Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zaqy: AP Melayu PAP tangani cabaran dalam masyarakat, tapi terus peka isu lain yang jejas S’pura

Isu seperti pendidikan dan pekerjaan juga penting demi pastikan masyarakat terus membangun, maju
Apr 30, 2025 | 5:26 PM
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad (kanan), memberikan pandangannya dalam podcast NoTapis BHerbual bersama koresponden, Cik Irma Kamarudin, di bilik berita Berita Harian (BH) pada 29 April.
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad (kanan), memberikan pandangannya dalam podcast NoTapis BHerbual bersama koresponden, Cik Irma Kamarudin, di bilik berita Berita Harian (BH) pada 29 April. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Isu-isu sensitif dan mencabar yang menjejas masyarakat Melayu/Islam penting ditangani, namun sama penting untuk memberi perhatian kepada isu-isu harian yang memberi kesan kepada mereka, seperti pendidikan dan pekerjaan, demi memastikan masyarakat terus membangun dan maju.

Bahkan, pemimpin Melayu daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) selama ini telah mengutarakan isu-isu yang menjadi keprihatinan masyarakat Melayu/Islam di Parlimen dan membahaskannya, termasuk isu sensitif seperti konflik Israel-Palestin, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.

Memberikan pandangannya dalam wawancara bersama Berita Harian (BH) bagi podcast NoTapis BHerbual pada 29 April, beliau berkata:

“Saya berharap kita dapat memberi fokus kepada apa yang penting bagi rakyat Singapura dan bagi masyarakat Melayu. Bagi saya… banyak yang telah dilakukan Anggota Parlimen (AP) di Singapura dan juga AP Melayu PAP dan pemimpin Melayu kita yang telah bekerjasama untuk cuba memperkembangkan masyarakat kita dan juga meningkatkan lagi prestasi, bukan sahaja anak-anak kita, bahkan masyarakat kita di peringkat nasional.

“Bagi saya, ini amat penting bukan sahaja dari segi pencapaian, malah kita mempunyai pelan-pelan yang harus dibentangkan untuk masyarakat Melayu/Islam kita di Singapura.”

Masyarakat Melayu/Islam telah mengecap pelbagai kejayaan sepanjang berdekad-dekad lalu, kata Encik Zaqy.

Namun, beliau menerangkan bahawa dengan ketidakstabilan geopolitik dan ekonomi, konflik dan peperangan, masyarakat juga terjejas dengan kesannya dan bimbang akan isu-isu seperti kos sara hidup dan pekerjaan.

Meskipun pelbagai isu politik timbul dan mencuri perhatian masyarakat di tengah-tengah bahang Pilihan Raya Umum (GE) 2025 ini, beliau menekankan keperluan memberi tumpuan juga kepada isu-isu yang boleh menjejas kehidupan harian rakyat.

Pemimpin Melayu daripada PAP selama ini telah mengutarakan dan memperjuangkan pelbagai isu yang menjejas masyarakat Melayu/Islam di dalam dan luar Parlimen.

Ini termasuk dalam pendidikan, pekerjaan, penjagaan kesihatan, keperluan agama, dan juga dalam menangani dan memperbaiki isu-isu sosial seperti kadar perceraian dan kadar jenayah.

Kebanyakan pencapaian yang dikecap masyarakat bukan sahaja kerana AP Melayu PAP telah mengutarakannya di Parlimen, kata Encik Zaqy, malah kerana pemimpin dan masyarakat Melayu/Islam telah turun padang dan menjalankan program di peringkat institusi, pertubuhan dan akar umbi.

“Kalau tidak, adakah masyarakat dapat tumbuh dan mencapai (kejayaan) dengan cepat sendiri?

“Masyarakat Melayu/Islam kita mempunyai jangkaan ke atas pemerintah untuk memelihara dan menjamin kemajuan mereka,” tambah beliau.

Encik Zaqy turut menyangkal persepsi bahawa AP Melayu PAP kurang mendengar atau memperjuangkan isu-isu yang dekat di hati masyarakat Melayu/Islam.

Selain isu-isu harian yang menjejas masyarakat, AP Melayu PAP memperjuangkan dan membahaskan isu-isu sensitif, contohnya, dalam perbahasan mengenai konflik Israel-Palestin di Parlimen pada 2024.

“Mereka aktif, lebih daripada parti pembangkang, tetapi ini mungkin kerana kami majoriti (di Parlimen), jadi kami mempunyai peluang dan lebih ramai antara kami yang sedia berbincang di Parlimen. Bahkan, saya sendiri telah ke Timur Tengah untuk membantu membawa bantuan kemanusiaan,” kata beliau.

Encik Zaqy akur bahawa jawapan ataupun respons pemerintah terhadap isu seperti konflik Israel-Palestin mungkin kurang diterima atau tidak memuaskan semua pihak, namun perlu difahamkan bahawa pemerintah perlu mempertimbangkan perspektif daripada pelbagai pihak dan juga mengutamakan kepentingan negara.

“Pemerintah harus membuat pertimbangan dan perkiraan demi kepentingan negara, serta mengimbangi kepentingan bukan sahaja daripada satu segmen, bangsa atau agama.

“Saya rasa pemerintah dan perdana menteri memahami… dan kami juga menjalankan pelbagai dialog untuk mendapatkan maklum balas daripada masyarakat… segmen serta golongan lain,” kata beliau.

“Saya berharap kita dapat memberi fokus kepada apa yang penting bagi rakyat Singapura dan bagi masyarakat Melayu. Bagi saya… banyak yang telah dilakukan Anggota Parlimen (AP) di Singapura dan juga AP Melayu PAP dan pemimpin Melayu kita yang telah bekerjasama untuk cuba memperkembangkan masyarakat kita dan juga meningkatkan lagi prestasi, bukan sahaja anak-anak kita, bahkan masyarakat kita di peringkat nasional. Bagi saya, ini amat penting bukan sahaja dari segi pencapaian, malah kita mempunyai pelan-pelan yang harus dibentangkan untuk masyarakat Melayu/Islam kita di Singapura.”
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg