Demi melengkapkan belia dengan alat untuk mendapatkan kerja dan memahami landskap pekerjaan yang berkembang di saat kebimbangan ramai tentang peluang bekerja, Mendaki bekerjasama dengan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) untuk melancarkan tujuh pameran kerjaya.
Antaranya ialah pameran kerjaya dua hari, Youth Skills & Career Fair@*SCAPE, yang berlangsung dari 6 hingga 7 Oktober di Scape, Orchard.
Pameran tersebut merupakan yang pertama diadakan di bawah penggal baru Bidang Tumpuan Keempat (FA4) M Kuasa Tiga (M3), kongsi Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, yang juga Pengerusi Yayasan Mendaki.
“Pada 2025, Mendaki telah bekerjasama dengan e2i dalam tujuh pameran kerjaya, mencerminkan komitmen berterusan kami untuk menyokong belia, terutamanya pada masa ramai prihatin tentang peluang pekerjaan.
“Melalui kerjasama kami dengan e2i, kami bukan sahaja menganjurkan pameran kerjaya, bahkan melengkapkan belia dengan alat untuk mendapat pekerjaan, memahami landskap pekerjaan yang berkembang dan bersedia dengan berkesan untuk temu duga supaya mereka dapat mencapai aspirasi mereka dengan yakin,” kata Encik Zaqy.
FA4 bekerjasama dengan pertubuhan seperti NTUC, NTUC LearningHub, e2i, Yayasan Mendaki, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), SkillsFuture Singapura (SSG), Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat (LLI) dan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG), untuk menawarkan kursus bersubsidi, bimbingan kerjaya, perkhidmatan pemadanan pekerjaan dan program jangkauan masyarakat.
Berkongsi lanjut, Pengarah Pengurusan Pihak Berkepentingan, Perkhidmatan Kerjaya dan Kumpulan Perkongsian (CSPG) NTUC e2i, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, berkata:
“FA4 bukan sekadar menawar pekerjaan, tetapi juga menyediakan mereka (pencari kerja) pekerjaan masa depan.
“Dengan perubahan pesat teknologi, adalah penting agar kami dapat berkongsi dengan mereka apakah pekerjaan masa depan dan apakah kemahiran yang mereka perlukan.
“Selain itu, kami juga ingin mereka faham bahawa cabaran masa depan amat sengit terutama sekali dari sudut teknologi dan dengan itu, kami juga ingin mereka tumpukan kepada peningkatan kemahiran.”
Justeru, pameran kerjaya, Youth Skills & Career Fair@*SCAPE, anjuran NTUC e2i itu khususnya dapat membantu belia menyesuaikan diri dengan tenaga kerja yang dibentuk oleh pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI), menurut e2i dalam satu kenyataan pada 7 Oktober.
Majikan daripada pengendali hospitaliti, Far East Hospitality, syarikat pemasaran digital OOm, dan perusahaan inovasi sosial bukan meraih keuntungan, Trampolene, turut hadir untuk memberi peluang kepada pencari kerja.
Peserta juga dapat mencuba set alatan kerjaya dikuasakan AI e2i seperti jurulatih kerjaya AI NTUC (AICC), pembina resume e2i dan penemu duga AI e2i, yang direka untuk mempertajam permohonan pekerjaan dan kemahiran temu duga.
Di samping itu, peserta turut meraih manfaat daripada penasihat kerjaya, bengkel penyampaian dan imej profesional, ceramah oleh pempengaruh, dan sesi foto korporat yang sesuai bagi wadah LinkedIn.
“
“Melalui kerjasama kami dengan e2i, kami bukan sahaja menganjurkan pameran kerjaya, bahkan melengkapkan belia dengan alat untuk mendapat pekerjaan, memahami landskap pekerjaan yang berkembang dan bersedia dengan berkesan untuk temu duga supaya mereka dapat mencapai aspirasi mereka dengan yakin.”“
“Dengan perubahan pesat teknologi, adalah penting agar kami dapat berkongsi dengan mereka apakah pekerjaan masa depan dan apakah kemahiran yang mereka perlukan. Selain itu, kami juga ingin mereka faham bahawa cabaran masa depan amat sengit terutama sekali dari sudut teknologi dan dengan itu, kami juga ingin mereka tumpukan kepada peningkatan kemahiran.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg