Di sebalik lonjakan populariti kandungan seram, BERITA MINGGU meneliti bagaimana pencipta kandungan seram di Singapura bersaing untuk kekal relevan, serta pandangan pakar tentang mengapa genre seram begitu menarik minat ramai.
Kandungan berunsur seram semakin mendapat tempat di media sosial, khususnya menerusi wadah penstriman secara langsung.
Dengan semakin ramai pencipta kandungan merebut peluang, genre sedemikian kini bukan sekadar hiburan santai, malah sudah berkembang menjadi industri yang lebih bercorak profesional dengan penajaan dan pulangan lumayan.
Antara nama popular yang menggerakkan fenomena itu ialah pengasas podcast, Berhantu, Hafidz Abdul Rahman; pengasas True Horror Stories POV, Siti Naqiah Ayub; peneraju podcast/vodcast Malam Seram yang juga mantan penyampai radio, KC Champion, atau nama sebenarnya Abdul Karim Sadali; serta pengasas MBK Film Studio, Encik Mohamad Hussin Said yang lebih dikenali sebagai Mangobossku.
Cerita hantu yang dulunya hanya disampaikan dari mulut ke mulut kini menemui penonton baru secara lebih meluas, berubah menjadi industri kandungan yang lebih bercorak profesional dan menguntungkan di Singapura dan Malaysia.
Namun, lonjakan permintaan untuk kandungan seram itu memaksa pencipta kandungan berdepan dilema, sama ada untuk memburu kejayaan komersial atau menghormati batas etika agama.
Ada yang menganggapnya tidak menghormati, malah mencari nahas kerana didakwa berisiko mempersendakan makhluk ghaib.
Bagi ramai pencipta kandungan, projek yang pada awalnya sekadar hobi kini sudah menjadi kerjaya.
Ada juga memilih model komersial dengan membuka ruang tajaan.
Menurut KC Champion, yang telah mengendali Malam Seram sejak 2019, pencipta kandungan perlu berfikir seperti usahawan untuk bertahan dalam industri ini.
“Sebagai pencipta kandungan, kami harus bijak menjana pelbagai aliran pendapatan dan tidak bergantung kepada satu aliran sahaja seperti penajaan misalnya.
“Jika genre seram atau video anda tidak menjadi sohor lagi, penaja akan berhenti menaja. Bagaimana anda mahu terus bertahan?,” katanya.
KC Champion menguruskan studio sendiri dan berjaya menganjurkan acara bersemuka berbayar dengan kerjasama rakan kongsi.
Tiket untuk persembahan berbayar pertamanya berjudul, Malam Seram Lagi Seram, di Esplanade Annexe Studio pada Mei 2023, habis dijual untuk kesemua tiga slot tayangan.
“Sesiapa pun boleh buat kandungan seram, tapi nak kekal, itu cerita lain. Sebab akhirnya ini adalah kerjaya, dan kami perlukan pendapatan untuk terus hidup,” jelasnya.
Ketika bertugas sebagai penyampai radio suatu ketika dahulu, beliau turut menjadi hos program, Misteri Jam 12 – salah satu kandungan seram pertama yang mendapat perhatian ramai.
Kandungan seram juga menarik minat penaja.
Pengasas bersama agensi pembantu rumah Bibik2Go, Encik Aliff Zainal, terdorong untuk menaja penstriman langsung MBK Film Studio kerana ia kini menjadi tular dan beliau berharap dapat mencapai sebahagian besar penonton itu.
Beliau mengesahkan pakej tajaan yang dibayar bernilai lebih $10,000.
“Alhamdulillah, selepas siaran langsung kami mula terima pelanggan berpotensi dan pengikut media sosial kami juga meningkat,” tambahnya.
Namun begitu, pengacara terkenal dan pengasas Berhantu, Encik Hafidz Abdul Rahman, pula mengutamakan prinsip berbanding tajaan.
“Duit bukan matlamat akhir saya. Dengan adanya penaja, terdapat keperluan untuk menampilkan mereka dalam podcast dan hingga hari ini saya enggan melakukannya kerana saya tidak mahu kandungan saya terjejas,” kongsinya.
Untuk menjana pendapatan, beliau lebih suka melakukan persembahan secara langsung seperti, Lepak Live, dan pementasan teater.
Hafidz baru-baru ini turut menerbitkan, Cherita Hantu, buku setebal 234 halaman yang mengandungi koleksi skrip untuk pementasan seram yang beliau anjurkan dari 2021 hingga 2025.
Pementasan tersebut yang berjudul Cherita Hantu (2021); Cherita Hantu: Kembali (2023); Cherita Hantu: Horror Reimagined (2024); dan Cherita Hantu: Kafirun (2025).
Bagi pementasan Cherita Hantu: Kafirun, ia menawarkan pengalaman empat dimensi yang menggunakan bau bunga melur, bunyi dan visual untuk meningkatkan pengalaman penonton.
Asatizah setempat, Ustazah Kalthom Muhammad Isa, berkata masyarakat Islam perlu bijak mengawal diri apabila menonton kandungan sedemikian.
Beliau, yang juga kaunselor dan pendidik bebas, menjelaskan bahawa Islam tidak melarang hiburan selagi ia tidak bercanggah dengan akidah, syariat, dan akhlak.
Namun, beliau mengutarakan bahawa ada yang dalam kalangan masyarakat menonton kandungan seram bersama kanak-kanak tanpa panduan.
“Ini boleh menanam ketakutan tidak berasas atau imej salah tentang dunia ghaib.
“Sebaiknya, jadikan tontonan itu peluang untuk mengingatkan diri bahawa hanya Allah yang Maha Berkuasa, manakala makhluk ghaib hanyalah ciptaan-Nya.
“Tidak wajar terlalu taasub dengan dunia ghaib sehinggakan lebih minat berbicara tentang jin atau hantu daripada memperbanyakkan ilmu agama,” nasihatnya.
Sementara itu dengan peningkatan tontonan, pencipta kandungan kian kreatif sehingga menggunakan prop atau gaya berlebihan bagi menambahkan suasana seram.
Ketika mengunjungi studio vodcast, True Horror Stories POV di Yishun, wartawan mendapati ia lengkap dihiasi patung yang mempunyai rambut palsu panjang ibarat hantu, serta cahaya daripada lilin dan lampu hiasan untuk menerangi studio yang gelap itu.
Sebelum True Horror Stories POV melakukan vodcast, Cik Naqiah berkata krunya, yang kini terdiri daripada sembilan kakitangan, telah menghasilkan video lakonan semula berdasarkan pengalaman penonton sejak 2019.
Video paling berjaya mereka di YouTube berjudul The Last One meraih 2.7 juta tontonan.
“Kami memastikan mekap untuk pelakon hantu dibuat dengan betul supaya ia nampak seram.
“Kalau penonton asyik lihat hantu atau pelakon sama, mereka akan cepat bosan jadi kami harus ada kelainan dari episod ke episod,” jelas Cik Naqiah.
Dalam nada yang sama, Encik Hussin yang mengetuai MBK Film Studio dan menghasilkan penstriman langsung pada waktu malam di lokasi sunyi, turut memastikan pelakon yang menghidupkan watak ‘hantu’ kelihatan realistik dengan berpakaian kain putih dan rambut palsu.
Ia termasuk membalut seorang kakitangan kru dalam kain putih dan mengarahnya untuk melompat ibarat pocong dalam salah satu siaran langsung di perkuburan Bukit Brown pada 13 September yang disertai Koresponden Berita Minggu (BM), Cik Rubiah Mohd.
Namun, ada juga yang mengkritik trend menghasilkan kandungan seram di tempat ‘keras’ demi meraih tontonan dan tanda suka atau ‘like’.
Penulis dan pengasas syarikat penerbitan Helang Books, Cik Hidayah Amin, menyifatkan amalan itu sebagai tidak menghormati makhluk ghaib.
“Mereka juga makhluk Allah. Tidak wajar kita mengejek atau mencabar mereka,” katanya.
Bagi Encik Hussin dan krunya, beliau menegaskan mereka tetap menjaga batas.
Menurutnya, kegiatan mereka tanpa unsur syirik.
“Kami sekadar membuat bunyi-bunyian dan lakonan, kami bukan nak memanggil (makhluk) menggunakan mantera atau memuja mereka,” tegasnya, sambil mengingatkan pentingnya adab.
Bagi mengelakkan salah faham agama, KC Champion menggunakan Malam Seram sebagai wadah pendidikan dan bekerjasama dengan masjid untuk menjemput ustaz ke acara langsung bagi mengingatkan penonton agar menjauhi syirik dan khurafat.
Menurut Pensyarah Bahagian Bahasa dan Kebudayaan Melayu, Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Asia, Institut Pendidikan Nasional (NIE) – Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Roszalina Rawi, populariti genre seram bukan sekadar trend moden.
Malah, beliau berkata ia sudah lama berakar dalam budaya Melayu, yang kaya dengan tradisi bercerita.
Menurutnya, kandungan seram mendapat tempat kerana ia memberi khalayak rasa saspens dan pengalaman takut dalam keadaan selamat.
Pensyarah Kanan dari Jabatan Pengajian Asia Tenggara di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Mohamed Effendy Abdul Hamid, pula berkata banyak cerita hantu dalam masyarakat Melayu/Islam mengandungi mesej tersirat.
Ini termasuk tema seperti dendam, penganiayaan, dan akibat terhadap perbuatan tidak bermoral.
“Oleh itu, populariti naratif ini boleh menjadi peringatan yang kuat tentang bahaya kekejaman dan perbuatan tidak bermoral, mengukuhkan norma sosial dan etika,” terangnya.
Cik Hidayah pula berpendapat bahawa genre seram berdasarkan rantau Asia terus diminati ramai kerana sifat manusia yang ingin tahu tentang alam ghaib.
Penonton juga tambah beliau, semakin mencari kandungan tempatan atau dari rantau Asia yang dirasakan lebih dekat, berbeza dengan tema ghaib dunia Barat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg