Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maut, cedera di tempat kerja stabil Jan-Jun 2024

Oct 9, 2024 | 5:12 PM
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad (tengah), diiringi Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Melvin Yong (kiri),  dan Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif HH Group, Encik Low Chui Heng, semasa satu lawatan ke HH Stainless di Gul Crescent pada 9 Oktober.
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad (tengah), diiringi Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Melvin Yong (kiri), dan Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif HH Group, Encik Low Chui Heng, semasa satu lawatan ke HH Stainless di Gul Crescent pada 9 Oktober. - Foto ST

Kadar kematian dan kecederaan di tempat kerja stabil pada 1.0 bagi setiap 100,000 pekerja pada separuh pertama 2024.

Sebanyak 19 kecederaan membawa maut dan 293 kecederaan parah dilaporkan, menurut Laporan Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH) separuh tahun dari Januari hingga Jun yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 9 Oktober.

Sektor pembinaan, perkilangan serta pengangkutan dan penyimpanan kekal sebagai tiga penyumbang paling banyak bagi kecederaan membawa maut dan cedera parah pada separuh pertama 2024.

Bagaimanapun, jumlah kecederaan membawa maut dan cedera parah yang berlaku di tiga sektor itu berkurangan daripada 63 peratus pada separuh pertama 2023 kepada 54 peratus pada separuh pertama 2024, didorong penambahbaikan berterusan dalam sektor pembinaan dan perkilangan.

Laporan itu menunjukkan bilangan kematian dan kecederaan parah dalam sektor perkilangan berkurangan dengan ketara, daripada 92 pada separuh pertama 2023 kepada 60 pada separuh pertama 2024.

“Kemajuan ini mungkin disebabkan pemeriksaan lebih ketat dan Sistem Mata Demerit yang dilaksanakan pada Oktober 2023,” kata MOM.

Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamed, berkata bahawa kecederaan dan kematian di tempat kerja yang dilaporkan dapat dielak jika pekerja mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di tempat kerja.

“Kami mendapati bahawa kebanyakan kecederaan dan kematian yang berlaku di tempat kerja melibatkan pekerja lebih matang dan berpengalaman.

“Kejadian sebegitu dapat dielakkan jika mereka tidak leka dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan untuk memastikan keselamatan mereka,” kata Encik Zaqy.

Beliau berkata demikian semasa satu lawatan ke syarikat pengedar produk keluli tahan karat HH Stainless di Gul Crescent pada 9 Oktober.

Pasukan Bertindak Keselamatan Tempat Kerja Berbilang Agensi (Mast) telah mengukuhkan lagi piawaian WSH dalam sektor pembinaan dengan langkah-langkah Keselamatan, Fokus dan Pemerkasaan Keselamatan (Safe) tambahan, yang dilaksanakan pada awal hingga pertengahan 2024.

Ini termasuk keperluan WSH yang dipertingkatkan bagi pembinaan sektor awam dan projek berkaitan pembinaan yang dilaksanakan pada April.

Sistem pengawasan video juga diwajibkan untuk tapak kerja binaan dengan nilai kontrak $5 juta dan ke atas, yang dilaksanakan pada Jun.

Kadar kecederaan parah di tempat kerja berkurangan kepada 16 bagi setiap 100,000 pekerja pada 2024, berbanding 16.1 bagi setiap setiap 100,000 pada 2023.

MOM menambah bahawa dalam enam bulan pertama 2024, terdapat 10,379 kecederaan ringan, yang ditakrifkan sebagai kecederaan tidak teruk di mana pekerja hanya diberi cuti sakit dan tugas ringan.

Ini adalah 4.8 peratus lebih rendah daripada 10,897 kes yang dilaporkan pada separuh pertama 2023.

Kira-kira separuh daripada kecederaan itu disebabkan insiden tergelincir, tersandung dan terjatuh, melibatkan jentera, dan dihempap objek bergerak.

Industri perkilangan, perkhidmatan kesihatan dan sosial, serta penginapan dan perkhidmatan makanan membentuk 47 peratus daripada kecederaan ringan yang dilaporkan.

Dalam pada itu, Encik Zaqy berkata insiden mempunyai risiko kematian lebih rendah akan menjadi tumpuan pemerintah.

“Kami mendapati ramai pekerja tua lebih terjejas. Jika anda mengalami kecederaan sebagai pekerja muda, anda dapat pulih tetapi jika anda pekerja lebih berusia, kecederaan itu boleh menjadi agak teruk.

“Kami ingin memastikan semua persekitaran mesra umur dan ia adalah sesuatu yang pemerintah akan terus promosikan pada masa hadapan.

“Dengan penggunaan teknologi untuk meningkatkan automasi dan mengurangkan kerja fizikal, kami berharap ia juga dapat memberi manfaat kepada pekerja lebih berusia,” ujar Encik Zaqy kepada media.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg