Pada 1986, terdapat laporan dari akhbar Malaysia yang mengatakan semakin ramai Melayu yang memeluk agama Kristian.
Berita tersebut menimbulkan tanda tanya, lantas wartawan mapan Berita Harian (BH), Encik Mohamad Suhaimi Mohsen, turun padang untuk menyiasat.
Setelah bertungkus lumus menziarahi pelbagai gereja, bertemu paderi Melayu, mengorbankan hujung minggu dan waktu malam demi mendapatkan kebenaran, beliau akhirnya berjaya membongkar bahawa dakwaan itu tidak berasas.
“Tuduhan seperti itu mampu memecahbelahkan masyarakat Melayu/Islam kita.
“Terdapat Melayu/Kristian namun ia tidaklah sebanyak mana yang mereka mendakwa,” katanya yang kini berusia 67 tahun.
Selepas menabur bakti selama 41 tahun, dengan tugas terakhirnya selaku Editor Naskhah BH, Encik Suhaimi, bakal bersara – meninggalkan legasi semangat juangnya untuk diamati wartawan generasi pelapis di BH.
Encik Suhaimi menyifatkan BH sebagai ‘jodoh’, yang menyatukan minat membacanya dan menulis – dua kemahiran penting sebagai seorang wartawan.
Ayah empat anak dan datuk dua cucu itu mempunyai ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Sains Politik dan Pengajian Melayu dari Universiti Nasional Singapura (NUS).
“Saya suka membaca dan menulis, dan pekerjaan di BH seperti ‘jodoh’, dengan kelayakan yang saya ada.
“Tempoh 40 tahun ialah waktu yang lama tetapi kerana suka dan minat, saya kekal berada di sini,” katanya lagi.
Encik Suhaimi atau mesra disapa Pak Su, memulakan perjalanannya di BH pada 16 Julai 1984.
Bermula sebagai wartawan, beliau mendaki tangga kerjaya kepada penyelia meja berita, penulis rencana dan ‘Lidah Pengarang’, penyelaras ruangan Hidayah, sehinggalah menjadi Penyunting dan akhirnya Editor Naskhah, yang turut menyumbang secara bergilir kepada ruangan Pandangan, serta Bahasa dan Budaya.
Ketika diminta menjelaskan tentang ruangan kegemarannya, Encik Suhaimi menganggap “Refleksi Pak Su” – yang membincangkan mengenai topik semasa yang relevan – sebagai yang membakar semangatnya untuk menulis dan berkongsi pendapat.
Dilihat sebagai individu yang tenang dan mempunyai sifat empati, beliau merupakan wartawan mapan yang bersungguh-sungguh mempertahankan penggunaan bahasa Melayu.
Sambil mengingatkan wartawan muda untuk meningkatkan mutu bahasa penulisan, beliau berkata:
“Bahasa ini (Melayu) perlu dipelihara. Kita boleh memanfaatkan bahasa untuk jati diri dan perkembangan masyarakat Melayu.
“Bahasa Melayu tetap menjadi bahasa kebangsaan dan wajar dirai, kerana bahasa jiwa bangsa.”
Mengimbau awal kerjayanya di BH, Encik Suhaimi berkongsi bagaimana wartawan ketika itu menulis artikel menggunakan mesin taip – tanpa ruang untuk kesilapan.
Tanpa alat perakam suara, mereka juga perlu menguasai tulisan ringkas atau ‘shorthand’ demi ‘menangkap’ maklumat penting sebagai rujukan.
Malah, syiling 10 sen sentiasa dibawa ketika bertugas di luar, untuk menelefon pejabat dan melaporkan perkembangan tugasan, pada era telefon bimbit peribadi tidak wujud.
Namun, mengikut peredaran zaman, wartawan kini lebih beruntung dengan teknologi yang tersedia, katanya.
Walau demikian, Encik Suhaimi menambah ia tidak bermakna prinsip kewartawanan tidak dapat dikekalkan.
“Prinsip dalam bidang wartawan tetap sama tetapi hanya caranya berubah. Ini bermakna kerjasama wartawan dengan mereka yang diwawancara menjadi lebih mudah,” ujar beliau.
Sepanjang kerjayanya selama empat dekad, Encik Suhaimi telah bekerja di bawah lima editor BH/BM – Encik Yatiman Yusof, Encik Zainul Abidin Rasheed, Encik Guntor Sadali, Encik Saat Abdul Rahman, dan Encik Nazry Mokhtar.
Editor BH, Encik Nazry, melahirkan penghargaan mendalam terhadap sumbangan dan dedikasi Encik Suhaimi selama lebih 40 tahun kepada BH.
“Beliau merupakan tokoh wartawan yang wajar dicontohi kerana mempunyai pemahaman mendalam terhadap perkembangan dan isu-isu melibatkan masyarakat Melayu/Islam.
“Beliau antara segelintir wartawan yang mempunyai pengalaman dalam setiap aspek operasi di bilik berita daripada penulisan berita, rencana hinggalah kepada penyuntingan akhbar. Etika kerja beliau juga sukar ditandingi,” katanya.
Apabila ditanya mengenai laporan yang memberi kesan kepadanya, Encik Suhaimi menggariskan laporan penyiasatan Melayu-Kristian di Singapura serta kisah perkahwinan tokoh agama terkenal Indonesia, Habib Segaff Mahdi dengan seorang gadis tempatan, Waheedah, antara yang menggamit kenangan.
Beliau berharap BH dapat terus wujud di setiap rumah keluarga Melayu, dalam bentuk suratkhabar atau versi digital, meskipun zaman berubah.
Dalam pada itu, walau sudah bersara kini, dakwat penanya belum kering lagi.
Hasrat untuk terus menulis secara bebas, mendekatkan diri kepada agama dan menekuni buku tetap menyala dalam dirinya.
Bak kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama – Encik Suhaimi meninggalkan legasi, semangat perjuangan, dan asuhan buat generasi wartawan muda, yang akan terus terpahat di ingatan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg