Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zaqy: Barisan pimpinan politik Melayu/Islam baru komited dekati masyarakat di pelbagai peringkat

May 25, 2025 | 6:15 PM
Pendekatan pelbagai peringkat menjadi langkah barisan kepimpinan politik Melayu/Islam memenuhi keperluan dan aspirasi masyarakat Melayu/Islam di Singapura, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad.
Pendekatan pelbagai peringkat menjadi langkah barisan kepimpinan politik Melayu/Islam memenuhi keperluan dan aspirasi masyarakat Melayu/Islam di Singapura, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad. - Foto fail

Barisan kepimpinan politik Melayu/Islam yang baru akan mendekati masyarakat Melayu/Islam Singapura menerusi pendekatan di pelbagai peringkat, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad.

Bercakap dengan media semasa acara ‘MY Marsiling $1 Deal’ yang diadakan dekat stesen MRT Marsiling pada 25 Mei, Encik Zaqy berkata usaha ini akan melibatkan kerjasama rapat dengan institusi kepimpinan, rangkaian profesional, kumpulan belia dan golongan asatizah untuk lebih memahami serta menyokong aspirasi masyarakat.

Encik Zaqy yang menggantikan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, sebagai Pengerusi Yayasan Mendaki mulai 23 Mei, berkata:

“Kita mempunyai peluang untuk mendekati masyarakat di beberapa tahap — sama ada melalui kepimpinan, institusi badan masyarakat, mahupun dalam sektor industri.”

Usaha mendekati masyarakat turut akan dijalankan menerusi pelbagai saluran sedia ada, kata Encik Zaqy.

“Melalui wadah yang sedia ada seperti golongan asatizah di bawah Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), golongan karyawan, serta anak-anak dan belia kita menerusi Mendaki dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra), saya rasa ini merupakan langkah pertama untuk kita dekati dan dengar harapan mereka. 

“Pada masa yang sama, kita juga boleh berkongsi dengan mereka tentang pertimbangan kepimpinan negara dan bagaimana kita dapat menyelaraskan aspirasi anak-anak kita dengan harapan masyarakat,” tambahnya.

Semasa pengumuman Kabinet baru pada 21 Mei, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan pelantikan Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, menggantikan Encik Masagos.

Encik Wong juga berkata Dr Faishal dan Encik Zaqy akan bekerjasama dengan pemegang jawatan politik dan Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam yang lain untuk terus mendekati masyarakat Melayu/Islam Singapura.

Mereka termasuk Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; AP GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, yang bakal menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga) mulai 1 Februari 2026; serta AP GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi, yang akan menggalas tanggungjawab sebagai Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara) mulai 1 Oktober 2025.

Menarik perhatian keupayaan Dr Faishal dalam menyatukan dan menggerakkan masyarakat Melayu/Islam, khususnya melalui institusi seperti Mendaki, Muis dan Mesra, Encik Zaqy berkata:

“Sebagai satu pasukan, kami akan menyokong beliau supaya kami dapat lebih mendekati masyarakat, lebih memahami aspirasi mereka, dan membawa institusi-institusi utama seperti Mendaki, Muis serta Mesra bersama.

“Kami akan terus melaksanakan tanggungjawab agar dapat bersama-sama menyokong Dr Faishal dalam peranan barunya.”

Encik Zaqy turut menekankan bahawa pendekatan ini amat penting dalam konteks peralihan kepimpinan negara.

“Saya rasa ini sangat penting kerana bagi kepimpinan generasi keempat (4G), ini melambangkan satu perkembangan yang baik – agar kita dapat bergerak ke hadapan sebagai satu pasukan yang mantap dan bersepadu,” ujarnya.

Mengulas tentang tanggungjawab barunya kini sebagai pengerusi Mendaki, beliau berkata ia bukan sesuatu yang asing baginya, dengan beliau telah berkhidmat sebagai timbalan pengerusi di badan bantu diri itu sejak Mei 2018.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) mengenai keutamaannya sekarang, Encik Zaqy berkata:

“Mendaki sedang berusaha melakarkan pelan induk bagi lima tahun akan datang.

“Kami akan meneroka cara untuk memastikan Mendaki kekal relevan kepada masyarakat.”

Tambahnya, pelan itu akan dibentangkan semasa mesyuarat agung tahunan (AGM) pada 14 Jun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg