Dua biji strawberi dalam rona merah dan merah jambu mengisi bahagian tengah karya Syarifah Alawiyah Alaydrus Syed Abdul Kadir, 8 tahun dengan bentuknya dihasilkan daripada kepingan kertas kecil yang digunting empat segi.

Berjudul Pieces of Sweetness, karya tersebut mendapat ilham daripada buah kegemarannya – strawberi.

“Saya suka makan strawberi. Jadi saya lukis strawberi.

“Saya takut dengan kucing, tapi saya suka lukis kucing,” kongsi Alawiyah, seorang pelajar Darjah 2 di sekolah Cerebral Palsy Alliance Singapore (CPAS).

Alawiyah, yang mempunyai osteogenesis imperfecta, atau penyakit tulang rapuh, dan tidak banyak berbual mengambil masa kira-kira tiga jam di sekolah untuk menghasilkan karya tersebut.

Dalam keadaan berkerusi roda, dia melukis dan mewarnakan buah strawberi sebelum memotongnya menjadi kepingan-kepingan kecil berbentuk empat segi, dengan gurunya mengawasi aktivitinya itu termasuk penggunaan gunting.

Kepingan itu kemudian disusun semula untuk membentuk karya tersebut.

Karyanya merupakan antara lebih 200 karya yang dipamerkan di Shaping Hearts 2026, acara seni inklusif tahunan anjuran Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North East.

Berlandaskan tema ‘Langkah Masuk ke Dunia Kami’, ia menampilkan empat taman permainan hasil ciptaan bersama berteraskan tema Tekstur, Pergerakan, Ritma dan Visual, yang membolehkan pengunjung meneroka pelbagai cara mengalami dunia menerusi sentuhan, pergerakan, bunyi dan penglihatan.

Ia diadakan buat julung-julung kalinya di Daerah Digital Punggol (PDD), dan berlangsung dari 12 hingga 27 September.

Ketika ditemui Berita Harian (BH) di PDD semasa acara itu pada 13 September, ibu Alawiyah, Cik Nor Hidayah Alaudin, 40 tahun, berkata beliau pada mulanya tidak mengetahui bahawa karya anaknya itu dipamerkan di acara tersebut.

“Ketika berjalan menuju ke ruang pameran di PDD, Alawiyah sendiri menunjuk kepada karya itu sambil berkata ‘Ummi, itu lukisan saya’,” imbas beliau, seorang pegawai kanan perkhidmatan pesakit.

Ibu lima orang anak itu turut berkata penggunaan gunting dapat membantu anaknya itu meningkatkan kemahiran motor halus dan koordinasi, dan minat itu turut dibawanya ke rumah.

“Daripada situ, ia juga dapat membantu melatih cara dia memegang berus cat dan pensel untuk menulis.

“Kraf tangan dia bukan setakat melukis sahaja. Di rumah pun, dia suka menggunting dan membuat pelbagai aktiviti,” kata Cik Hidayah sambil berseloroh.

Acara Shaping Hearts 2026, yang kini memasuki edisi keenam, beralih daripada aktiviti yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai golongan kurang upaya kepada pengalaman yang dihasilkan secara bersama oleh seniman kurang upaya dan anggota masyarakat.

Berkongsi kepada media semasa majlis pelancaran Shaping Hearts 2026 di PDD pada 13 September, Mayor Daerah North East, Encik Baey Yam Keng, berkata pendekatan itu merupakan satu langkah penting untuk bergerak melangkaui sekadar mempamerkan karya para pelukis.

“Saya rasa ini merupakan satu langkah penting kerana ia bukan sekadar mempamerkan karya mereka, tetapi juga melibatkan mereka dalam proses mencipta bersama (dalam acara ini).

“Kami berharap platform ini terus berkembang supaya lebih ramai rakyat Singapura, anggota masyarakat, dapat lebih menghargai golongan kurang upaya, bakat berbeza yang ada dalam masyarakat kita serta bagaimana kita semua boleh memainkan peranan untuk membantu mengetengahkan bakat mereka,” kata Encik Baey, yang juga Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pengangkutan).

Turut hadir semasa pelancaran acara tersebut termasuk Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong; Menteri Negara (Pertahanan), Encik Desmond Choo; dan Penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) GRC Sengkang, Profesor Madya Dr Elmie Nekmat.

Ketika ditemui BH, Dr Elmie berkongsi bahawa usaha membina masyarakat yang lebih inklusif turut diterapkan di peringkat akar umbi.

Memberi contoh program membaca dalam Bahasa Melayu di Kelab Masyarakat Buangkok, beliau berkata:

“Ada juga keluarga yang datang bersama anak-anak mereka yang mempunyai keupayaan berbeza, misalnya yang menggunakan kerusi roda atau mempunyai keupayaan kognitif yang berbeza. Mereka dapat menyertai aktiviti membaca bersama peserta lain.”

Selain itu, acara Shaping Hearts 2026 turut menyaksikan pelancaran sulung Playdate@PDD, platform yang menghimpunkan artis kurang upaya dengan masyarakat melalui kegiatan bermain secara bersama.

Sebanyak 16 reruai permainan inklusif diperkenalkan di PDD, hasil kerjasama artis kurang upaya, kumpulan masyarakat dan rakan kongsi.

Inisiatif itu akan diperluas kepada 80 reruai di seluruh Daerah North East sepanjang tahun akan datang.

Selepas PDD, acara Shaping Hearts 2026 akan kemudian berlangsung di Tampines Mall dari 8 hingga 13 Oktober, dan Suntec City dari 26 Oktober hingga 1 November.