Bilangan pekerja dan pencari kerja yang menghadapi diskriminasi telah berkurang pada 2023 berbanding 2022.
Demikian menurut laporan terbaru, Amalan Pekerjaan Adil oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) yang dikeluarkan pada 24 September.
Laporan tersebut, yang diterbitkan oleh Jabatan Penyelidikan dan Statistik Tenaga Manusia MOM, menunjukkan bahawa bilangan pekerja dan pencari kerja yang menghadapi diskriminasi terus berkurang sejak 2018.
Menurut laporan tersebut, kadar bilangan pekerja yang mengalami diskriminasi di tempat kerja berkurang kepada 6 peratus pada 2023 – turun daripada 8.2 peratus pada 2022; 8.5 peratus pada 2021; dan 24.1 peratus pada 2018.
Kadar bilangan pencari kerja yang menghadapi diskriminasi semasa mencari kerja pada 2023 adalah 23.4 peratus – lebih rendah berbanding 23.8 peratus pada 2022; 25.8 peratus pada 2021; dan 42.7 peratus pada 2018.
MOM berkata sejak 2018, kejadian diskriminasi di tempat kerja terus berkurang, dengan lebih ramai pekerja kini bekerja di firma yang mempunyai prosedur formal untuk mengurus diskriminasi di tempat kerja.
Ia menyifatkan kemerosotan itu sebagai “petanda positif ke arah penambahbaikan selanjutnya dalam piawaian keadilan di tempat kerja”.
“Kadar bilangan pekerja yang bekerja di firma yang mempunyai prosedur formal untuk mengurus diskriminasi di tempat kerja telah meningkat secara berterusan sepanjang tahun daripada 49.6 peratus pada 2018 kepada 63.2 peratus pada 2023.
“Analisis kami menunjukkan bahawa mempunyai prosedur formal untuk mengurus diskriminasi di tempat kerja berkesan dalam mengurangkan kemungkinan mengalami diskriminasi umur, yang merupakan bentuk diskriminasi di tempat kerja yang paling lazim,” kata MOM.
Meskipun terdapat peningkatan prosedur formal untuk mengendalikan diskriminasi di tempat kerja, MOM berkata kadar bilangan pekerja yang mendapatkan bantuan selepas mengalami diskriminasi berkurang daripada 35.3 peratus pada 2022 kepada 29.3 peratus pada 2023.
Pekerja yang ditinjau menyatakan perasaan takut dipinggir di tempat kerja atau takut hubungan kerja menjadi lebih janggal (24.4 peratus) sebagai punca utama mengapa mereka tidak mendapatkan bantuan apabila berdepan dengan diskriminasi di tempat kerja.
Ada juga yang bimbang dengan kemungkinan kesan buruk terhadap kerjaya mereka sekiranya mereka mendapatkan bantuan (18.2 peratus), kata MOM.
“Peningkatan dalam keseluruhan piawaian keadilan tempat kerja mencerminkan usaha kolektif pemerintah, majikan, pekerja dan kesatuan sekerja dalam memastikan persekitaran kerja yang adil untuk semua.
“Bagaimanapun, lebih banyak boleh dilakukan untuk mengukuhkan keyakinan pekerja dalam melaporkan diskriminasi di tempat kerja.
“Di bawah Perundangan Keadilan di Tempat Kerja yang akan datang, pekerja akan dilindungi daripada tindak balas sekiranya mereka melaporkan amalan kerja yang bersifat diskriminasi.
“Majikan juga dikehendaki melaksanakan proses pengendalian aduan yang betul supaya mereka dilengkapi dengan baik untuk menyokong pekerja mereka sekiranya terdapat sebarang diskriminasi di tempat kerja,” kata MOM.
Pengarah Eksekutif 1 Tripartite Alliance Limited, Encik Kandhavel Periyasamy, berkata walaupun trend penurunan diskriminasi adalah berita yang dialu-alukan, beliau bimbang sesetengah pekerja masih keberatan untuk mendapatkan bantuan kerana takut akan menjejas hubungan atau kerjaya di tempat kerja.
Beliau memberi jaminan bahawa individu yang bimbang kerjaya mereka akan terjejas sekiranya mereka mengemukakan aduan diskriminasi di tempat kerja kepada Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (Tafep) supaya tidak perlu takut dan boleh membuat pertanyaan kepada perikatan itu terlebih dahulu.
“Kami ingin memberi jaminan kepada semua orang bahawa Tafep melihat semua kes dengan penuh rahsia. Kami akan mengambil kira kebimbangan ini apabila memutuskan tindakan susulan yang sesuai untuk diambil,” kata Encik Periyasamy.
Menurut laporan tersebut, diskriminasi umur adalah bentuk diskriminasi yang paling lazim berlaku di tempat kerja (2.6 peratus) pada 2023.
Ini diikuti dengan diskriminasi kaum (1.7 peratus), kewarganegaraan (1.6 peratus) dan kesihatan mental (1.6 peratus).
Bentuk diskriminasi lain yang dilaporkan oleh pekerja termasuk status keluarga (1.5 peratus), jantina (1.4 peratus), hilang upaya (1.1 peratus) dan agama (0.7 peratus).
Diskriminasi kerana status keluarga merangkumi status perkahwinan, status kehamilan dan diskriminasi terhadap ibu.
Tambahan pula, pekerja yang mengalami diskriminasi di tempat kerja lebih kerap melaporkan layanan tidak adil berkaitan pendapatan (gaji: 43.4 peratus; bonus: 26.8 peratus) dan persekitaran kerja (agihan beban kerja: 33.7 peratus; interaksi harian di tempat kerja: 26.8 peratus).
Pekerja juga menyatakan perkembangan kerjaya (26.3 peratus), kenaikan pangkat (24.4 peratus) dan penilaian kerja (22.9 peratus) sebagai diskriminasi di tempat kerja yang mereka alami.
Mereka turut menyatakan kebajikan kakitangan (16.1 peratus), faedah perubatan (14.1 peratus), cuti tahunan (12.2 peratus), pemecatan (5.4 peratus) dan pemberhentian kerja (4.9 peratus) antara diskriminasi di tempat kerja yang mereka alami.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg