Warga emas di kawasan Eunos kini boleh menjangkakan lebih banyak kegiatan penglibatan dan khidmat sokongan mulai Jun 2026.

Ini menyusuli pelancaran satu inisiatif bergerak yang membawa pelbagai khidmat seperti program kesihatan dan kecergasan serta khidmat dampingan sukarelawan langsung, ke ruang masyarakat berhampiran kediaman warga emas pada 16 Jun.

Program Move2Connect dilancarkan di sebuah blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Eunos Crescent, dengan kehadiran Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang juga Anggota Parlimen GRC Marine Parade-Braddell Heights.

Ia diusahakan oleh badan amal, Sunlove Home, di Eunos dan membolehkan pertubuhan itu mendekati warga emas berusia 60 tahun dan ke atas di kawasan kediaman mereka, tanpa perlu menunggu mereka hadir ke pusat kegiatan berkenaan.

Cik Norhayani Abdul Rahman, 65 tahun, yang telah mengunjungi Pusat Kegiatan Siang Hari Sunlove Home di Eunos enam hari seminggu sejak 2023, memberitahu Berita Harian (BH), program bergerak itu amat bermanfaat terutama bagi warga emas yang tinggal bersendirian dan kurang gemar keluar rumah.

“Saya kenal ramai mak cik lain. Ramai kawan saya datang ke sini untuk bersenam dan bersembang. Saya sendiri tinggal seorang, jadi saya suka datang ke sini.

“Tetapi ada juga warga emas yang tidak keluar rumah, jadi mereka lebih selesa dengan konsep van aktiviti ini. Lebih mudah untuk mereka mencuba kegiatan yang disediakan, malah ia juga membantu mereka yang mengalami demensia.

“Mudah, boleh duduk di rumah dan masih dapat menikmati aktiviti serta penjagaan yang disediakan dalam van ini,” kata nenek enam cucu itu.

Jurucakap Pusat Kegiatan Siang Hari Sunlove Home menjelaskan, walaupun kira-kira 400 warga emas telah berdaftar dengan pusat tersebut, tidak semua hadir secara berkala.

Perkhidmatan bergerak itu dijangka membantu pusat itu mendekati golongan tersebut.

Cik Norhayani, yang mengalami masalah cakera teranjak, juga kerap mendapat nasihat kesihatan daripada doktor yang bertugas di pusat itu.

Menurutnya, dengan adanya perkhidmatan bergerak itu, warga emas boleh mendapatkan bantuan langsung di van berkenaan tanpa perlu berjalan jauh ke pusat di Blok 12, Eunos Crescent, sekali gus mengurangkan kesesakan pengunjung.

Ketua Eksekutif Program Sunlove Home, Encik Raja Mohan, berkata program itu bertujuan menggalakkan penuaan aktif serta mengukuhkan hubungan sosial dalam kalangan warga emas dengan menghubungkan mereka kepada pelbagai program dan rangkaian sokongan yang tersedia.

“Dengan membawa aktiviti lebih dekat kepada warga emas, kami berharap dapat melibatkan mereka yang kurang bergerak, terasing daripada masyarakat atau tidak dapat menghadiri program di pusat kami secara tetap, sekali gus memastikan lebih ramai warga emas terus kekal berhubung, aktif dan mendapat sokongan dalam masyarakat,” ujar beliau.

Perkhidmatan bergerak itu beroperasi antara 8 pagi dengan 5 petang, selaras dengan waktu operasi pusat Sunlove Home.

Program pada waktu malam juga diadakan antara 6 petang dengan 9 malam, manakala kegiatan hujung minggu mungkin dianjurkan di kawasan perumahan, ruang masyarakat, taman dan lokasi kejiranan lain.

Fasa pertama program itu akan memberi tumpuan pada kawasan Eunos sebelum diperluas secara bertahap-tahap ke Bendemeer dan Paya Lebar, kata Encik Raja.

Beliau menambah, penglibatan tenaga profesional bergantung pada jenis program yang dijalankan.

“Bagi kegiatan senaman dan kesejahteraan, ahli terapi Sunlove Home akan menyertai sesi jelajah untuk memberikan panduan profesional, merangka program senaman yang bersesuaian, menetapkan matlamat bersama warga emas serta membantu meningkatkan kecergasan fizikal dan kesejahteraan keseluruhan mereka.

“Selain itu, Sunlove sedang meneroka rancangan menggunakan van ini sebagai pos kesihatan masyarakat bergerak, membolehkan pasukan jururawat membawa perkhidmatan kesihatan terpilih, pendidikan kesihatan serta program jangkauan kesihatan masyarakat lebih dekat kepada warga emas di kawasan kejiranan mereka,” tambahnya.

Program itu disokong kakitangan Sunlove Home bersama kira-kira dua hingga tiga sukarelawan bagi setiap sesi.

Mereka akan membantu mengendalikan kegiatan, berinteraksi dengan warga emas, menyediakan sokongan dampingan, menguruskan logistik program serta menggalak penyertaan penduduk setempat.