Ketika menyusuri jalan-jalan di Siem Reap, Kemboja, Encik Hanizam Mohamed Yasin, 52 tahun, bergaul tanpa rasa kekok dengan penduduk tempatan.
Dengan kulitnya yang sawo matang dan kefasihannya dalam dialek tempatan, ramai menyangka beliau warga Kemboja.
Namun, tidak ramai yang sedar beliau seorang rakyat Singapura berbangsa Melayu yang telah menetap di Kemboja sejak awal 2000-an.
Apa yang ramai lagi tidak tahu ialah peranan yang beliau mainkan dalam memperkenalkan budaya Singapura kepada masyarakat Kemboja, menerusi makanan dalam satu acara anjuran Kedutaan Singapura di Institut Politeknik Kebangsaan Kemboja.
Acara itu merupakan sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Singapura dengan Kemboja.
Usaha yang dilakukan Encik Hanizam merupakan contoh jalinan mesra antara rakyat seperti yang ditekankan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa lawatannya ke Phnom Penh pada 2 Julai.
Encik Hanizam, yang bertugas sebagai ketua pembangunan perniagaan, berkata: “Sejak menetap di Kemboja, saya dikenali sebagai ‘foodie’ (penggemar makanan) dan seorang yang mahir dalam hal-hal berkaitan makanan dalam kalangan masyarakat Kemboja dan warga Singapura yang menetap di sini.
“Baru-baru ini, saya pulang ke Singapura untuk jalankan tugasan kerja dan merakam foto berkaitan budaya Singapura bagi memperkenalkan Singapura kepada masyarakat Kemboja.”
Dengan pendekatan unik melalui makanan, beliau mengangkat budaya makanan penjaja Singapura dalam satu pembentangan yang bukan sekadar memperkenalkan juadah tempatan, malah menyulam keakraban antara dua budaya yang berbeza – membina jambatan yang menyatukan hati rakyat Singapura dan Kemboja.
Di samping itu, beliau terlibat dalam menghasilkan blog mengenai pertukaran budaya makanan antara kedua-dua negara dalam satu acara anjuran Kedutaan Singapura di Phnom Penh dengan sokongan Lembaga Pelancongan Singapura (STB).
Dibesarkan di Kampung Nee Soon sebagai anak penjaja makanan, kehidupan Encik Hanizam – atau lebih dikenali sebagai Haniz dalam kalangan rakan dan anggota keluarganya – sentiasa berputar di sekitar dunia makanan dan pusat penjaja.
“Seluruh keluarga saya berada dalam sektor makanan dan minuman (F&B). Arwah bapa saudara saya, arwah nenek, ibu saudara saya, mereka semua berniaga di gerai. Saya dibesarkan dalam dunia makanan, memang sudah sebati dalam jiwa saya,” katanya.
Hubungan yang begitu akrab dengan dunia makanan akhirnya menjadi pasportnya, membuka jalan ke luar negara termasuk Kemboja.
Ketika itu, pada awal tahun 2000-an, Kemboja masih dalam proses pemulihan daripada kesan perang saudara.
“Belum ada Facebook, belum ada Internet. Senjata api pun masih kelihatan di mana-mana,” kata beliau.
Namun di tengah-tengah kekalutan itu, Encik Hanizam menemui sesuatu yang berharga – ketenangan dan ‘rumah’.
“Saya suka kehidupan dan suasana kampung. Ia mengingatkan saya kepada zaman 70-an dan 80-an di Singapura,” tambahnya.
Encik Hanizam ke Kemboja bersama lima lagi rakan sekerja. Hari ini, hanya beliau yang masih bertahan.
“Yang lain tak dapat sesuaikan diri. Tapi saya kata pada diri saya bahawa saya tak datang ke sini untuk membuat perbandingan antara dua negara,” ujar beliau.
Namun, antara kejutan budaya yang beliau alami ialah apabila melihat penduduk tempatan makan serangga.
“Saya terkejut dan bertanya, “Serangga pun dimakan?” Saya mula memahami tentang keadaan kebuluran yang mereka alami semasa zaman perang dahulu.
“Makan serangga merupakan sumber protein bagi mereka, dan haiwan-haiwan seperti daging anjing dan tikus menjadi sajian harian demi kelangsungan hidup,” kata Encik Hanizam, yang mengakui bahawa penyesuaian diri di Kemboja banyak mengajarnya erti kesabaran dan kerendahan hati.
Antaranya termasuk belajar untuk merendahkan nada suara dan menyesuaikan kata-kata mengikut siapa yang kita sedang bercakap. Ia adalah budaya yang menitikberatkan rasa hormat.
Di samping itu, beliau menyesuaikan diri dari segi penampilan dan percakapan, sehinggakan ramai menyangka beliau penduduk tempatan.
“Kadangkala mereka tak tahu saya orang Melayu Singapura. Mereka sangka saya orang Kemboja,” katanya sambil tertawa.
Namun begitu, perjalanan untuk mendapatkan penerimaan keluarga bukanlah mudah. Beliau, yang belum berumah tangga, meninggalkan kededua orang tua dan dua orang adik di Singapura.
“Ibu bapa saya mengambil masa hampir 10 hingga 15 tahun untuk benar-benar terima bahawa Kemboja kini adalah rumah saya.
“Mereka tidak faham mengapa saya pilih untuk terus tinggal di sini. Tapi saya beritahu mereka – kalau saya pulang ke Singapura sekarang, ke mana arah kerjaya saya?
“Saya pernah mencuba dan pulang ke Singapura untuk mencari pekerjaan pada usia 40-an, namun agak sukar.
“Sekarang usia saya sudah mencecah 50-an... mungkin lebih sukar,” jelas Encik Hanizam, yang mempunyai kehidupan dan pekerjaan yang stabil, dikelilingi dengan masyarakat yang baik dan yang paling penting – ketenangan fikiran.
Kedamaian itu termasuk kehidupan mampu milik, katanya.
Sebagai contoh, di Kemboja, sebuah unit kediaman dengan satu bilik dan satu ruang tamu yang beliau diami, lengkap dengan kawalan keselamatan dan kolam renang di atas bumbung hanya berharga sekitar AS$250 sebulan ($300).
Meskipun Kemboja dianggap sebagai rumahnya, beliau tetap pulang ke tanah air bak kata pepatah, “setinggi-tinggi terbang bangau, hinggap di belakang kerbau juga”.
“Saya mungkin tidak lagi tinggal di sana (Singapura) sekarang, tetapi saya tetap membawa sebahagian daripada identiti Singapura ke mana-mana saya pergi,” ujar beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg