Sejak kecil, Encik Danial Haziq Abdul Razak, 22 tahun, telah didedahkan kepada ibadah korban – malah beliau sudah melaksanakannya dengan sokongan kewangan daripada keluarga seawal usia tujuh tahun.
Kini, walaupun masih menuntut dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanik di Politeknik Ngee Ann (NP), Encik Danial, 22 tahun, telah menempah seekor kambing biri-biri yang berharga sekitar $190 bagi ibadah korban 2025.
Menurutnya, bukan sahaja faktor harga yang menarik minatnya, tetapi juga julat harga yang luas, membolehkannya membuat pilihan mengikut kemampuan.
Ini sekali gus mencerminkan pemerhatian beberapa penyedia khidmat korban, yang berkongsi dengan Berita Harian (BH) bahawa kian ramai anak muda dan pelajar yang membuat tempahan korban – bukan sekadar kerana harga yang berpatutan, tetapi juga pelbagai pilihan yang ditawarkan.
Ini membolehkan pelajar dan mereka yang baru bekerja turut serta menempah khidmat korban, mengikut kemampuan kewangan masing-masing.
Semasa dihubungi, Encik Danial berkata:
“Ketika saya berusia 14 tahun, saya menggunakan sedikit wang simpanan untuk melaksanakan ibadah korban di luar negara termasuk di Laos dan Bangladesh.
“Kini, terdapat pelbagai pilihan harga yang memudahkan saya memilih mengikut kemampuan, lebih-lebih lagi sebagai seorang pelajar.”
Beliau telah menempah seekor kambing biri-biri pada 2025 melalui penyedia perkhidmatan dari Indonesia, Rejab, di mana korban dan agihan dilakukan untuk penduduk kampung termasuk rumah anak yatim di sana.
Sahabbiyah.sg, antara penyedia perkhidmatan korban di sini, menawarkan kambing untuk korban dan agihan di Uganda pada harga serendah $99 dan lembu pada harga $580. Harga ini kekal konsisten sejak 2023.
Pengasasnya, Cik Noorharyanti Saluie, berkata:
“Julat harga benar-benar menarik minat golongan muda yang ingin melaksanakan tuntutan agama tanpa terbeban dari segi kewangan.
“Kami mengambil pendekatan untuk menawarkan harga yang berdaya saing dan pada masa sama, tetap mampu milik.”
Sekitar 80 peratus pelanggannya terdiri daripada individu berusia antara 20 dengan 40 tahun, dengan sebahagian besar merupakan golongan muda berusia antara 20 dengan 30 tahun.
Penyertaan belia meningkat secara konsisten dari 2023 hingga 2025, dengan anggaran peningkatan sekitar 10 hingga 15 peratus setiap tahun bagi golongan usia 20 hingga 30 tahun.
Sementara itu, Badan Agama dan Pelajaran Radin Mas (Bapa) turut meluaskan julat harga ternakan korban menerusi penawaran pelbagai kategori agihan daging korban – seperti ‘paling memerlukan’, ‘paling murah dan termampu’, ‘paling memberi kesan’ dan ‘chilled korban’.
Antaranya, di bawah kategori ‘paling memerlukan’, seekor kambing untuk korban dan agihan di Palestin ditawarkan pada harga $500, manakala satu bahagian lembu di Bangladesh berharga $165.
Bagi kategori ‘paling murah dan termampu’, satu bahagian lembu untuk korban dan agihan di India ditawarkan pada harga serendah $85.
Pengarah Bapa Biz Pte Ltd, Encik Muhammad Harith Iskandar Syah Halim Sah, berkata:
“Apabila kita bercakap tentang penglibatan belia, menawarkan pelbagai julat harga sememangnya memainkan peranan penting.
“Dengan menawarkan pelbagai pilihan menerusi pelbagai kategori pakej seperti harga lebih tinggi, harga pertengahan dan juga yang paling mampu milik, kita memberi ruang kepada lebih ramai belia untuk turut serta dalam ibadah korban mengikut kemampuan masing-masing.
“Ini kerana setiap anak muda mempunyai keupayaan kewangan yang berbeza.”
Namun, beliau mengakui bahawa “walaupun belia Gen Z mula menunjukkan minat, penyertaan mereka masih belum setanding dengan golongan milenial”.
Akses kepada perkhidmatan korban kini bukan sekadar bergantung kepada julat harga yang luas, malah turut diperkasa menerusi media sosial – yang bukan sahaja memudahkan proses tempahan, malah berjaya menarik minat lebih ramai anak muda, jelas Encik Harith.
Selain itu, penyedia perkhidmatan korban, QurbanNow SG, mengambil pendekatan aktif di media sosial untuk menyebarkan maklumat tentang ibadah korban.
“Kami bekerjasama dengan satu pasukan pemasaran media sosial untuk menghasilkan kandungan yang menarik dan relevan, termasuk menemu ramah anak muda mengenai kefahaman mereka tentang ibadah korban.
“Usaha ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman, malah mencetuskan minat untuk melakukan ibadah tersebut,” kata pengasasnya, Encik Farehan Hussein, yang menyaksikan peningkatan ketara penyertaan golongan muda, khususnya Gen Z, sejak 2023.
Hasil promosi aktif di media sosial juga membuka peluang kepada anak muda seperti Encik Muhammad Fariz Mat Yusoff, 26 tahun, untuk mengenali penyedia khidmat korban seperti KembaraDeen – jenama di bawah personaliti tempatan, Ahmad Sodiqin Norahim, atau lebih dikenali sebagai Dyn Norahim.
“Dengan pelbagai wadah yang menawarkan perkhidmatan ini, sesiapa sahaja boleh mendapatkan maklumat yang diperlukan serta melaksanakan pembayaran dalam talian dengan lancar,” kata Encik Fariz, yang menempah seekor kambing bernilai $175 untuk korban dan agihan di Makkah.
Seorang lagi anak muda, Encik Muhammad Lutfurrahman Husin, 28 tahun, turut mengakui bahawa “akses kepada perkhidmatan korban kini lebih mudah – bukan sahaja untuk membuat tempahan, tetapi juga untuk mengetahui pilihan yang ditawarkan di pasaran menerusi saluran WhatsApp dan iklan di Instagram.”
“
“Kini, terdapat pelbagai pilihan harga yang memudahkan saya memilih mengikut kemampuan, lebih-lebih lagi sebagai seorang pelajar.”“
“Julat harga benar-benar menarik minat golongan muda yang ingin melaksanakan tuntutan agama tanpa terbeban dari segi kewangan. Kami mengambil pendekatan untuk menawarkan harga yang berdaya saing dan pada masa sama, tetap mampu milik.”“
“Dengan menawarkan pelbagai pilihan menerusi pelbagai kategori pakej seperti harga lebih tinggi, harga pertengahan dan juga yang paling mampu milik, kita memberi ruang kepada lebih ramai belia untuk turut serta dalam ibadah korban mengikut kemampuan masing-masing.”“
“Kami bekerjasama dengan satu pasukan pemasaran media sosial untuk menghasilkan kandungan yang menarik dan relevan, termasuk menemu ramah anak muda mengenai kefahaman mereka tentang ibadah korban. Usaha ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman, malah mencetuskan minat untuk melakukan ibadah tersebut.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg