Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan membuat lawatan pengenalan ke Kemboja pada 2 Julai, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 1 Julai.
Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, akan ke Phnom Penh atas jemputan Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet, yang akan mengadakan makan tengah hari rasmi sebagai tanda penghormatan kepadanya, lapor The Straits Times (ST).
Encik Wong akan menyertai upacara sambutan di Istana Keamanan.
Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Raja Norodom Sihamoni, mengunjungi Presiden Senat, Encik Hun Sen dan bertemu dengan Encik Hun Manet.
Kededua negara akan memperingati ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik mereka pada 2025.
Pada 2024, Singapura merupakan pelabur asing ketiga terbesar di Kemboja, dengan perdagangan dua hala antara kededua negara meningkat sebanyak 7.1 peratus tahun ke tahun kepada $4.83 bilion.
Pelaburan Singapura di Kemboja merangkumi sektor hartanah, tenaga, perniagaan pertanian dan kewangan.
Kededua negara turut memperkukuh kerjasama dalam bidang ekonomi hijau dan digital.
Encik Wong akan diiringi Menteri Ehwal Luar, Encik Vivian Balakrishnan; Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Gan Siow Huang; serta pegawai-pegawai daripada Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan PMO.
Semasa ketiadaan Encik Wong, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, akan menyandang jawatan sebagai Pemangku Perdana Menteri.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg