dikenali dalam masyarakat, di samping mereka yang tersohor seperti pengarang lagu kebangsaan, Encik Zubir Said, dan presiden pertama Singapura, Encik Yusof Ishak.
Warisan, ujar Dr Norshahril, adalah penting kerana selain meraikan identiti dalam konteks Singapura, masyarakat Melayu juga ada tempat di dalam rantau ini.
“Kita tahu bahawa di Singapura, masyarakat Melayu/Islam mungkin kedepankan meritokrasi dan kepelbagaian, tetapi kedudukan kita mungkin berbeza walaupun kita serumpun di dalam Nusantara ini... bagaimana kita boleh memilih identiti yang lebih berbeza untuk memajukan masyarakat kita di masa hadapan.
“Saya fikir itu yang mungkin kita boleh kedepankan dalam tema dalam pameran dan juga program yang akan dijalankan di TWM,” tambahnya. – Laporan tambahan Insyirah Mohd Shukor.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg