Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

WP lantik empat AP baru dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat

Jun 18, 2025 | 5:22 PM
Anggota Parti Pekerja (WP) (dari kiri atas, ikut putaran jam) – Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik, Encik Kenneth Tiong, Cik Eileen Chong dan Encik Andre Low – dilantik ke dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu.
Anggota Parti Pekerja (WP) (dari kiri atas, ikut putaran jam) – Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik, Encik Kenneth Tiong, Cik Eileen Chong dan Encik Andre Low – dilantik ke dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu. - Foto WP

Parti Pekerja (WP) telah melantik dua Anggota Parlimen (AP) dan dua Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) baru ke dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) – iaitu badan pembuat keputusan tertinggi parti itu.

Pendatang baru, AP GRC Sengkang, Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik, dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Penganjur, manakala pendatang baru di GRC Aljunied, Encik Kenneth Tiong, pula dilantik sebagai Timbalan Bendahari, kata parti itu dalam satu kenyataan pada 18 Jun.

NCMP, Cik Eileen Chong, akan menjadi Presiden baru sayap belia parti itu, manakala rakan NCMP, Encik Andre Low, kini Timbalan Ketua pasukan medianya, tambah WP.

Cik Chong akan mengambil alih jawatan Presiden itu daripada AP Sengkang, Profesor Madya Jamus Lim.

Dalam kenyataannya, WP merakamkan penghargaan kepada Profesor Madya Lim atas sumbangannya kepada pembangunan sayap belia.

Pelantikan tersebut dibuat menyusuli mesyuarat CEC pada 17 Jun, tambah kenyataan itu.

Tiada perubahan lain dalam pelantikan bagi anggota CEC lain, yang akan terus diketuai Setiausaha Agung, Encik Pritam Singh, dan Pengerusi, Cik Sylvia Lim, kata WP.

Mereka telah dipilih semasa Persidangan Anggota Kader Parti hampir setahun lalu, pada 30 Jun 2024.

Kenyataan itu menambah: “WP yakin anggota CEC baru kami akan memainkan peranan penting, sedang kami terus berkhidmat untuk warga Singapura dan bekerja untuk Singapura.”

Ini menjadikan jumlah anggota CEC seramai 19 orang.

Kesemua empat anggota baru dilantik itu adalah muka baru politik yang kali pertama bertanding di bawah WP dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) pada 3 Mei 2025.

Mereka adalah empat daripada lima AP baru yang akan membentuk sebahagian daripada kontinjen WP terbesar seramai 12 orang di Parlimen apabila ia dibuka semula pada 5 September.

AP Aljunied, Encik Fadli Fawzi, pula sudah menganggotai CEC sebagai Timbalan Setiausaha Penganjur.

Encik Muhaimin dan Encik Tiong berada dalam pasukan WP yang mengekalkan GRC Sengkang dan Aljunied.

Encik Muhaimin menyertai tiga AP Sengkang lain yang kembali – Profesor Lim, Cik He Ting Ru dan Encik Louis Chua – yang memenangi kawasan itu dalam GE2020.

Beliau menggantikan Cik Raeesah Khan, yang keluar pada pertengahan penggal selepas mengaku berbohong di Parlimen.

Encik Tiong dan Encik Fadli pula dalam pasukan GRC Aljunied, menggantikan Encik Leon Perera, yang meletak jawatan selepas hubungan sulit dengan rakan pemimpin WP.

AP GRC Aljunied lama, Encik Faisal Manap, pula meninggalkan pasukan itu untuk mengetuai pasukan baru untuk bertanding di GRC Tampines.

Anggota pasukan GRC Aljunied yang lain ialah Encik Pritam, Cik Lim dan Encik Gerald Giam.

Cik Chong juga anggota pasukan GRC Tampines, manakala Encik Low bertanding di SMC Jalan Kayu.

Kedua-duanya tidak menang dalam GE2025, tetapi ditawarkan kerusi NCMP sebagai calon yang kalah dengan peratusan undi tertinggi dalam pilihan raya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg