Mayat seorang wanita berusia 66 tahun ditemui terapung di Taman Punggol Waterway pada hujung minggu lalu.
Penemuan itu dibuat pagi 28 September, lapor Shin Min Daily News.
Orang ramai ynag lalu lalang melihat khemah biru di tempat kejadian.
Dua orang awam memberitahu media bahawa mereka sering melakukan senaman pagi di kawasan itu sejak sekitar 20 tahun lalu.
Tetapi apabila mereka tiba di taman itu kira-kira 7 pagi, mereka melihat sebuah khemah biru telah didirikan oleh pihak polis.
Lokasi itu dilaporkan berhampiran pusat membeli-belah Waterway Point dan selalunya sibuk, memandangkan ia adalah hujung minggu. Orang ramai yang lalu lalang turut berhenti untuk melihat apa yang berlaku.
Pada jam 8.40 pagi, polis telah mengepung kawasan tersebut.
Kelihatan sepasang selipar berwarna merah jambu di sebelah khemah biru itu.
Pasukan Polis Singapura (SPF) berkata, mereka menerima panggilan bantuan sekitar 6.50 pagi itu.
Mayat seorang wanita berusia 66 tahun ditemui terapung di perairan di sepanjang Punggol Walk, tambahnya.
Mayat itu telah dikeluarkan dari perairan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik dari Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Tiada perbuatan khianat disyaki, berdasarkan siasatan awal.
Siasatan lanjut polis sedang dijalankan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg