Orang ramai yang ingin menuju ke Malaysia melalui pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas semasa cuti panjang Hari Vesak dari 8 hingga 13 Mei, dinasihatkan agar menjangkakan trafik yang sesak dan masa pemeriksaan lebih lama.
Dalam satu kenyataan pada 5 Mei, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) berkata orang ramai boleh mempertimbangkan untuk menggunakan perkhidmatan bas rentas sempadan pada tempoh ini bagi mengelakkan kesesakan.
Waktu operasi dan jadual perkhidmatan bas boleh didapati di aplikasi MyTransport.SG oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) atau di laman web pengendali bas tersebut.
Mereka yang memandu kenderaan sendiri dinasihatkan untuk memantau keadaan trafik di kededua pusat pemeriksaan darat sebelum memulakan perjalanan mereka.
Pemandu dan penumpang yang menaiki bas juga digalakkan menggunakan kod QR dan bukannya pasport bagi mempercepatkan proses pelepasan imigresen.
Hari Vesak jatuh pada 12 Mei.
Semasa cuti panjang Good Friday baru-baru ini, dari 17 hingga 21 April, lebih 2.4 juta orang telah melintasi pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas.
Hari pertama cuti panjang tersebut mencatatkan paras kemuncak, dengan lebih 555,000 orang dilaporkan melintasi pusat pemeriksaan.
Mereka yang memandu ke pusat pemeriksaan dengan kereta terpaksa menunggu hingga tiga jam untuk melepasi pemeriksaan imigresen, ketika trafik berada pada paras kemuncak, disebabkan kesesakan lalu lintas dari Malaysia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg