Gelombang kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada warisan budaya Melayu, sebaliknya perlu dimanfaatkan sebagai pemangkin untuk mendekatkan masyarakat, khususnya golongan muda, kepada bahasa Melayu.

Dalam pada itu, para penggiat seni dan rakan kerjasama Bulan Bahasa digalakkan memanfaatkan teknologi dalam menghasilkan kandungan yang dapat menghidupkan bahasa Melayu, sambil menekankan bahawa penggunaan AI perlu dilakukan secara beretika dan bertanggungjawab.

Demikian menurut Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), yang juga Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) dan Jawatankuasa Bulan Bahasa, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, kepada media di luar majlis pelancaran Bulan Bahasa 2026.

Majlis pelancaran Bulan Bahasa 2026 yang turut dihadiri Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, disiarkan di saluran Suria pada 28 Ogos.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Pendidikan, Encik David Neo, hadir selaku tetamu terhormat.

Dalam pada itu, Encik Zhulkarnain berkata:

“Meskipun program tahun ini menerapkan teknologi dan Kecerdasan Buatan (AI), ia sekalipun tidak menghakis malah merapatkan jurang penggunaan bahasa.

“AI harus digunakan secara beretika. Teknologi bukan untuk mengganti warisan kita, tetapi menjadi pemangkin semangat agar lebih ramai, terutama anak muda, mendekatkan diri kepada bahasa Melayu,” tambah Encik Zhulkarnain.

Bulan Bahasa 2026 yang berlangsung sehingga 11 Oktober sekali lagi bersandarkan tema ‘Cita. Citra. Cinta. Bahasa Kita’, dengan tumpuan khusus kepada usaha memperkasa belia supaya menggunakan bahasa Melayu dengan yakin, kreatif dan bermakna dalam kehidupan harian.

Tahun ini, dua Duta Bahasa dilantik – penyiar sambilan di Mediacorp Warna 94.2FM, pengacara dan penggiat seni, Cik Anis Qurratu’aini Azman; dan Naib Presiden 4PM, yang juga lulusan jurusan Undang-Undang di Universiti Nasional Singapura (NUS), Encik Kamal Ashraf Kamil Jumat.

Dengan pelantikan baharunya sebagai Duta Bahasa, Cik Anis, 36 tahun, ingin terus memartabatkan bahasa Melayu menerusi bengkel pantun dan syair, persembahan seni, pengacaraan serta penyiaran agar bahasa itu terus berkembang merentas generasi.

“Saya percaya ramai anak muda sebenarnya memahami Bahasa Melayu apabila mendengar atau membacanya, tetapi mereka memerlukan lebih banyak ruang, keyakinan dan galakan untuk menggunakannya.

“Apabila bahasa Melayu disampaikan melalui seni, muzik dan pengalaman yang menyeronokkan, mereka akan melihat bahasa ini sebagai sesuatu yang hidup, relevan dan suatu yang membanggakan,” katanya.

Encik Kamal, 25 tahun, pula berharap dapat memartabatkan seni perbahasan dan pidato Melayu demi membangunkan keyakinan, mengasah daya fikir kritis serta menggalakkan lebih ramai belia menghargai keindahan bahasa Melayu.

Acara pelancaran itu dimeriahkan dengan persembahan kumpulan Katapella dari Sekolah Menengah Yusof Ishak, dan penerima Pingat Budaya, Rahimah Rahim serta penyanyi, Hetty Sarlene.

Iringan muzik dan tarian oleh kumpulan seni Orked Malaya, Sanggar Seni Melayu dan T3at3r Muzikal Collective merancakkan lagi acara tersebut, dengan susunan muzik yang diterajui oleh Duta Bahasa 2016, Megat Firdaus.

Mereka yang berminat masih boleh menyertai program Bulan Bahasa 2026 yang berasaskan penggunaan teknologi digital dan AI untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu.

Sementara itu, Encik Zhulkarnain menekankan bahawa bahasa yang sepatutnya bersifat dinamik mengikut keperluan masyarakat untuk terus berkembang seiring dengan perubahan zaman.

“Bahasa tidak kekal statik. Kita perlu memperbaharui pendekatan pembelajaran bahasa dan penghayatan budaya melalui teknologi supaya semua lapisan masyarakat, sama ada belia mahupun warga emas, dapat menghidupkan bahasa mengikut cara mereka sendiri,” katanya.

Antara program yang ditawarkan ialah bengkel penulisan ‘Poskad Untuk Aku’ pada 5 September di Studio Bukit Sakti (11 Upper Wilkie Road) yang mengajak peserta menghidupkan semula seni menulis poskad dalam era digital.

Bengkel percuma yang terbuka kepada peserta berusia lapan tahun ke atas itu memberi peluang kepada mereka menzahirkan fikiran dan perasaan dalam Bahasa Melayu secara kreatif.

Kegiatan kempen tahunan itu juga melangkaui acara yang dianjurkan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) di kawasan kejiranan.

Sehingga Oktober 2026, bas bernombor 8, 74 dan 88 turut menampilkan visual kreatif serta tema ‘Cita. Citra. Cinta. Bahasa Kita’.

Acara ‘Penterjemah Pintar’ yang diadakan pada 20 Julai memberi peluang kepada pelajar daripada 20 sekolah rendah untuk mengasah kemahiran menterjemah.

Pelajar Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah muncul juara pertandingan yang diadakan di Perpustakaan Daerah Woodlands itu.

Mengulas mengenai ukuran kejayaan Bulan Bahasa, Encik Zhulkarnain berkata usaha memupuk kecintaan terhadap bahasa tidak boleh diukur semata-mata melalui statistik atau penggunaan bahasa di rumah.

“Apakah kita mampu menilai betapa dalamnya cinta itu?

“Yang penting apabila rasa cinta terhadap bahasa mula berputik dalam diri seseorang, generasi akan datang akan lebih mencintai, menjiwai, memartabatkan dan melestarikan bahasa melalui budaya kita,” katanya.

Duta Bahasa 2026, Cik Anis Qurratu’aini Azman dan Encik Kamal Ashraf Kamil Jumat.
Duta Bahasa 2026, Cik Anis Qurratu’aini Azman dan Encik Kamal Ashraf Kamil Jumat. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA