SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Wan Rizal: Pekerjaan ada, tapi ‘pemadanan’ jadi cabaran

Wan Rizal: Pekerjaan ada, tapi ‘pemadanan’ jadi cabaran

AP gerakan pekerja gesa pekerja bersikap fleksibel, lihat pekerjaan sebagai satu perjalanan berterusan
Apr 3, 2026 | 5:30 AM

Wan Rizal: Pekerjaan ada, tapi ‘pemadanan’ jadi cabaran

Dr Wan Rizal Wan Zakariah (kiri) menasihatkan para pekerja termasuk lulusan baharu agar mendapatkan khidmat bimbingan kerjaya yang tidak seharusnya hanya dicari selepas seseorang menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan.
Dr Wan Rizal Wan Zakariah (kiri) menasihatkan para pekerja termasuk lulusan baharu agar mendapatkan khidmat bimbingan kerjaya yang tidak seharusnya hanya dicari selepas seseorang menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan. - Foto fail

Dalam landskap pekerjaan yang semakin kompleks, cabaran utama bukan lagi kekurangan peluang kerja, tetapi cabaran memadankan jangkaan dan kemahiran pekerja dengan keperluan pekerjaan yang tersedia, kata Anggota Parlimen gerakan pekerja, Dr Wan Rizal Wan Zakariah.

Menurut beliau, isu ini semakin ketara dalam kalangan pencari kerja setempat, termasuk lulusan baharu, yang berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan walaupun peluang sebenarnya wujud.

“Rata-ratanya memang bukan tak ada pekerjaan, memang ada. Tapi mismatch (tidak sepadan) itu agak tinggi,” ujar Dr Wan Rizal.

Dr Wan Rizal, yang juga Pengarah Pengurusan Pihak Berkepentingan, Perkhidmatan Kerjaya dan Kumpulan Perkongsian (CSPG) Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), berkata demikian dalam podcast Berita Harian, BHerbual.

Dr Wan Rizal Wan Zakariah (kanan) dalam rakaman podcast BHerbual bersama Koresponden Berita Harian, Cik Irma Kamarudin (kiri) dan Encik Anwar Saleh.
Dr Wan Rizal Wan Zakariah (kanan) dalam rakaman podcast BHerbual bersama Koresponden Berita Harian, Cik Irma Kamarudin (kiri) dan Encik Anwar Saleh. - Foto BH oleh KHALID BABA

Podcast tersebut membincangkan usaha e2i menyokong pencarian kerja penduduk setempat, selain isu-isu yang menjejas pekerja Melayu/Islam.

Beliau menjelaskan bahawa antara faktor utama ialah jangkaan gaji dan kriteria pekerjaan yang tidak selari dengan tawaran yang tersedia.

Ada juga pencari kerja yang terlalu terikat kepada lokasi atau jenis pekerjaan tertentu, sekali gus mengehadkan peluang mereka sendiri.

“Kadang-kadang mereka ada pemikiran yang tidak fleksibel tentang apa yang mereka mahukan dan mereka tidak mahu berkompromi,” tambahnya.

Dalam konteks ini, Dr Wan Rizal, yang juga Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, menekankan pentingnya anjakan minda – khususnya kesediaan untuk berkompromi dan melihat pekerjaan sebagai juga satu perjalanan pembelajaran.

Peranan e2i dan kepentingan bimbingan awal

Sebagai sebahagian daripada peranannya di NTUC dan e2i, Dr Wan melihat misi utama adalah memperkasakan pekerja dan meningkatkan kebolehpasaran mereka.

“Secara amnya, kerja kami di NTUC ini adalah untuk memperkasakan pekerja kita… agar mereka dapat maju dalam kerjaya, mendaki tangga kerjaya dan gaji. Itu adalah tumpuan kami,” katanya.

Bagi lulusan institut pengajian tinggi yang mahu menceburi dunia pekerjaan, beliau menekankan bahawa khidmat bimbingan kerjaya tidak seharusnya hanya dicari selepas seseorang menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan.

“Sebenarnya jangan tunggu sampai habis belajar atau ada masalah mencari pekerjaan yang sesuai… sebelum itu, mereka boleh datang kepada kami di e2i, di NTUC, dan boleh mendampingi jurulatih kerjaya kami,” katanya, sambil menambah bimbingan awal boleh mengurangkan kebimbangan dalam kalangan pencari kerja.

Menurut beliau, peranan jurulatih kerjaya sering disalah faham sebagai sekadar membantu mendapatkan pekerjaan, sedangkan fungsi sebenar lebih luas – termasuk membimbing, menasihati dan membantu individu memahami kekuatan serta kelemahan mereka.

“Keluhan utama pekerja kita ialah mereka tidak dapat pekerjaan yang mereka mahukan… jadi dari situ, kita dapat melihat ada jurang antara apakah yang diperlukan pekerjaan itu dengan apakah kemahiran yang ada pada pekerja kita.

“Dengan kesedaran apakah jurang itu, jurulatih kerjaya boleh membantu pekerja tersebut memahami keadaannya dan pilihannya, bagi jangka masa pendek dan juga panjang kerana pekerjaan ini juga adalah satu perjalanan,” jelas beliau.

Kebimbangan graduan dan realiti pasaran kerja

Menyentuh lebih lanjut, keprihatinan dalam kalangan lulusan muda yang sering merasakan sukar untuk mendapatkan pekerjaan, Dr Wan Rizal berkata sebahagian besar kebimbangan ini berpunca daripada persepsi dan pengalaman rakan sebaya.

“Mereka belum cuba… kadang-kadang kekhuatiran ini berpunca dari pengalaman rakan-rakan, atau apa yang mereka baca dalam talian,” katanya.

Namun, beliau melihat sikap generasi muda sebagai sesuatu yang positif, termasuk keterbukaan untuk mencuba bidang baharu dan meningkatkan kemahiran.

“Anak-anak muda kita ini, mereka sebenarnya mempunyai fikiran terbuka… berani untuk mencuba. Kita perlu melihat dan memanfaatkan perkara ini sebagai satu kekuatan,” katanya.

Bagi mengatasi jurang ini, beliau menekankan kepentingan memahami kehendak pasaran serta meningkatkan kemahiran agar selari dengan tuntutan pekerjaan.

AI sebagai keperluan asas, bukan pilihan

Seiring dengan penekanan Belanjawan 2026 terhadap kecerdasan buatan (AI), Dr Wan Rizal menegaskan penguasaan AI kini bukan lagi pilihan, bahkan keperluan asas bagi sektor tenaga manusia.

“Sebenarnya AI ini berbagai dan setiap AI ini ada bidang tumpuannya… kita mesti tahu dan faham apakah AI dan apakah kaitannya kepada pekerjaan terutama dalam sektor yang ingin kita ceburi,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa langkah pertama adalah memahami asas AI, diikuti dengan mengenal pasti aplikasi yang relevan dengan pekerjaan masing-masing.

“Kalau tak kenal, kita tak tahu… yang pentingnya kita mesti mempertingkatkan ilmu tentang AI,” ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan bahawa AI harus dilihat sebagai alat yang membantu, bukan menggantikan sepenuhnya peranan manusia.

Kemahiran insaniah kekal relevan

Walaupun AI semakin dominan, Dr Wan Rizal menegaskan bahawa kemahiran insaniah, atau soft skills, tetap menjadi perkara utama yang membezakan satu pekerja dengan pekerja yang lain.

“Apa yang AI tak boleh menggantikan kita adalah soft skills. Jadi kita harus menyedari hakikat ini sepenuhnya dan memanfaatkannya untuk pencarian kerja kita” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan rangkaian sosial dan sokongan masyarakat, khususnya melalui inisiatif seperti M³, dalam membantu masyarakat Melayu/Islam mendapatkan akses kepada peluang pekerjaan.

“Dengan adanya satu rangkaian sebegini, kita boleh menjadi sumber dorongan satu sama lain,” katanya.

Masyarakat perlu lebih proaktif

Secara keseluruhan, Dr Wan Rizal menggesa masyarakat agar lebih proaktif dalam meningkatkan kemahiran dan mendapatkan bantuan yang tersedia.

Dalam dunia pekerjaan yang terus berubah, mesej beliau adalah jelas – peluang sentiasa ada, tetapi hanya mereka yang bersedia menyesuaikan diri akan mampu merebutnya.

Bagi beliau, kejayaan tidak hanya bergantung kepada peluang yang ada, tetapi kesediaan individu untuk menyesuaikan diri dengan perubahan.

“Yang penting, kita mesti ada minda yang mahu menyumbang secara bermakna. Kita mahu mencari pekerjaan yang memberi makna kepada diri, supaya kita juga terdorong untuk memperbaiki diri pada setiap peringkat kerjaya kita,” kata beliau.

SUKAR DAPAT KERJA WALAU PELUANG WUJUD

“Rata-ratanya memang bukan tak ada pekerjaan, memang ada. Tapi mismatch (tidak sepadan) itu agak tinggi... Kadang-kadang mereka ada pemikiran yang tidak fleksibel tentang apa yang mereka mahukan dan mereka tidak mahu berkompromi.”
PERANAN PERKASA PEKERJA

“Secara amnya, kerja kami di NTUC ini adalah untuk memperkasakan pekerja kita… agar mereka dapat maju dalam kerjaya, mendaki tangga kerjaya dan gaji. Itu adalah tumpuan kami.”
PENGUASAAN AI SATU KEPERLUAN

“Sebenarnya AI (kecerdasan buatan) ini berbagai dan setiap AI ini ada bidang tumpuannya… kita mesti tahu dan faham apakah AI dan apakah kaitannya kepada pekerjaan terutama dalam sektor yang ingin kita ceburi.”
Dr Wan Rizal Wan Zakariah, Anggota Parlimen gerakan pekerja.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg