Perkhidmatan MRT di Laluan Timur-Barat (EWL) tidak akan beroperasi antara stesen MRT Bedok dengan Tampines selama 10 hari, dari 29 November hingga 8 Disember.
Sepanjang tempoh tersebut juga, tiada perkhidmatan antara stesen MRT Tanah Merah dengan Expo disediakan.
Penumpang yang terjejas perlu menggunakan bas ulang-alik dan dinasihatkan agar memperuntukkan masa yang lebih lama bagi perjalanan mereka, yang dianggarkan boleh mengambil sehingga 30 minit lebih lama, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Namun, kos tambang perjalanan kekal sama.
Dianggarkan sekitar 180,000 penumpang akan terjejas sepanjang tempoh penyesuaian perkhidmatan tersebut selama 10 hari, kata LTA.
Bagi yang menuju ke Simei dan Tanah Merah, mereka boleh menaiki perkhidmatan Shuttle 7, yang beroperasi antara stesen Bedok dengan Tampines.
Mereka yang menuju ke atau dari Expo boleh menaiki Shuttle 8, yang beroperasi antara stesen Bedok dengan Expo.
LTA, dalam kenyataan pada 3 Oktober, berkata ini adalah pusingan kedua penyesuaian perkhidmatan bagi membolehkan kerja penyambungan landasan dari EWL sedia ada ke Depoh Bersepadu East Coast yang baru.
Kerja-kerja tersebut juga akan menghubungkan landasan ke platform baru di stesen MRT Tanah Merah.
Shuttle 7 akan beroperasi setiap tiga hingga lima minit, manakala Shuttle 8 setiap 10 minit.
Penumpang juga boleh menaiki khidmat tren ulang-alik yang beroperasi setiap lima minit antara Tampines dengan Pasir Ris, serta antara Expo dengan Lapangan Terbang Changi.
Tren ulang-alik lain juga akan beroperasi antara Paya Lebar dengan Bedok setiap lapan minit.
Masa menunggu bagi perkhidmatan tren ulang-alik itu lebih lama berbanding perkhidmatan biasa yang mempunyai kekerapan sekitar dua hingga tiga minit pada waktu sibuk.
Ini kerana tren ulang-alik hanya boleh bergerak pergi dan balik di landasan yang sama, berbeza dengan perkhidmatan biasa yang boleh berpatah balik di hujung landasan.
Menurut LTA, pada pertengahan tempoh 10 hari tersebut, masa menunggu tren ulang-alik di Bedok boleh meningkat sehingga 17 minit pada waktu tidak sibuk bagi membolehkan ujian langsung sistem isyarat di landasan baru dijalankan.
Penutupan kali ini menyusuli penutupan terdahulu antara stesen Tanah Merah dengan Tampines dari 7 hingga 9 Disember 2024, yang pada asalnya dijadualkan selama empat hari hingga 10 Disember, namun berjaya disiapkan lebih awal.
Pusingan seterusnya bagi penyesuaian perkhidmatan akan berlangsung pada separuh pertama 2026, sebelum depoh baru itu – depoh bas dan tren terbesar Singapura – mula beroperasi pada akhir 2026.
LTA mengingatkan perjalanan boleh mengambil masa sehingga 30 minit lebih lama dan menasihatkan orang ramai agar merancang perjalanan awal dan mempertimbangkan laluan MRT alternatif seperti Laluan Downtown (DTL).
Tempoh penutupan dari 29 November hingga 8 Disember dipilih kerana jumlah penumpang lebih rendah pada waktu itu, bertepatan dengan cuti sekolah hujung tahun serta tamatnya peperiksaan nasional, tambah LTA.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg