Yayasan Salleh Marican dan syarikat pasar raya gergasi, Sheng Siong, merupakan dua penderma terbesar acara Golf Amal dan Jamuan Malam anjuran Berita Harian (BH) dan AMP Singapura.
Dengan sumbangan $60,000 setiap satu, yayasan dan syarikat tersebut merupakan penderma ‘Berlian’ bagi acara yang akan berlangsung di Orchid Country Club pada Selasa, 22 Julai.
Hasil keseluruhan dana yang terkumpul daripada para penaja acara golf amal BH-AMP akan disalurkan kepada AMP dan Persatuan Kanak-Kanak Singapura, selain sebahagiannya diperuntukkan bagi Hadiah Buku Berita Harian.
AMP akan menggunakan dana yang terkumpul bagi program-program badan itu yang menyokong keluarga berpendapatan rendah, belia daripada latar belakang kurang bernasib baik, serta pesalah dadah dan keluarga mereka.
Persatuan Kanak-Kanak Singapura pula akan memanfaatkan dana tersebut bagi menyokong pelbagai perkhidmatannya yang dijalankan di 10 pusat serata Singapura.
Ini merangkumi empat bidang utama – Kanak-Kanak dan Belia Mudah Terjejas, Perkhidmatan Kanak-Kanak dan Belia, Perkhidmatan Keluarga, serta Penyelidikan dan Advokasi.
Mengulas, Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, berkata beliau tersentuh dengan kemurahan hati para penderma dan amat berterima kasih kepada semua yang telah menyokong usaha bersama antara BH dengan AMP itu.
Yayasan Salleh Marican dan Sheng Siong sebagai penaja utama wajar diberi penghargaan istimewa, ujar beliau.
“Ini merupakan kali pertama BH menganjurkan acara amal besar-besaran seperti ini. Justeru, kami kurang pasti apa yang boleh dijangkakan.
“Namun, saya begitu tersentuh dan gembira dengan sambutan dari penaja korporat dan individu yang begitu murah hati menyokong usaha yang ingin kami jalankan.
“Saya ingin merakamkan penghargaan istimewa kepada Yayasan Salleh Marican dan Sheng Siong sebagai penaja ‘Berlian’, selain ucapan terima kasih kepada semua para penaja yang lain,” kata Encik Nazry.
Acara Golf Amal dan Jamuan Malam BH-AMP itu diadakan bersempena sambutan ulang tahun Singapura yang ke-60 (SG60).
Encik Nazry berkata ia merupakan salah satu cara bagi akhbar ini menyumbang semula kepada masyarakat, dengan menggembleng tenaga dan sumbangan masyarakat Singapura secara am, sekali gus mencerminkan perpaduan kukuh antara masyarakat berbilang budaya negara ini.
“
“... Saya begitu tersentuh dan gembira dengan sambutan dari penaja korporat dan individu yang begitu murah hati menyokong usaha yang ingin kami jalankan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg