Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua pusat penjaja baru di Bukit Batok, Punggol pada 2025

Mar 4, 2025 | 6:35 PM
Pusat Penjaja Bukit Batok West merupakan antara dua pusat penjaja yang akan dibuka pada 2025. Pusat penjaja itu mempunyai siling tinggi demi memastikan peredaran udara yang baik.
Pusat Penjaja Bukit Batok West merupakan antara dua pusat penjaja yang akan dibuka pada 2025. Pusat penjaja itu mempunyai siling tinggi demi memastikan peredaran udara yang baik. - Foto NEA

Lagi lima pusat penjaja baru akan dibina untuk memenuhi keperluan penduduk di estet perumahan lama dan baru untuk tahun-tahun akan datang, di samping dua pusat penjaja baru yang akan dibuka di Bukit Batok West dan Punggol Coast pada separuh pertama 2025.

Lima pusat penjaja baru itu adalah sebahagian daripada peruntukan sehingga $1 bilion dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang untuk mempertingkat pusat penjaja lama dan membina pusat baru – seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam Belanjawan 2025 pada 18 Februari lalu.

Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut tentang lokasi lima pusat penjaja baru itu.

Sementara itu, pusat penjaja baru di Bukit Batok West, yang terletak di 469 Bukit Batok West Ave 9, akan mempunyai 22 kedai makanan dan boleh menampung lebih 400 orang.

Pusat penjaja di Punggol Coast pula, terletak di 84 Punggol Way, akan menampilkan 40 kedai makanan dan lebih 680 tempat duduk.

Sejak 2011, pemerintah telah membina dan membuka 14 pusat penjaja baru di estet perumahan baru, seperti Pusat Penjaja One Punggol, Pusat Penjaja Bukit Canberra, dan Pusat Penjaja Jurong West.

Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, semasa perbahasan Jawatankuasa Pembekalan kementeriannya (COS) di Parlimen pada 4 Mac, berkata pusat penjaja kekal sebagai sumber penting bagi orang ramai mendapatkan makanan pada harga yang dimampui.

Ia juga merupakan bahagian penting dalam budaya Singapura, yang berfungsi sebagai ruang makan masyarakat yang meriah untuk rakyat Singapura dan pengunjung dari segenap lapisan masyarakat.

Sedang keperluan masyarakat berubah dengan masa, pusat penjaja perlu diberi nafas baru dan bersedia untuk masa depan, tambah beliau.

“Dengan perubahan iklim, penduduk semakin menua, pembangunan semula bandar yang pesat dan profil penjaja yang berubah, pengunjung dan penjaja mempunyai jangkaan baru.

“Penjaja juga memerlukan huraian lebih produktif dan inovatif untuk memenuhi aspirasi perniagaan mereka dan menangani cabaran operasi,” kata beliau.

Sedang demografi penduduk berubah, Cik Fu berkata beberapa pusat penjaja di estet matang menyaksikan kemerosotan dalam permintaan.

Pada masa sama, estet baru pula muncul dan mungkin memerlukan lebih banyak pilihan makanan yang dimampui.

Cik Fu menambah, pusat penjaja baru akan dibina mengikut keperluan, dengan khidmat moden dan ruang mampan.

Di bawah Program Peningkatan Pusat-Pusat Penjaja 2.0 (HUP 2.0), prasarana pusat penjaja akan dipertingkat untuk menjadi ruang masyarakat yang lebih bertenaga, mudah diakses dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim.

Memberi butiran lanjut, Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam kenyataan bersama berkata mereka, antara lain, akan meneroka lebih banyak ciri mesra warga emas dan individu dengan masalah pergerakan untuk menjadikan pusat penjaja lebih terangkum.

Ini mungkin termasuk tangga gerak, lif, lorong lebih luas dan pendigitalan, serta penggunaan teknologi yang lebih luas.

NEA juga akan meneroka huraian untuk meningkatkan peredaran udara dan mengurangkan suhu persekitaran di pusat penjaja demi keselesaan penjaja dan pelanggan, di tengah-tengah perubahan iklim dan suhu yang semakin meningkat.

Ini seperti dengan menggunakan kipas volum tinggi, kelajuan rendah dan menambah kehijauan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg