Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, akan menyertai Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan menjadi AP Pekerja, mulai 18 Ogos.
Dalam satu kenyataan media oleh NTUC pada 13 Ogos, ia menyatakan Dr Wan Rizal akan menyertai NTUC sebagai Pengarah Pengurusan Pihak Berkepentingan, Perkhidmatan Kerjaya dan Kumpulan Perkongsian (CSPG).
Sebagai AP Pekerja, Dr Wan Rizal akan mengetengahkan kepentingan pekerja di Parlimen.
Beliau juga akan memperjuangkan teras bidang sokongan NTUC, dengan tumpuan utama adalah untuk menyokong pekerja bergaji rendah dan memperkukuh penglibatan bersama masyarakat Melayu/Islam, kata NTUC.
Dr Wan Rizal, yang akan mengakhiri perkhidmatannya selaku pensyarah kanan di Sekolah Sukan, Kesihatan dan Riadah di Politeknik Republic (RP) pada 15 Ogos, berkata:
“Sejak sekian lama sebagai seorang pendidik, pemimpin masyarakat dan AP, saya telah bertemu dengan pekerja yang rasa mereka jauh ketinggalan – sama ada kerana usia, pendapatan atau latar belakang.
“Saya berharap untuk menjadi penghubung antara pekerja dengan dasar, dan memperjuangkan kepentingan pekerja bergaji rendah mahupun pekerja matang, termasuk mereka dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam kita.”
Beliau sebelum ini pernah menjadi guru Pendidikan Jasmani (PE) selama 12 tahun.
Menjawab soalan susulan oleh Berita Harian (BH), beliau berkata pekerja bergaji rendah dan pekerja matang merupakan segmen yang ingin ditumpukannya kerana mereka tunjang tenaga kerja di Singapura dan antara golongan yang disokong NTUC sejak kebelakangan ini.
“Adalah penting memastikan suara mereka didengar dan kepentingan mereka diwakili di Parlimen supaya ia dapat disertakan dalam dasar yang dapat meningkatkan gaji, kemaslahatan dan prospek pekerjaan mereka,” ujar Dr Wan Rizal.
Sehubungan itu, beliau ingin lebih mendekati golongan ini bagi memahami cabaran yang dialami golongan ini di samping bekerjasama dengan rakan kongsi lain, tambah beliau.
Menurut Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, pelantikan Dr Wan Rizal dalam e2i akan memperkukuhkan kebolehan NTUC untuk “memahami, mewakili dan menyokong semua pekerja”.
“Dengan cabaran sosio-politik dan ekonomi, termasuk teknologi baru seperti kecerdasan buatan (AI) membentuk semula perniagaan dan pekerjaan, adalah penting bagi kepimpinan kami mengekalkan hubungan utuh dengan pekerja di lapangan.
“Hubungan dengan pekerja ini membolehkan kami memahami dengan lebih baik keperluan dan kebimbangan mereka yang semakin berkembang supaya kami dapat menyokong mereka merebut peluang dan berjaya dalam persekitaran yang berubah dengan pesat,” ujar Encik Ng.
Sebagai Pengarah Pengurusan Pihak Berkepentingan di e2i, Dr Wan Rizal akan bekerja rapat dengan rakan kongsi masyarakat, pemimpin gerakan pekerja, penasihat akar umbi dan pihak berkepentingan memperdalam hubungan masing-masing, kata NTUC.
Ini di samping menganjurkan pameran kerjaya bagi menghubungkan mereka yang mencari pekerjaan dengan peluang pekerjaan, serta menerajui usaha pembangunan strategi dan program bagi menyokong inovasi, daya pekerjaan serta perkembangan pekerjaan jangka panjang untuk pekerja, tambah NTUC.
Ketua Pegawai Eksekutif e2i NTUC, Cik Caryn Lim, berkata pelantikan Dr Wan Rizal akan meningkatkan lagi usaha pertubuhan itu untuk menjangkau golongan yang terabai agar ia dapat mereka program atau perkhidmatan pekerjaan bagi memenuhi keperluan golongan ini.
“Dr Rizal mempunyai hubungan akar umbi yang tidak ternilai dan pemahaman mendalam tentang cabaran yang dihadapi oleh pekerja bergaji rendah dan pekerja matang, khususnya dalam masyarakat Melayu/Islam,” katanya.
Sementara itu, mantan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Fahmi Aliman, telah mengundurkan diri sebagai Pengarah Divisyen Operasi dan Mobilisasi NTUC pada 30 Jun, menurut NTUC.
Menukil laman rasmi NTUC, Encik Fahmi menggalas jawatan tersebut sejak 7 April 2020 dan semasa menjadi AP GRC Marine Parade, beliau turut menjadi AP Pekerja sebelum persaraannya daripada politik pada April.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg