Sebagai peserta kali pertama, Cik Sidrah Sriwaluya, 23 tahun, pada mulanya menganggap Hyrox sebagai laluan lebih mudah untuk menceburi dunia kecergasan berdaya saing, khususnya bagi mereka yang lebih gemar melakukan senaman dalaman berbanding menyertai cabaran ketahanan luar.
Namun, selepas menjalani latihan intensif dan simulasi perlumbaan, beliau menyedari Hyrox turut menuntut komitmen tinggi malah, ia memerlukan persiapan rapi dan disiplin yang tekal.
Cik Sidrah bakal bertanding dalam kategori larian berganti-ganti empat anggota di Stadium Negara pada 28 Jun.
Berkongsi dengan Berita Minggu (BM), Cik Sidrah, berkata:
“Pada awalnya saya sangka Hyrox lebih mudah dikendalikan kerana tiada larian jarak jauh atau halangan luar seperti perlumbaan ketahanan lain.
“Tetapi selepas memulakan latihan, saya menyedari betapa tingginya daya tahan fizikal dan mental yang diperlukan.”
Hyrox, pertandingan kecergasan yang semakin terkemuka di peringkat antarabangsa, mencabar peserta melengkapkan lapan stesen senaman berfungsi – termasuk tolakan kereta luncur, mendayung, bola dinding dan lompat lebar burpee – masing-masing didahului dengan larian sejauh satu kilometer.
“Latihan untuk Hyrox bukan sekadar membina kekuatan fizikal.
“Bagi saya, ia mengajar erti ketekalan terutama pada hari-hari apabila saya kurang bermotivasi.
“Hakikat bahawa saya telah (memberikan) komitmen, dan telah membayar untuk menyertainya, sudah cukup untuk mendorong saya terus berusaha,” ujarnya.
Antara stesen kegemarannya ialah tolakan kereta luncur – satu kegiatan yang pada awalnya dirasakan agak mencabar secara fizikal untuk dirinya.
“Saya tidak terfikir saya mampu menolak sesuatu seberat itu.
“Tetapi selepas berbulan-bulan berlatih, saya berjaya. Ia memberi keyakinan dan menunjukkan sejauh mana saya telah berkembang,” katanya.
Mendaftar dalam kategori larian berganti-ganti bersama tiga rakan rapatnya, Cik Sidrah, mengakui bahawa ia mencabar untuk mengimbangi komitmen latihan dengan kerjayanya sebagai Perunding Perkhidmatan Kewangan di AIA Singapura, selain menyelaraskan masa lapang yang sama untuk sesi latihan bersama.
“Kebanyakan janji temu saya berlangsung pada waktu petang, manakala rakan sepasukan pula hanya lapang pada waktu yang sama kerana kerja atau sekolah.
“Jadi saya perlu mencari ruang – kadangkala saya berlatih sendiri pada sebelah petang atau lewat malam,” jelasnya.
Namun, bagi Cik Sidrah, kekuatan sebenar yang diperoleh adalah dari segi mental.
“Ia benar-benar satu pengalaman yang membentuk minda. Kalau bukan kerana dorongan rakan-rakan, mungkin saya tidak akan mendaftar atau menjalani latihan ini.
“Ia sangat berbeza apabila kita ada matlamat dan seseorang untuk dicapai bersama,” tambahnya.
Baginya, kejayaan bukan diukur melalui kemenangan.
Sebaliknya, ia terletak pada usaha menyempurnakan perlumbaan, menunjukkan kehadiran sepenuh hati, dan membuktikan kepada diri sendiri bahawa beliau mampu melepasi batasan yang disangkakan.
“Saya belajar bahawa satu-satunya perkara yang menghalang saya adalah diri saya sendiri.
“Hyrox memberi saya sesuatu untuk diusahakan – dan mengingatkan bahawa saya lebih kuat daripada apa yang saya fikirkan,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg