Singapura bersedia menyambut lebih 13,000 atlet – peningkatan besar daripada 3,500 pada Oktober 2023 – bagi Kejohanan Asia Terbuka AIA Hyrox yang akan berlangsung pada 28 dan 29 Jun di Stadium Negara.
Pertambahan penyertaan tersebut mencerminkan minat yang semakin meningkat bagi Hyrox, peraduan kecergasan sejagat yang menggabungkan cabaran daya tahan dan kekuatan fungsi harian.
“Peningkatan ini menyerlahkan keghairahan rakyat Singapura terhadap cabaran kecergasan yang menggabungkan kekuatan dan daya tahan,” kata Pengurus Negara Hyrox Singapura, William Petty.
Hyrox menampilkan lapan larian sejauh satu kilometer, setiap satu diikuti dengan stesen kecergasan seperti Sled Push, RowErg, Burpee Broad Jumps, Sandbag Lunge, Wall Balls dan lain lagi, bagi menguji ketahanan fizikal dan mental.
Acara itu menarik pelbagai atlet, daripada yang baru bermula hingga pesaing berpengalaman.
Selain acara biasa seperti kategori individu, beregu dan larian berganti-ganti, edisi 2025 tersebut bakal menyaksikan para atlet terbaik dari serata Asia bersaing dalam Kejohanan Undangan Asia Terbuka Larian Berganti-Ganti Campuran.
Tambahan pula, kejohanan tersebut turut memperkenalkan kategori baru iaitu Larian Berganti-Ganti Korporat, yang memberi peluang kepada pasukan terdiri daripada kakitangan syarikat bersaing antara satu sama lain.
Daya usaha tersebut bukan sahaja menggalakkan kerjasama berpasukan, malah menyokong kesejahteraan antara pekerja melalui persaingan sihat.
Usaha AIA menggalakkan amalan gaya hidup sihat tidak terhenti di situ.
AIA turut melancarkan edisi sulung AIA Ultimate FitnessFest (AUFF), yang akan berlangsung dari Ogos hingga Sepetember.
AUFF merupakan inisiatif kecergasan hibrid yang bertujuan menggalakkan penyertaan daripada semua peringkat umur.
Pertama adalah AUFF Edisi Universiti bagi semua pelajar universiti.
“AUFF Edisi Universiti, dengan sokongan daripada Hyrox, bukan sekadar acara kecergasan – ia merupakan wadah bermakna bagi memupuk gaya hidup lebih sihat dan aktif, sambil meningkatkan kesedaran tentang kepentingan perlindungan kewangan dalam kalangan Generasi Z muda,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, AIA Singapura, Wong Sze Keed.
Dua pasukan teratas untuk edisi tersebut berpeluang menyertai perlumbaan Hyrox pada November secara percuma.
AUFF Edisi Terbuka pula khusus buat sesiapa sahaja yang ingin mencuba Hyrox.
Edisi tersebut mengalu-alukan penyertaan daripada semua peringkat umur dan tahap kecergasan.
Ia menawarkan versi ‘lite’ (lebih ringan) daripada pengalaman Hyrox – direka khas untuk menjadikannya mudah diakses, menyeronokkan dan terangkum.
Untuk maklumat lanjut mengenai AUFF, layari pautan, www.aia.com.sg/ultimate-fitnessfest
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg