Bagi Muhammad Shukri Abdul Manan, 29 tahun, penyertaan dalam Kejohanan Asia Terbuka AIA Hyrox, bukan sekadar satu cabaran fizikal, malah merupakan sebahagian daripada proses penyembuhan dan transformasi dirinya.
Hyrox merupakan peraduan kecergasan sejagat yang menggabungkan cabaran daya tahan dan kekuatan fungsi harian.
Peserta harus habiskan lapan larian sejauh satu kilometer, setiap satu diikuti dengan lapan stesen kecergasan iaitu SkiErg, Sled Push, Sled Pull, Burpee Broad Jumps, RowErg, Farmer’s Carry, Sandbag Lunges dan Wall Balls.
Ketika hidupnya berada dalam fasa yang memerlukan perubahan besar, Shukri memilih untuk menyertai Hyrox sebagai satu cara untuk menguji ketahanan diri – secara fizikal, mental dan emosi.
“Hyrox menonjol bagi saya bukan sekadar satu pertandingan, tetapi sebagai satu ujian perwatakan saya,” kata perunding perkhidmatan kewangan itu.
Kejohanan Asia Terbuka AIA Hyrox – yang berlangsung di Stadium Negara pada 28 dan 29 Jun dan melibatkan lebih 13,000 peserta – merupakan perlumbaan keduanya dalam Hyrox, namun semangatnya tidak pernah luntur.
Menurutnya, setiap penyertaan membawa cabaran berbeza.
Ciri ketahanan, kekuatan dan kekentalan mental yang diperlukan sentiasa berubah dari tahun ke tahun.
Itulah yang menjadikan acara itu begitu menarik dan bermakna baginya.
Komitmennya terhadap latihan cukup mengagumkan.
Beliau menjalani rutin lima hingga enam hari seminggu, menggabungkan latihan kekuatan fungsi harian dengan senaman kardio.
Latihannya khususnya dijalankan di Stadium Negara – bagi meniru suasana perlumbaan sebenar.
Di samping itu, beliau turut memberi perhatian kepada hari pemulihan dan pemakanan seimbang bagi memastikan prestasi kekal stabil dan kecederaan dapat dielakkan.
Shukri juga percaya bahaw kekuatan sebenar datang apabila seseorang tetap hadir dan berusaha walaupun sedang berdepan kesulitan.
“Bahagian yang paling sukar bukanlah kesakitan fizikal – tetapi mengatasi keraguan diri sendiri dan terus berpegang pada matlamat,” katanya.
Sejak perlumbaan pertamanya, Shukri mengalami perubahan besar dari segi mentaliti.
Dahulu, beliau menyertai Hyrox atas dorongan ego, keinginan untuk membuktikan sesuatu kepada diri sendiri dan orang lain, serta untuk melarikan diri daripada kesakitan yang dialami dalam hidup.
Namun kini, pendekatannya jauh berbeza.
Beliau tidak lagi bersaing untuk membuktikan sesuatu, sebaliknya lebih tertumpu kepada proses menjadi insan yang lebih baik.
Konsep disiplin memainkan peranan besar dalam kehidupannya, sama ada dalam latihan mahupun kerjaya sebagai seorang perunding perkhidmatan kewangan.
Dalam sukan, disiplin baginya bermaksud untuk hadir walaupun rasa penat, patuh pada jadual walaupun tidak bermotivasi, dan tetap menjalankan tugas ketika tiada siapa yang melihat.
Di tempat kerja pula, ia ditunjukkan melalui panggilan harian kepada pelanggan, semakan semula portfolio, serta ketabahan menghadapi penolakan – dan tetap bangkit untuk mengulang proses tersebut setiap hari.
Berbanding perlumbaan pertamanya, pendekatan Shukri kini lebih terancang dan berstruktur.
Beliau memberi tumpuan kepada strategi seperti pengurusan tenaga, latihan larian yang diselaraskan dengan kegiatan stesen, peralihan yang lebih lancar antara setiap segmen perlumbaan, pemulihan yang mencukupi dan pemantauan prestasi melalui rekod latihan.
Faktor yang mendorongnya untuk melakukan perubahan tersebut ialah pasangannya, Farah Afiqah Ibrahim, seorang pramugari, yang turut menyertai Hyrox.
Melihat kesungguhan dan ketekunan pasangannya mendorong Shukri untuk meningkatkan usaha serta mengamalkan pendekatan latihan yang lebih bijak dan berkesan.
Bersama-sama, mereka berlatih, bertahan dan berjuang hingga ke garisan penamat.
Saat paling bermakna dalam penglibatannya dengan Hyrox ialah ketika mereka berjaya menamatkan perlumbaan bersama – bukan mengejar masa, tetapi kerana perjuangan yang mereka harungi bersama.
Baginya, pengalaman itu membuktikan bahawa mereka lebih kuat sebagai satu pasukan dan mampu melepasi batasan yang tidak disangka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg