PENAMPANG (Sabah): Niat murni sepasang suami isteri membantu menghantar makanan kepada mangsa yang terperangkap banjir di pekan Donggongon, Penampang, Kota Kinabalu, Sabah, berakhir duka apabila wanita itu lemas dihanyut arus, dalam kejadian awal pagi 1 Julai.
Monica Ting Siew Kwong, 37 tahun, lemas akibat dihanyutkan arus deras ketika mengharungi air selepas menghantar makanan kepada mangsa yang terperangkap dalam banjir dekat pekan Donggongon, kira-kira 1.40 pagi.
Dalam kejadian itu, mangsa bersama suaminya dikatakan menghantar makanan kepada mangsa lain yang terperangkap akibat banjir, sebelum pulang.
Bagaimanapun difahamkan, ketika cuba melalui kawasan banjir berhampiran Bulatan Sigah, Jalan Penampang Bypass, di Penampang, mangsa dihanyutkan arus deras.
Suaminya cuba membantu dengan menarik tangan mangsa, namun arus banjir yang sangat kuat menyebabkan mangsa hanyut, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Operasi mencari dan menyelamat mangsa digerakkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selepas menerima maklumat kejadian pada 1.45 pagi, 1 Julai.
Mayat mangsa kemudian ditemui anggota penyelamat pada 8 pagi 1 Julai, dalam keadaan tersangkut di celah pokok berhampiran rumah penduduk di Kampung Hungab, Penambang, kira-kira 500 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang.
Daerah Penampang mula dilanda banjir pada 30 Jun, dengan Pekan Donggongan dan lebih 20 kampung di sekitarnya terjejas akibat limpahan air Sungai Moyog berikutan bacaan air yang melebihi sembilan meter, iaitu melepasi paras bahaya.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, sehingga kini 114 mangsa daripada 42 keluarga telah dipindahkan akibat banjir di Dewan Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang dan Dewan Sri Putatan, Penampang, setakat 8 pagi 1 Julai.
Banjir turut menjejas beberapa laluan utama dengan sekurang-kurangnya 10 lokasi termasuk di Bulatan Sigah, Jalan Penampang Bypass yang tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan, selain kejadian tanah runtuh di laluan utama Jalan Penampang-Tambunan yang menyebabkan kededua arah tidak dapat dilalui.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg