Dua minggu sudah berlalu sejak rakyat Singapura keluar mengundi dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), dan keghairahan yang berkaitan dengannya sudah reda.
Antara perkara yang mendapat perhatian berhubung GE2025 ialah beberapa menteri dan Anggota Parlimen (AP) yang berundur.
Antara penjawat jawatan yang berundur ialah Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat; Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean; Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen; Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Maliki Osman; Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Amy Khor; dan Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Heng Chee How.
Mereka adalah antara 20 AP daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang tidak tersenarai dalam pencalonan GE2025.
Mengisi tempat mereka ialah 32 calon baru yang diletakkan sebagai sebahagian daripada proses pembaharuan parti yang berterusan.
Pergantian kepimpinan ini berlaku dari masa ke masa.
Jawatan Perdana Menteri Singapura misalnya telah beberapa kali berganti – daripada Encik Lee Kuan Yew kepada Encik Goh Chok Tong, kemudian Encik Lee Hsien Loong, dan kini Encik Lawrence Wong.
Pergantian jawatan berlaku dan akan terus berlaku di banyak tempat, di pelbagai peringkat.
Dari sudut bahasa Melayu, terdapat ungkapan peribahasa yang menggambarkan keadaan itu: patah tumbuh, hilang berganti.
Pada dasarnya, ia bermakna setiap yang hilang akan berganti.
Dalam konteks politik, pemimpin, ketua, penjawat jawatan dan sebagainya tidak dapat tiada akan berganti suatu hari kelak, cepat atau lambat.
Pergantian berlaku dalam pelbagai aspek kehidupan manusia – merangkumi pertubuhan, pekerjaan dan perniagaan dan sistem kekeluargaan.
Sejak kejadian manusia pertama, Nabi Adam as, nabi berganti dari zaman ke zaman hingga sampai kepada nabi terakhir, Nabi Muhammad saw.
Walau tidak ada lagi nabi selepas Nabi Muhammad, perkembangan Islam diganti dan diterajui dalam bentuk lain – khalifah, ulama dan asatizah sebagai pewaris nabi.
Begitu juga dalam pelbagai kepimpinan negara, pertubuhan, syarikat, struktur dalam pekerjaan, dan keluarga – akan ada penggantian, suka atau tidak.
Sebab, tiada yang kekal: patah tumbuh, hilang berganti.
Dalam konteks lebih luas, ia bermakna tidak ada yang kekal selama-lama selagi namanya manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan benda hidup.
Di satu segi, ungkapan itu berbentuk nasihat, penyuntik semangat, boleh juga berupa satu motivasi supaya meneruskan apa jua yang dilakukan dan tidak menjadi lemah ekoran kehilangan sesuatu.
Bergantung pada pelbagai faktor dan keadaan, pengganti yang patah dan hilang boleh jadi sama baik, kurang baik, atau lebih baik.
Cuma dalam banyak keadaan, terselit harapan yang patah dan hilang diganti dengan pengganti yang lebih baik, tumbuh dengan baik, dan membawa hasil lebih baik.
Dari segi makna, patah bermakna terpisah, terputus dan tidak bercantum lagi.
Gambaran patah boleh dilihat pada dahan patah, atau pensel patah.
Ada patah yang boleh disambung; ada patah yang boleh tumbuh semula.
Namun ada patah yang tidak boleh bersambung, seperti arang.
Maka itu, ungkapan peribahasa berpatah arang bermakna hubungan yang putus akibat perselisihan tidak boleh berbaik kembali.
Patah juga digunakan dalam pelbagai konteks. Antaranya:
Sepatah bermakna satu patah.
Patah kata bermakna suku kata.
Patah juga adalah antara penjodoh bilangan yang menggambarkan beberapa. Misalnya, beberapa patah perkataan; sepatah dua kata.
Sepatah kata bermakna kata-kata pendahuluan atau kata pengantar yang biasa terdapat dalam mukadimah buku.
Patah-patahkan bermakna mematahkan sesuatu beberapa kali atau banyak kali, seperti patah-patahkan ranting kayu untuk dibakar.
Patah-mematahkan bermakna saling cuba mengalahkan.
Terpatah bermakna sudah patah.
Ungkapan patah di tengah jalan misalnya bermakna tergendala, terhenti, tidak dapat diteruskan. Seperti cita-cita patah di tengah jalan ekoran musibah seperti kemalangan.
Berpatah balik pula bermakna berbalik semula, atau bertukar arah berlawanan dengan kembali semula.
Mematahkan serangan bermakna menggagalkan serangan.
Mematahkan hujah bermakna mematikan hujah.
Patah haluan bermakna mengalih atau menukar haluan.
Patah hati bermakna kecewa dalam percintaan; atau tawar hati, hilang kemahuan, putus harap.
Patah kaki adalah ungkapan yang menggambarkan keadaan tidak dapat berbuat apa-apa kerana tidak ada penolong yang boleh diharap.
Patah sayap bermakna hilang daya atau kemampuan.
Patah lidah bermakna tidak dapat berkata dengan lancar, atau tidak dapat menjawab.
Patah nafsu bermakna hilang.
Patah semangat hilang keberanian atau kemahuan, atau tawar hati untuk melakukan atau meneruskan sesuatu.
Patah tulang ialah mengalami tulang patah.
Patah batu (hatinya) bermakna tidak mahu berusaha lagi;
Bujur lalu, lintang patah bermakna sesuatu yang tidak dapat dihalang-halangi.
Enggang lalu ranting patah bermakna sebab yang secara kebetulan meninggalkan akibatnya.
Patah dahan tempat bernaung, patah lantai tempat berpijak bermakna tidak ada lagi atau kehilangan tempat meminta pertolongan.
Sebaliknya, patah kepala bertongkat paruh, patah paruh bertelekan bermakna tidak putus harapan, terus berikhtiar (bekerja).
Patah lidah alamat kalah, patah keris alamat mati bermakna tidak pandai membela sesuatu perkara tanda kalah; apabila alat-alat sudah tidak ada lagi maka alamat tidak selesailah pekerjaan itu.
Siapa melalah siapa patah bermakna siapa yang berhajat sangat, dialah yang harus datang meminta atau meminang.
Sudah patah yang bertaji bermakna kalau kematian bapa yang berharta atau disegani menimbulkan kesusahan kepada kaum keluarganya yang tinggal.
Tiada patah yang tak tempang bermakna tiap-tiap kecelakaan (perselisihan) tetap meninggalkan bekas (perasaan) yang tidak baik.
Patah kemudi perahu hanyut bermakna rakyat yang kehilangan pemimpin menjadi kucar-kacir.
Patah kandar (gandar) di tengah jalan bermakna mendapat kemalangan dalam usaha; pekerjaan terhalang kerana kematian.
Patah batu hatinya bermakna hilang kemahuan sama sekali.
Dikunyah patah gigi, ditelan sembelit bermakna membuat sesuatu pekerjaan tanpa pengetahuan adalah sia-sia saja.
Pantang patah di tengah bermakna tidak mahu mundur sebelum maksud tercapai.
Antan patah, lesung hilang bermakna kemalangan yang bertimpa-timpa.
Kerat rotan, patah arang bermakna sudah putus sama sekali; perselisihan yang tidak dapat didamaikan lagi.
Bagai kapal patah kemudi bermakna hilang pedoman.
Jangan bagai orang patah selera, banyak makan memberi gambaran pura-pura tidak mahu, tetapi dalam hati suka sekali.
Sirih naik, junjungan patah bermakna baru hendak mendapat kesenangan, tiba-tiba mendapat bencana pula.
Putus tali boleh disambung, patah arang mudah sekali bermakna persahabatan atau perkahwinan yang sudah putus dan tidak dapat diperbaiki lagi.
Semahal-mahal gading, kalau patah tiada berharga bermakna betapa pun tinggi kemuliaan seseorang itu kalau sekali telah berbuat jahat akan turunlah darjatnya, tidak dipedulikan orang lagi.
Terkatung-katung macam biduk patah kemudi bermakna hidup melarat di negeri orang.
Apabila tumbuh-nyiur itu patah, tumbuh-nyiur juga akan gantinya bermakna ganti yang hilang mestilah yang sama pula. Tumbuh-nyiur ialah tunas bibit kelapa.
Akal akar berpulas tak patah makna orang yang pandai, takkan mudah kalah dalam perdebatan.
Biar ular mati, kayu tiada patah bermakna maksud biar tercapai, kerugian jangan ada.
Bagai kambing menanduk bukit; tanduk patah bukit tak runtuh menggambarkan pekerjaan yang sia-sia dan mendatangkan kerugian.
Menyelodok sama bongkok, melompat sama patah menggambarkan persahabatan yang karib.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg