Sebanyak 33,100 warga asing ditahan di sempadan Singapura pada 2024 selepas didapati menimbulkan risiko imigresen atau keselamatan kepada negara.
Ini merupakan peningkatan sebanyak 16 peratus berbanding 28,600 warga asing yang ditahan pada 2023, umum Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) kepada media pada 14 Februari.
Peningkatan itu berlaku pada tahun yang sama Singapura melaksanakan penggunaan teknologi secara meluas bagi proses pelepasan imigresen.
Pesalah, termasuk mereka yang berisiko tinggal melebihi tempoh, pekerja haram, dan individu yang mempunyai niat melakukan jenayah, telah dikenal pasti melalui usaha sasaran dan pemprofilan atau ‘profiling’ yang dilakukan ICA.
ICA berkata penggunaan teknologi telah meningkatkan kecekapan dan kemampuan mereka dengan menggunakan tenaga kerja yang lebih kecil.
Ini selepas penerapan Konsep Pelepasan Baru (NCC) seperti laluan automatik dan pelepasan tanpa pasport, di semua lapangan terbang serta kawasan masuk sempadan melalui laut membantu dalam menahan pengunjung yang tidak diingini.
Ia sekali gus membolehkan pegawai menumpukan perhatian dalam mengesan pengembara yang mencurigakan.
Jika sebelum ini pegawai ICA bertugas di kaunter manual, mereka kini akan melakukan pemprofilan di laluan automatik untuk mengesan individu berisiko tinggi bagi pemeriksaan lanjut.
Menurut mereka, kebanyakan pengembara berisiko tinggi itu dikenal pasti melalui usaha pemprofilan yang dilakukan ICA.
ICA berkata ia memanfaatkan biometrik dan data untuk meningkatkan keupayaan pengesanan.
Data biometrik wajah dan iris yang dikumpul melalui NCC dianalisis unit Pusat Sasaran Terpadu (ITC) terbaru ICA.
Ia menggunakan analisis data untuk mengenal pasti warga asing berisiko tinggi sebelum mereka tiba di sini.
Warga asing itu akan melalui pemeriksaan lebih ketat apabila mereka cuba melepasi imigresen.
ICA berkata laluan automatik dilengkapi dengan keupayaan pengesanan pemalsuan yang disokong oleh sistem saringan biometrik modal-pelbagai.
Ini membolehkan pegawai ICA mengesan pengembara yang menggunakan pasport palsu, serta pengembara berulang yang menyamar dan/atau menggunakan identiti palsu.
Ini dapat dihasilkan memandangkan ICA mempunyai data biometrik mereka dalam pangkalan data.
Mereka yang pernah melakukan jenayah di Singapura dan cuba memasuki semula ke sini dengan nama berbeza juga dapat dikenal pasti.
Statistik ICA menunjukkan jumlah pesalah imigresen yang ditangkap turun kepada 536 pada 2024 berbanding 587 pada 2023.
Bilangan individu yang tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan atau overstayer yang ditangkap pada 2024 juga turun kepada 475 berbanding 542 pada 2023.
Namun, jumlah tangkapan pendatang tanpa izin meningkat kepada 61 pada 2024 daripada 45 pada 2023, dengan 25 daripada mereka diberkas oleh Polis Pengawal Pantai Singapura (PCG) sebelum sempat memasuki Singapura.
Lebih ramai individu turut ditangkap kerana melindungi atau menggajikan pesalah imigresen.
Jumlah tersebut meningkat kepada 389 pada 2024 berbanding 327 pada 2023.
Sementara itu, terdapat peningkatan besar dalam jumlah individu yang ditangkap atas kesalahan perkahwinan kontrak – warga asing yang berkahwin dengan warga Singapura atas sebab tertentu – pada 2024 berbanding 2023, yang mencatatkan lapan kes.
ICA berkata bahawa 41 individu yang ditangkap pada 2024 adalah hasil daripada usaha penguatkuasaan yang dipertingkatkan bagi menyiasat dan membanteras sindiket sedemikian.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg