Sedang syarikat pelaburan Singapura, Temasek, menjalani fasa transformasi selanjutnya selepas mencecah usia lima dekad, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menekankan bahawa terdapat beberapa perkara yang tidak boleh dan tidak harus berubah.
Perkara ini meliputi kepatuhan pada piawaian dan nilai teladan; keupayaan berfikir bagi jangka panjang, berkembang dengan disiplin komersial dan strategik, serta menambah mutu, kebolehpercayaan dan integriti jenama Singapura.
Menurutnya, Temasek terkenal dengan ciri-ciri ini yang akan memastikannya kekal sebagai rakan kerjasama jangka panjang yang dihargai dan dipercayai
Akur bahawa syarikat pelaburan ini kini amat berbeza daripada detik ia bermula 50 tahun lalu, Encik Wong menambah Temasek kini mempunyai kepakaran mendalam merentasi banyak industri dan pasaran, sekumpulan syarikat terkemuka, serta rangkaian rakan kerjasama dan kenalan yang meluas daripada merata dunia.
Dalam industri kewangan, Encik Wong menjelaskan bahawa karyawan pelaburan di mana-mana sedang mencari ‘alpha’ atau kelebihan tambahan yang mendorong pulangan lebih tinggi dan membolehkan mereka mengatasi penanda aras pasaran.
“Bagi Singapura, sumber ‘alpha’ terhebat terletak pada sesuatu yang lebih berkekalan – ia adalah reputasi kita untuk kepercayaan, integriti dan kebolehpercayaan.
“Atribut ini merupakan sumber unik kelebihan daya saing untuk kita. Sangat sukar untuk orang lain menirunya,” katanya.
Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, dalam ucaptamanya semasa jamuan makan malam sempena ulang tahun Temasek yang ke-50 di Hotel Shangri-La pada 23 September melahirkan kepercayaannya bahawa apa yang benar bagi sandaran Singapura juga boleh diterapkan dalam membangun Temasek.
“Sebagai ekonomi yang kecil, Singapura perlu kekal terbuka, dan terus mendorong aliran bebas perdagangan dan pelaburan, melalui forum serantau dan pelbagai hala.
“Sedang negara dan syarikat lain mencari jalan untuk mempelbagaikan pendedahan mereka, dan meluaskan rangkaian rakan kerjasama mereka, kita mahu Singapura menjadi rakan kerjasama pilihan mereka.
“Kita mahu menjadi nod yang boleh diharapkan dan dipercayai di mana mereka boleh beroperasi.”
Menurutnya, Singapura kini beroperasi dalam era baru, di mana wujud persaingan yang semakin sengit untuk meraih kekuasaan dan kepimpinan antara China dan Amerika Syarikat – dua ekonomi terbesar dunia.
Dengan dua kuasa besar ini terus berurusan untuk mendekati satu sama lain, terdapat sikap saling curiga dan tidak percaya yang mendalam dalam hubungan mereka, tambahnya.
“Masing-masing pihak tidak mahu konflik, tetapi kededuanya sedang bersiap sedia untuk konflik berlaku. Itulah sebabnya semakin banyak aktiviti ekonomi di seluruh dunia dilihat melalui lensa keselamatan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa sekatan telah pun dikenakan ke atas teknologi utama seperti kecerdasan buatan dan semikonduktor. Apa yang membimbangkan, jelas Encik Wong, adalah keprihatinan keselamatan telah merebak ke lebih banyak kawasan.
“Apabila daya tahan dan keselamatan negara menjadi keutamaan utama, pastinya akan terdapat banyak potensi jurang dan kawasan yang terdedah untuk ditangani,” ujarnya, menukil contoh bagaimana banyak negara menyedari tentang perkara ini semasa pandemik Covid-19 apabila mereka tidak dapat menghasilkan pelitup, kit ujian dan ventilator.
Sejajar dengan sambutan ulang tahun ke-50 Temasek yang disertai lebih 600 hadirin, sebuah buku bertajuk By Generations, For Generations: Fifty Years of Temasek As Told By The People Who Shaped It turut dilancarkan.
Ia adalah buku rasmi pertama Temasek dan satu-satunya yang mengisahkan peristiwa penting dan pencapaian syarikat itu, yang ditulis oleh mantan wartawan, Cik Ong Soh Chin.
Mengimbas balik sejarah Temasek, Encik Wong juga berkongsi bahawa mudah untuk meraikan kejayaan Temasek kini, namun apabila ia bermula 50 tahun lalu, tidak ramai yang dapat membayangkan pencapaiannya pada hari ini.
Peranan Temasek pada detik awal permulaannya lebih bersifat kepada pemeliharaan dan pentadbiran.
Dengan mengambil alih portfolio sebanyak 35 syarikat daripada pemerintah, Temasek mengekalkan akaun, melaksanakan transaksi saham, dan memproses pelantikan Lembaga Pengarah.
Ia juga menerima suntikan badan berkanun pemerintah yang dikorporatkan, yang akhirnya menjadi nama-nama yang dikenali seperti PSA, SingTel, dan SingPower.
Meskipun sebahagian pelaburan awal di peringkat luar negara Temasek tidak berjaya sebagaimana yang dirancang, namun pasukan Temasek belajar daripada kegagalan ini dan mengembangkan portfolionya.secara progresif.
“Keberanian mencipta nilai baru dan menolak sempadan inilah yang meletakkan asas untuk transformasi Temasek dan syarikat-syarikat dalam portfolionya.
“Di antara 35 syarikat asal, beberapa telah menjadi juara serantau dan global dalam industri masing-masing, seperti DBS dan SIA.
“Temasek sendiri dianggap sebagai salah satu syarikat pelaburan ekuiti terkemuka di Asia dan dunia,” kata beliau.
Pada majlis itu, Pengerusi Temasek Holdings, Encik Lim Boon Heng, telah mengumumkan komitmen pihaknya memperuntukkan $100 juta bagi menyokong projek-projek yang berusaha memerangi perubahan iklim.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg