Atas kejayaannya mengembangkan perniagaan membuat kek dari rumah hingga menjadi empayar dengan lebih 40 cawangan di seluruh Singapura, Pengasas yang juga Pengarah Urusan Bengawan Solo, Cik Anastasia Tjendri-Liew, 78 tahun, telah dinobatkan sebagai ‘Tokoh Wanita Her World 2025’.
Peguam pro bono, Cik Sadhana Rai, 38 tahun, yang dikenali kerana iltizamnya terhadap keadilan sosial dan akses saksama kepada sokongan undang-undang, pula menerima Anugerah ‘Tokoh Wanita Muda Her World 2025’.
Menurut laporan The Straits Times (ST), kedua-dua wanita itu menerima anugerah masing-masing pada majlis makan malam gala tahunan majalah tempatan, Her World, yang diadakan di Hotel Equarius, Resorts World Sentosa (RWS), pada 30 Oktober.
Dikenali sebagai individu yang memperkenalkan kek sifon pandan, kuih tradisional Indonesia dan kuih tart nanas berbentuk bantal ke Singapura, Cik Tjendri-Liew merupakan wanita pertama yang menerima Anugerah Usahawan Wanita 1998 daripada Persatuan Syarikat Kecil Dan Sederhana (Asme) pada 1998.
Beliau juga penerima Pingat Bakti Masyarakat (PBM) pada 2008 dan Bintang Bakti Masyarakat (BBM) pada 2013.
Dengan semangat untuk menyumbang semula kepada masyarakat, Cik Tjendri-Liew, menubuhkan Anugerah Pengajian Anastasia Liew di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) pada 2023 bagi membantu pelajar warga Singapura tahun pertama sepenuh masa yang memerlukan bantuan kewangan.
Dengan pengiktirafan Her World Singapore, beliau menyatakan dalam satu kenyataan media: “Saya amat berbesar hati dan rendah hati kerana dipertimbangkan sebagai antara wanita yang memberikan sumbangan begitu besar kepada masyarakat...”
Cik Rai, selaku Ketua Pegawai Perwakilan di badan kebajikan undang-undang Pro Bono SG, menyalurkan bantuan undang-undang kepada masyarakat yang terpinggir dan memperjuangkan hak golongan paling terjejas di Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg