Singapura dan Kemboja akan memperkukuh kerjasama dalam beberapa bidang termasuk tenaga boleh diperbaharui, kredit karbon bermutu tinggi dan perdagangan produk makanan, sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kededua negara.
Demikian dinyatakan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 2 Julai semasa lawatannya ke ibu negara Kemboja, Phnom Penh.
Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada siri lawatan pengenalannya ke negara Asean itu.
Semasa majlis makan tengah hari yang dihoskan oleh Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet, di Istana Keamanan, Encik Wong merakamkan penghargaan atas undangan tersebut, di samping menyatakan bahawa hubungan antara kededua negara telah berkembang kukuh dalam tempoh enam dekad lalu.
“Hubungan ini... dibina di atas asas kukuh yang telah dipelopori Perdana Menteri pada ketika itu, Encik Lee Kuan Yew, dan Raja Norodom Sihanouk.
“Ia merupakan asas yang dibentuk melalui sikap saling hormat-menghormati, saling mempercayai dan persahabatan yang terus memandu hubungan kita sekarang,” kata Encik Wong dalam ucapannya yang disampaikan semasa majlis tersebut.
Beberapa bidang kerjasama utama yang akan memanfaatkan Singapura dan Kemboja telah dibincangkan semasa pertemuan Encik Wong dengan Encik Manet.
Antara lain, kededua pemimpin telah memberi tumpuan kepada bidang tenaga boleh diperbaharui yang akan membantu membina Asean yang lebih hijau dan terhubung.
Encik Wong merujuk kepada projek yang akan menjadi asas penting ke arah pembentukan Grid Tenaga Asean, rancangan untuk menghubungkan rangkaian elektrik negara-negara anggota Asean dan membolehkan perdagangan tenaga rentas sempadan menjelang 2045.
Dalam bidang kredit karbon bermutu tinggi, kededua negara sedang bekerjasama untuk melaksanakan perjanjian yang telah dimeterai sebelumnya.
“Usaha ini akan menggerakkan pembiayaan untuk projek tenaga bersih, meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar dan memperbaiki kehidupan, sambil membolehkan kededua negara mencapai sasaran sifar bersih,” kata Encik Wong.
Menurutnya, Singapura akan memperdalam kerjasama dalam bidang perdagangan pertanian kerana Kemboja merupakan pengeksport utama pertanian, manakala Singapura mengimport hampir semua produk makanannya.
“Kami juga berhasrat untuk mempelbagaikan sumber import makanan kami, jadi kerjasama yang lebih erat dalam bidang ini akan membawa manfaat bersama bagi kededua negara,” ujar Encik Wong.
Kededua negara turut bersetuju untuk meneruskan kerjasama dalam memperkukuh pemusatan dan perpaduan Asean agar ia kekal relevan dan dapat memajukan kepentingan bersama.
“Dalam suasana sejagat yang tidak menentu ini, adalah lebih penting bagi Asean untuk kekal bersepadu, mengekalkan saluran dialog yang terbuka dan bekerjasama untuk menyelesaikan perbezaan antara kita secara aman,” tambah Encik Wong.
Dalam pada itu, beliau berkata bahawa Singapura dan Kemboja akan terus menjadi rakan kerjasama teguh dalam membangunkan tenaga manusia – dengan hampir 19,000 pegawai Kemboja yang telah dilatih dalam bidang seperti kesihatan awam, tadbir urus digital dan pentadbiran awam – di bawah Program Kerjasama Singapura (SCP).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg