Topik diikuti
Pergi ke BHkuZaqy: Rangkaian karyawan beri inspirasi, buka peluang golongan muda realisasi potensi
Zaqy: Rangkaian karyawan beri inspirasi, buka peluang golongan muda realisasi potensi
Galak golongan karyawan tampil sebagai pembimbing
Zaqy: Rangkaian karyawan beri inspirasi, buka peluang golongan muda realisasi potensi
Bimbingan dan akses kepada rangkaian karyawan mampu memberi inspirasi kepada golongan muda untuk merealisasikan potensi mereka serta mengejar cita-cita dengan penuh keyakinan.
Demikian dinyatakan Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad.
Berucap pada acara #MakingConnections anjuran Yayasan Mendaki di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 10 Julai, Encik Zaqy, yang juga Pengerusi Mendaki, menggalak golongan karyawan agar tampil sebagai pembimbing bersama Rangkaian Karyawan Mendaki.
Ini di samping berkongsi ilmu pengetahuan mereka, serta membuka pintu peluang kepada golongan yang masih mencari arah tuju.
“Melalui Rangkaian Karyawan Mendaki, kita membuka pintu itu dengan sengaja, bukan menyerahkannya kepada nasib.
“Kita menghubungkan anak-anak muda kita dengan peluang. Kita menghubungkan mereka dengan pemimpin industri, tidak kira bangsa atau latar belakang,” kata Encik Zaqy.
Memberi perkembangan mengenai rangkaian itu, Encik Zaqy berkata setiap tahun, rangkaian karyawan itu telah membawa hampir 800 orang muda untuk meneroka bidang yang belum mereka pernah ceburi, menerusi jelajah pembelajaran.
Ini memberikan mereka pendedahan industri, serta peluang melihat laluan kerjaya yang mereka inginkan.
Beliau turut menggariskan bagaimana Mendaki bekerjasama dengan rakan korporat untuk menyediakan bimbingan, jelajah pembelajaran, pendedahan industri, serta peluang pembangunan bagi belia.
Ini termasuk GIC, Maybank, Micron, MSD Pharma, Schroders dan Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD).
Menurut Encik Zaqy, Singapura ialah sebuah “hab peluang”, dan masyarakat Melayu/Islam mempunyai keupayaan serta wadah kukuh seperti Mendaki untuk merebutnya.
“Kita mesti mempunyai keyakinan untuk memanfaatkannya,” tegasnya sambil menjelaskan bahawa tugas memanfaatkan peluang tidak dipikul sendiri oleh masyarakat Melayu/Islam.
Malah, ia dipacu dengan bantuan daripada rakan kongsi dan syarikat korporat daripada pelbagai latar belakang, serta mentor daripada pelbagai kaum dan kewarganegaraan yang menghubungkan pelajar dengan pemimpin menjangkau masyarakat.
“Usaha ini membuahkan hasil kerana semakin ramai rakyat Singapura percaya kepada mobiliti sosial dan penyediaan peluang.
“Inilah seruan kebersamaan yang kita mahukan. Bukannya masyarakat kita bangkit bersendirian secara terasing, sebaliknya kita semua, di seluruh Singapura, bersama-sama mengangkat generasi seterusnya,” kongsinya.
Acara #MakingConnections tahunan itu, yang pertama kali diadakan pada 2022, dihadiri lebih 400 hadirin.
Acara yang menghimpunkan ahli akademik dan penggubal dasar, rakan kongsi industri, karyawan, serta pemimpin masyarakat dan belia itu antara lain bertujuan untuk belajar, menjalinkan rangkaian, dan saling bertukar idea.
Acara itu turut dihadiri Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial merangkap Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber.
Ketika ucaptamanya, Encik Ong mengumumkan perluasan Rangkaian Karyawan Mendaki – daripada 13 kepada 16 sektor – yang merangkumi sektor baharu seperti pendidikan, keusahawanan dan sukan.
Semasa majlis itu, Encik Zaqy turut menyampaikan sijil kepada Ketua dan Penolong Ketua Rangkaian Karyawan yang terdahulu serta yang baharu dilantik, sebagai pengiktirafan atas kepimpinan dan sumbangan mereka.
