Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masagos: Kepentingan Melayu tetap dipelihara meski dasar bilang budaya dijunjung

• Pemimpin PAP Melayu kerjasama dengan masyarakat perjuangkan kepentingan Melayu/Islam. • Isu kaum yang ditimbulkan dalam kehangatan pilihan raya mampu jejas hubungan dan hakis kepercayaan
Apr 30, 2025 | 5:50 AM
Singapura, Singapore, GE2025, Pilihan Raya Umum 2025, election, pilihan raya, Lee Hsien Loong, Masagos Zulkifli Masagos Mohamad
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong (tengah) berinteraksi dengan penduduk semasa melawat Tampines sebagai tanda sokongan kepada pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC itu. Pasukan PAP GRC Tampines dipimpin Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (dua dari kanan). - Foto ZAOBAO

Dasar berbilang budaya Singapura merupakan tonggak kekuatan negara ini dan perlu dipertahankan sepenuhnya, namun ini tidak bermakna masyarakat Melayu/Islam – mahupun masyarakat-masyarakat lain – tidak boleh memperjuangkan kepentingan masing-masing.

Bahkan, para pemimpin Melayu daripada parti pemerintah sentiasa bekerjasama rapat dengan masyarakat untuk mengetengahkan keprihatinan dan aspirasi mereka, berganding bahu dalam program-program bagi memajukan masyarakat, serta mencari huraian pada isu-isu yang adakalanya sensitif.

Dalam wawancara eksklusif bersama Berita Harian (BH), Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata:

“Dalam kita berharmoni dengan masyarakat lain, apakah kepentingan Melayu/Islam ini tidak dihiraukan? Sebagai Anggota Parlimen (AP), kita tidak peka, tidak mahu dengar atau tidak merasakan kerisauan masyarakat kita?

“Pasti kita dengar dan pasti kita tahu kerana contohnya saya sendiri hidup sebagai orang Melayu dan dalam kalangan masyarakat Melayu, dan juga sudah lama memimpin Persatuan Melayu/Islam di Singapura seperti Perdaus.”

Encik Masagos berkata isunya adalah bagaimana para pemimpin dan juga masyarakat mahu meluahkan keprihatinan tersebut.

“Pendekatan kita di Singapura adalah – bukan masyarakat Islam sahaja tapi semua masyarakat – ialah untuk mengetengahkannya dengan penuh teliti... jangan kita melakukannya hingga menimbulkan kecurigaan atau menghakis kepercayaan yang kita bina sedikit demi sedikit sejak sekian lama.

“Kerana kepercayaan antara masyarakat dan juga di dalam masyarakat itu sendiri adalah satu kekuatan yang sangat besar. Dan itu membolehkan masyarakat Islam dan juga masyarakat-masyarakat lain dapat memelihara kepentingan-kepentingan agama masing-masing, sedikit demi sedikit hingga semua masyarakat dapat menerimanya,” ujar Encik Masagos.  

Encik Masagos berkata demikian sebagai mengulas isu politik identiti yang menjadi tumpuan dalam Pilihan Raya 2025 (GE2025) ini.

Pihak berkuasa telah mengarahkan platform media sosial Meta untuk menyekat akses kepada hantaran Facebook dua pemimpin Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan seorang bekas rakyat Singapura yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Salah seorang daripada mereka telah menyatakan sokongan kepada Naib Pengerusi WP dan ketua pasukan WP di GRC Tampines, Encik Faisal Manap.

Seorang guru agama warga Singapura, yang berpangkalan di Malaysia, Encik Noor Deros, pula telah mendakwa mengadakan perbincangan dengan calon-calon Melayu Parti Pekerja (WP), dan menggesa parti itu untuk mengutamakan hak-hak dan keprihatinan masyarakat Melayu/Islam.

Dakwaan itu dipertikai oleh WP yang berkata ia tidak mempunyai sebarang perjanjian, komitmen atau persetujuan dengan mana-mana pihak, termasuk Encik Noor Deros, untuk mendapatkan sokongan politik bagi calon-calonnya yang bertanding dalam GE2025 ini.

Encik Masagos, seorang AP empat penggal, memimpin pasukan seramai lima orang dan bertanding sekali lagi di GRC Tampines. Lawan beliau di GRC tersebut ialah pasukan WP yang diketuai naib pengerusi parti itu, Encik Faisal Manap.

Turut bersaing dalam pertandingan empat penjuru itu ialah Parti Perpaduan Nasional (NSP) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP). Bagaimanapun, tumpuan utama ialah saingan antara PAP dan WP.

Berhubung politik identiti itu, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam sidang media pada 26 April, menekankan mencampuradukkan politik dengan agama tidak boleh diterima sama sekali di Singapura.

Politik identiti merujuk kepada calon dan AP yang menuntut sokongan penduduk atas dasar kaum atau agama, dan memperjuangkan kepentingan kumpulan tertentu sahaja, tanpa menghiraukan kepentingan kumpulan dan perkara-perkara lain.

Mengulas perkara tersebut, Encik Masagos yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, berkata sekiranya isu-isu bangsa dibangkitkan dalam suasana politik yang hangat, ia bukan hanya tidak baik malah berbahaya.

“Bukan kerana kesannya kepada pilihan raya tersebut, tetapi kesan curiga, penghakisan kepercayaan akan kekal,” ujar beliau.

Beliau menambah, pendekatan Singapura yang unik ialah untuk memperjuangkan kepentingan masyarakat dengan cara yang menjaga keharmonian kaum.

“Apa yang kita inginkan itu mungkin lambat (kita dapat) tetapi kita dapat dengan suasana aman, suasana yang dapat diterima masyarakat lain. Saya fikir itu pendekatan Singapura yang unik dan diterima oleh para ulama kita kerana keamanan adalah satu perintah agama kita juga,” ujarnya.

Meminta sokongan masyarakat bagi kepimpinan Melayu Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam GE2025 ini, Encik Masagos berkata: “Setiap kita ini ada pilihan. Pilihan kita (PAP), telah lama wujud hingga kita berjaya, dapat keamanan dan masyarakat kita semakin maju hingga dapat mengumpulkan setiap tahun lebih $100 juta (merangkumi pungutan zakat serta Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki) daripada masyarakat yang berjumlah lebih kurang 650,000 (untuk disalurkan bagi pembangunan masyarakat Melayu/Islam setempat).

“Ini dapat berlaku kerana kita ada keharmonian yang dapat meningkatkan kemajuan ekonomi masyarakat kita sendiri. Namun, setelah ada wang tersebut, kalau kita tidak dapat kepercayaan masyarakat lain sehingga kita selalu dicurigai, mahu bina masjid pun susah seperti yang berlaku di negara-negara Eropah... kerana macam-macam kecurigaan.

“Jadi, saya harap jangan ambil hal ini secara lewa. Kekuatan yang ada, kesatuan yang ada, kepercayaan yang wujud adalah hal-hal yang sangat tinggi nilainya supaya kita selalu jaga kepentingan yang lebih besar dalam masyarakat kita dan kepentingan jangka masa panjang,” tambah Encik Masagos.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg