Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, telah melawat Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), bagi mempelajari program kesihatan ibu dan anak di Singapura serta meneroka potensi peluang kerjasama.
Hasil lawatan yang berlangsung pada 27 Mei itu bakal menyaksikan golongan ibu dan keluarga di Pahang meraih manfaat daripada ekosistem lengkap penjagaan, sokongan dan pemerkasaan melalui satu program perintis baru yang dinamakan ‘Dari Rahim ke Dunia’ atau ‘From Womb to World’.
Diilhamkan daripada program ‘1,000 Hari Pertama’ (First 1,000 Days) oleh KKH, yang menumpukan perhatian pada tempoh perkembangan kritikal dari detik awal kehamilan hingga ulang tahun kedua kanak-kanak, program itu akan diterajui Yayasan Kesuburan Tunku Azizah (TAFF) dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Demikian diumumkan Tunku Azizah semasa lawatan beliau yang disambut KKH dan Yayasan Temasek.
Turut hadir ialah Putera Pahang, Tengku Panglima Raja Amir Nasser Ibrahim Shah.
Dalam ucapannya, Tunku Azizah berkata: “Inisiatif ini bukan sahaja tepat pada masanya, malah ia amat diperlukan.
“Dengan kejayaan anda (pihak KKH) yang terbukti dalam program 1,000 Hari Pertama, serta kepakaran perubatan dan kefahaman budaya yang kami miliki melalui UIAM, kami boleh menawarkan ekosistem penjagaan, sokongan dan pemerkasaan yang lengkap bagi golongan ibu dan keluarga,” jelasnya.
Program 1,000 Hari Pertama ini dilancarkan KKH pada 2014 dan telah berkembang menjadi inisiatif nasional.
“Bersama-sama, kita boleh memberi setiap kanak-kanak bukan sahaja permulaan, malah permulaan yang terbaik,” tambah Tunku Azizah, yang mengakui bahawa 1,000 hari pertama kehidupan merupakan tempoh suci bagi pertumbuhan dan perkembangan.
Menurutnya, fasa awal kehidupan merupakan tempoh di mana tubuh, minda dan jiwa kanak-kanak terbuka untuk dibentuk.
“Apabila kita memelihara hari-hari awal ini dengan kasih sayang, perhatian dan perlindungan, kita menetapkan landasan untuk sepanjang hayat (anak itu),” ujarnya lagi.
Program Dari Rahim ke Dunia bakal dilaksanakan dalam fasa perintis di Pahang sebelum diperluas ke peringkat nasional, dengan permulaannya tertumpu kepada aspek pengajaran di universiti perubatan dan latihan amali pengajaran.
Butiran lanjut mengenai program perintis tersebut masih dalam peringkat perbincangan.
Semasa di KKH, Tunku Azizah melawat kemudahan hospital tersebut seperti KK Human Milk Bank – bank susu penderma pertama, yang satu-satunya wujud di Singapura.
Pada 15 Mei lalu, bank tersebut telah dimanfaatkan lebih 8,000 bayi, merekrut lebih 1,400 penderma dan menyalurkan lebih 20,000 liter susu pasteur manusia daripada penderma.
Susu pasteur manusia ini adalah yang telah dipanaskan bagi membunuh bakteria dan virus berbahaya sambil mengekalkan nutrien berkhasiat dan komponen bermanfaat.
Turut hadir ialah ahli pemegang amanah Lembaga TAFF, Dato’ Sri Anne Eu; Setiausaha Kehormat TAFF, Dato’ Hamimah Abdul Karim; serta Pakar Perunding Kanan Pediatrik dan Pernafasan Pediatrik di Pusat Perubatan Hospital Sultan Ahmad Shah @ UIAM, Profesor Madya Dato’ Dr Ahmad Fadzil Abdullah.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Temasek, Encik Ng Boon Heong, berkata:
“Dengan menggabungkan pandangan perubatan dan budaya TAFF yang mendalam dengan pengalaman program peringkat sistem kami, kami percaya kami boleh mencipta bersama model kesihatan ibu dan anak yang bermakna – model yang menghormati sains dan kepercayaan.”
Tunku Azizah turut melawat Pusat Sumber Projek ARIF di Masjid An-Nur, pada petang 27 Mei.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg