Tiga Anggota Parlimen (AP) Melayu – Encik Saktiandi Supaat, Encik Sharael Taha dan Cik Mariam Jaafar – telah dipilih untuk berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC).
Mereka adalah antara 12 pengerusi baru yang dilantik untuk mengetuai jawatankuasa yang meniliti dasar pemerintah, umum Parti Tindakan Rakyat (PAP) di laman webnya pada 10 Julai.
AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah; dan AP GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Ahmad Samdin, juga dilantik buat kali pertama sebagai Timbalan Pengerusi GPC.
GPC, yang pertama kali dicadangkan oleh Menteri Kanan Emeritus (ESM), Encik Goh Chok Tong, pada 1987, ditubuhkan oleh PAP untuk meneliti perundangan dan program yang dilakarkan oleh pelbagai kementerian.
Ia juga berfungsi sebagai saluran tambahan untuk mendapatkan maklum balas mengenai dasar pemerintah.
Encik Saktiandi, yang merupakan AP GRC Bishan-Toa Payoh, dilantik sebagai Pengerusi GPC Kewangan dan Perdagangan dan Perusahaan, serta berkhidmat sebagai Timbalan Pengerusi GPC Tenaga Manusia.
Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengerusi bagi GPC Pengangkutan.
Encik Saktiandi memberitahu Berita Harian, beliau berbesar hati diberi penghormatan untuk berkhidmat sebagai pengerusi, namun akur ia tanggungjawab besar.
Menurutnya jawatankuasa tersebut akan meneruskan usaha yang telah dibina oleh jawatankuasa terdahulu, yang dipimpin oleh AP Bukit Panjang, Encik Liang Eng Hwa.
“Kami akan melibatkan diri secara lebih meluas dengan orang ramai supaya mereka boleh berkongsi kebimbangan, pandangan dan idea mereka kepada kami, terutamanya daripada mereka di luar Parlimen. Itu sangat penting.
“Bukan sahaja penduduk, malah kami juga akan mendapatkan pandangan dan idea daripada karyawan dan pakar supaya perbahasan di Parlimen dapat dijalankan dengan cara yang lebih membina bagi mencapai huraian,” kata Encik Saktiandi.
Encik Sharael, yang berkhidmat sebagai AP GRC Pasir Ris-Changi, dilantik bagi mempengerusikan GPC Penerangan dan Pembangunan Digital, di samping berkhidmat sebagai ahli GPC Pengangkutan.
Encik Sharael berkata GPC Penerangan dan Pembangunan Digital akan memberi tumpuan kepada tiga bidang luas memandangkan landskap media dan siber terus berkembang.
Ini termasuk memastikan keselamatan ruang digital Singapura, terutama terhadap maklumat yang salah, membina daya tahan dan keupayaan Singapura, serta memanfaatkan digital dan teknologi untuk membina masyarakat yang lebih terangkum.
“Mengenai AI (kecerdasan buatan) sebagai contoh, kita perlu memerangi maklumat yang salah dan menangani penggunaan negatif teknologi.
“Tetapi kita perlu mencapai keseimbangan antara berapa banyak pemerintah harus campur tangan dengan bagaimana individu harus mengamalkan tanggungjawab peribadi.
“Kami juga ingin melihat apakah peranan Singapura dalam industri teknologi yang lebih luas di dunia.
“Terdapat keperluan untuk melihat bagaimana untuk melatih tenaga kerja bagi membangunkan keupayaan mereka,” katanya.
Cik Mariam, yang berkhidmat sebagai AP GRC Sembawang, dilantik bagi mempengerusikan GPC Kesihatan sambil menjadi ahli GPC Pembangunan Sosial dan Keluarga.
Mengulas mengenai pelantikan barunya, Cik Mariam berkata beliau berbesar hati diberi peluang memainkan peranan lebih besar bersama rakan sekerja dalam GPC Kesihatan.
“Mengimbas kembali pada penggal terakhir pemerintah, saya rasa saya lebih banyak bercakap semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kesihatan berbanding kementerian lain. Jadi ia adalah bidang yang saya sangat ambil berat.
“Sistem penjagaan kesihatan kita adalah satu yang kita amat banggakan, tapi ia perlu terus menjalani transformasi,” kata Cik Mariam.
Antara beberapa bidang yang beliau ingin dalami termasuk menangani pertumbuhan perbelanjaan penjagaan kesihatan dan memperbaharui dasar pembiayaan penjagaan kesihatan termasuk mencadangkan beberapa penambahbaikan kepada MediSave.
Beliau juga ingin mengutarakan isu berkaitan penyepaduan kesihatan mental, sokongan bagi penjagaan warga emas dan penjaga, penggunaan inovasi AI dalam penjagaan kesihatan, serta transformasi tenaga kerja dalam penjagaan kesihatan.
Selain itu, Dr Wan Rizal dilantik sebagai Timbalan Pengerusi GPC Ehwal Dalam Negeri dan Undang-Undang, serta berkhidmat sebagai ahli GPC Kesihatan.
Cik Nadia dilantik sebagai Timbalan Pengerusi GPC Kemampanan dan Sekitaran, sambil berkhidmat sebagai ahli GPC Pembangunan Negara.
AP baru, Cik Hazlina Abdul Halim, yang merupakan AP GRC East Coast, dilantik untuk berkhidmat sebagai ahli GPC Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, serta GPC Pertahanan dan Ehwal Luar.
AP GRC Nee Soon, Syed Harun Alhabsyi, yang merupakan AP penggal pertama juga, tidak akan menganggotai sebarang GPC kerana beliau akan dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara) pada 1 Oktober.
AP GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, yang mempengerusikan GPC Ehwal Dalam Negeri dan Undang-Undang semasa penggal Parlimen lalu, akan dilantik sebagai Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga) pada 1 Februari 2026.
Pelantikan GPC akan berkuat kuasa dengan bermulanya Parlimen ke-15, yang bakal dibuka dengan ucapan Presiden Tharman Shanmugaratnam pada 5 September.
Senarai Ketua Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) baru:
1. GPC Kebudayaan, Masyarakat dan Belia
2. GPC Pertahanan dan Ehwal Luar
3. GPC Penerangan dan Pembangunan Digital
4. GPC Pendidikan
5. GPC Kewangan dan Perdagangan dan Perusahaan
6. GPC Kesihatan
7. GPC Ehwal Dalam Negeri dan Undang-Undang
8. GPC Tenaga Manusia
9. GPC Pembangunan Negara
10. GPC Pembangunan Sosial dan Keluarga
11. GPC Kemampanan dan Sekitaran
12. GPC Pengangkutan
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg