Asatizah muda tidak seharusnya takut jika sijil Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) mereka akan ditarik balik semata-mata kerana berbicara tentang isu semasa secara terbuka.
Menurut Timbalan Mufti, Ustaz Dr Muhammad Hannan Hassan, hal itu tidak benar jika mereka mengutarakannya dengan kemahiran dan kebijaksanaan.
“Anda (asatizah) perlu ada ilmu, tetapi bukan sekadar ilmu – anda juga perlu ada kemahiran untuk menyampaikan, menulis dan berinteraksi, terutamanya dalam media awam pada hari ini.
“Anda mesti memiliki kemahiran, pengetahuan dan kebijaksanaan ini untuk menyampaikan sesuatu pandangan dengan penuh rasa hormat,” ujarnya.
Ustaz Dr Hannan berkata demikian ketika sesi soal jawab di Muktamar Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) pada 24 Mei, yang turut membincangkan mengenai peranan asatizah masa kini.
Menjawab soalan mengenai bagaimana asatizah boleh memperoleh keyakinan dalam mengutarakan pendapat mereka di media sosial, Ustaz Dr Hannan berkata beliau mendapati ramai asatizah muda takut jika ARS mereka ditarik jika berbuat demikian.
Walau asatizah mempunyai keyakinan dan ilmu, mereka berkemungkinan tidak mempunyai ketelitian dan kehalusan dalam menyampaikan pandangan terutama mengenai isu politik, katanya.
Menurutnya, keyakinan berpaksikan tiga perkara – ilmu yang kukuh, kemahiran untuk berkomunikasi dengan hikmah dan keimanan yang kuat.
Merujuk kepada peranan agama ketika Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) pada 3 Mei, Ustaz Dr Hannan berkata:
“Beberapa minggu lalu, saya berbual dengan sekumpulan asatizah. Perbualan itu berlangsung sejurus selepas GE2025 dan menyentuh mengenai peranan agama.
“Dalam sesi itu, seorang individu beragama berkata asatizah tidak bersuara kerana takut – jika mereka bercakap… sijil ARS mereka akan ditarik. Saya nyatakan bahawa perkara itu tidak benar.
“Jika ada individu yang diambil tindakan, ia bukan semata-mata kerana mereka menyuarakan pandangan, Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) boleh menjelaskan perkara ini dengan lebih lanjut.”
Beliau menambah terdapat ramai mentor termasuk asatizah dan tokoh berpengalaman yang boleh membimbing asatizah muda untuk memperjuangkan idea mereka dengan cara yang beradab dan penuh hormat.
Ustazah Dr ‘Alaniah, yang juga merupakan salah seorang anggota panel, menasihati asatizah supaya berpegang kepada tiga perkara – Konteks, Rangkaian dan Konsultasi.
“Sebelum ini, saya pernah menghadapi situasi seperti ini, iaitu perlu membuat keputusan sama ada untuk terus bersuara sebagai seorang asatizah atau tidak.
“Apa yang saya lakukan ialah saya mendapatkan nasihat daripada rangkaian hubungan yang saya ada, untuk berbincang sama ada saya patut atau tidak melakukannya.
“Alhamdulillah, mereka menyokong keputusan saya dan saya rasa itu sangat penting,” kongsinya, yang menggariskan penting untuk asatizah muda membina hubungan dan rangkaian di luar kelompok mereka terlebih dahulu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg