Air matanya bergenang apabila menyedari perkara kecil yang pernah dilakukannya untuk anak-anak – gerak-geri yang selama ini dianggapnya biasa – ternyata adalah yang paling mereka ingati dan hargai.
Aziz (bukan nama sebenar), seorang banduan berusia 35 tahun, mempelajari hakikat tersebut semasa menonton sebuah video yang ditayangkan semasa acara khas sambutan Hari Bapa di Pusat Pemulihan Dadah (DRC) di Institusi S1, Kompleks Selarang Park, pada 12 Jun.
Dihasilkan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) dengan kerjasama Pusat Kebapaan (CFF), video tersebut adalah sebahagian inisiatif baru, Pengesahan Video Hari Bapa untuk Bapa yang Dipenjara.
Buat kali pertama, anak-anak banduan merakam mesej video buat bapa mereka, di samping mengirimkan kad Hari Bapa, dan banduan berpeluang membalasnya dengan menulis surat.
Inisiatif demikian adalah sebahagian usaha berterusan SPS dan CFF untuk menyokong bapa yang dipenjara dalam membina semula dan mengekalkan hubungan kekeluargaan yang kukuh.
Kini, di sebalik jeriji besi, perbuatan kecil itu menjadi amat bermakna dan satu dorongan buat Aziz untuk menjadi teladan yang lebih baik kepada empat anaknya.
Bercakap dengan Berita Harian (BH), Aziz, yang ditahan atas kesalahan dadah Meth (metamfetamin), berkata:
“Saya fikir saya ialah bapa yang paling tak guna.
“Tapi selepas menonton video itu, saya sedar anak-anak saya masih ingat dan hargai setiap perkara kecil yang saya buat untuk mereka.”
Seramai 25 anak kepada 11 banduan telah mengirimkan mesej untuk acara tersebut.
Dalam video itu, anak-anak mereka berkongsi detik istimewa yang mereka kenang.
Apa yang membuat mereka gembira adalah penghargaan tentang ayah, pesanan buat ayah apabila berasa letih atau sedih, serta sebab mengapa mereka menyayangi ayah.
“Tak sangka, rupa-rupanya perkara kecil yang saya anggap biasa saja – itulah yang paling anak-anak ingat dan hargai,” katanya dengan nada sebak.
Mereka turut menerima surat daripada anak-anak mereka.
Antara kandungan surat daripada anak perempuan Aziz yang berusia 12 tahun, berbunyi:
“Walaupun ayah penat selepas kerja, ayah tetap akan bermain dengan kami dan meluangkan masa untuk berbual dengan saya…
“Apabila ayah pulang nanti, ingatlah untuk selalu bertemu kami setiap kali ayah rasa penat atau sedih. Kami akan sentiasa ada untuk ayah.”
Aziz mula terjerumus dalam kancah dadah ketika berusia 20 tahun, namun bebas daripadanya pada 2013 selepas bertemu isterinya, yang kemudian berkahwin pada tahun yang sama.
Dia kemudian kekal bebas daripada dadah selama lebih sedekad – sehingga kambuh semula pada awal 2024, apabila bertemu rakan lama.
Pada 6.40 pagi 14 Februari, empat pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) tiba di rumahnya – satu detik yang disifatkannya sebagai satu pengakhiran pada perbuatannya.
“Saya sedar, apabila seseorang memilih untuk mengambil dadah, satu kaki sebenarnya sudah berada dalam penjara dan satu lagi di luar.
“Cepat atau lambat, masa itu pasti akan tiba,” tambahnya.
Tidak pernah berjauhan dari keluarga lebih daripada empat hari, kali ini “hanya Tuhan yang tahu betapa sukarnya”.
“Saya rasa sangat kecewa dengan diri saya.
“Saya ada anak dan isteri, tapi saya masih ambil barang-barang macam ini,” ujarnya dengan penuh penyesalan.
Kini, demi keluarga, Aziz menyertai program keluarga seperti ICAN Fathering dan Family Reintegration, sebagai sebahagian daripada proses pemulihan.
“Saya tidak akan sentuh dadah lagi, dan saya akan jauhkan diri daripada kawan-kawan yang tidak membawa kebaikan. Segala-galanya kini untuk keluarga.
“Saya mahu jadi seorang ayah yang mereka boleh harapkan – seorang ayah yang bertanggungjawab. Mungkin selepas apa yang saya pelajari di sini, inilah masanya untuk saya bangkit dan menjadi tempat mereka bersandar,” ujarnya.
Sukarelawan CFF, Encik Bramsha Osman, yang juga pengerusi jawatankuasa sukarelawan penjara dan telah bekerja dengan bapa yang dipenjarakan selama lapan tahun, berkata inisiatif sebegini bermanfaat kerana ia mengingatkan golongan bapa tentang peranan berterusan mereka dalam kehidupan anak-anak.
“Kadang-kadang bapa rasa bersalah, rasa tak berguna. Tapi mesej daripada anak-anak mereka buktikan mereka masih ayah terbaik di mata anak,” jelasnya.
Selari dengan itu, Penolong Pengarah Kanan, Divisyen Pemulihan dan Pengintegrasian (RRD), Cawangan Perkongsian Masyarakat dan Dasar Keluarga (CPFP), Superintendan (Supt) 1A Justin Paul Vikneswaran, berkata:
“Tanpa kehadiran seorang bapa yang baik, risiko anak-anak tersasar haluan hidup adalah lebih tinggi. Atas keprihatinan inilah kami berharap program-program ini dapat membuahkan hasil yang diharapkan iaitu melahirkan bapa yang bertanggungjawab dan menjadi teladan kepada anak-anak mereka.”
CFF telah menyokong bapa yang dipenjarakan dalam sambutan Hari Bapa sejak 2018 melalui aktiviti menulis kad dan surat.
Sejak 2016, CFF telah menyokong lebih 1,800 bapa yang dipenjarakan melalui program seperti bengkel ICAN Fathering, yang membantu mereka lebih memahami peranan mereka dalam kehidupan anak-anak mereka, dan inisiatif lain yang bertujuan untuk membina semula ikatan keluarga semasa pemenjaraan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg