Apakah yang boleh dilakukan semasa hidup untuk memastikan pahala dapat mengalir terus selepas seseorang itu meninggal dunia?
Itulah yang ingin dikupas dalam bahagian ketiga, Webinar Wakaf Masyarakat Singapura (WMS), dengan kerjasama Berita Harian (BH), yang akan diadakan pada 17 September ini.
Webinar percuma yang menggunakan wadah webinar BH itu akan diadakan dari 8 hingga 9.30 malam.
Dua asatizah yang diundang bagi webinar ini ialah anggota Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Ustaz Fathurrahman Dawoed, yang juga Pengarah Eksekutif Andalus Corporation, serta Timbalan Pengarah Dasar dan Pembangunan Ugama (Fatwa), Muis, Ustazah Raihanah Halid.
Bertajuk, Membina Jambatan Pahala Selepas Kita Tiada, webinar itu akan menyentuh perihal perancangan kewangan yang boleh dilakukan semasa hayat sebelum terlambat.
Mengenai kepentingan topik itu, Ustaz Fathurrahman berkata: “Webinar ini memberi peluang untuk kita sama-sama memahami hakikat kehidupan dan kematian, bahawa dunia ini hanyalah persinggahan sementara, dan persediaan kita menuju akhirat.
“Saya akan menyentuh kepentingan melunaskan hutang, sama ada kepada Allah atau sesama manusia, serta mengapa perancangan harta semasa hidup amat penting untuk kita semua.”
Beliau menambah terdapat sesetengah anggota masyarakat Islam yang tidak menyedari kesannya jika urusan harta tidak dirancang awal.
“Melalui webinar ini, masyarakat boleh mendapat pencerahan praktikal untuk memastikan amanah yang kita pikul ini dapat disempurnakan dengan baik.
“Perancangan harta juga tidak bergantung pada besar atau kecilnya aset yang dimiliki. Ia penting bagi setiap individu, tanpa mengira jumlah harta,’‘ jelas beliau.
Siri webinar empat bahagian ini mengupas mengenai perancangan legasi Islam dan kepentingan perancangan harta pusaka.
Webinar pertama, yang diadakan pada 25 Jun, menyentuh mengenai, Perancangan Legasi Islam: Bagaimana nak mula?; manakala yang kedua diadakan pada 30 Julai mengupas mengenai, Cara Mudah Rancang Legasi Anda: Penamaan CPF dan Insurans.
Untuk mendaftar bagi webinar ketiga, sila imbas Kod QR yang tertera.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg